Nurul Nasuha bersama salah seorang adik perempuannya sedang membancuh simen ketika membantu ayahnya membina sambungan rumah di Kampung Kelulut, Marang Terengganu. Kredit Foto : Tik Tok @dindasue.


ADALAH sesuatu yang biasa jika kita melihat lelaki melakukan kerja-kerja pertukangan dan pembinaan yang memerlukan kekuatan fizikal, namun di Kampung Kelulut, Marang, Terengganu lain pula ceritanya di mana seorang seorang suri rumah bersama lima anak perempuannya melakukan kerja-kerja tersebut yang tular dan mendapat perhatian warganet.

Bak kata pepatah “alah bisa tegal biasa”, Nurul Nasuha Wira, 28, berkata, dia bersama adik-beradik perempuannya sudah terbiasa dengan kerja-kerja membancuh simen, menolak kereta sorong dan mengikat batu bata kerana sejak kecil lagi mereka sudah didedahkan dengan kerja-kerja tersebut sewaktu membantu bapanya membina rumah kediaman mereka.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan adik beradik

Nurul Nasuha Wira (kanan) bersama adik beradiknya. - Kredit foto : Mystar


“Memang sejak kecil lagi kami adik beradik sering bergotong-royong membantu ayah membina rumah. Ayah memang membina sendiri rumah kami dan boleh dikatakan jarang sekali mengupah orang lain selama ini.

“Kebetulan ketika ayah menyambung rumah kali ini kami semua berada di kampung disebabkan adik beradik lain terpaksa meneruskan pengajian secara dalam talian sepanjang perlaksanaan pelan pemulihan negara (PPN) ini. 

"Kesempatan yang ada ini kami gunakan untuk membantu ayah,” kata anak kedua dari lapan adik beradik ini.


Salah seorang adik Nurul Nasuha tidak kekok dan kelihatan gembira ketika menolak kereta sorong berisi bancuhan simen. - Kredit foto: Tik Tok @dindasue.



Kisah Nurul Nasuha bersama ibu dan adik-beradik perempuannya melakukan kerja-kerja pertukangan dan pembinaan seperti membancuh simen dan menolak kereta sorong menarik perhatian netizen selepas satu video mereka sedang melakukan kerja-kerja pembinaan dimuat naik olehnya melalui laman sosial TikTok @dindasue yang telah meraih lebih 200,000 tontonan.

Nurul Nasuha bersama adik perempuannya melakukan kerja-kerja membancuh simen. - Kredit foto: Mystar;


Malah menurutnya, kerja-kerja pembinaan bukan sesuatu yang asing buatnya kerana bapanya pernah menghantar dia dan seorang lagi adik perempuannya untuk mengikuti kursus kemahiran dalam bidang pembinaan di Lembaga Pembangunan Industri  Pembinaan Malaysia (CIDB).

Menurut ibu kepada seorang cahayamata mata itu, dia bersama adik-beradiknya akan hanya bergotong-royong membantu bapanya menyiapkan kerja-kerja menyambung rumah orang tua mereka pada hujung minggu atau waktu adik-adiknya tidak ada kelas.


Bukan mudah untuk menolak kereta sorong melalui sekeping papan seperti yang dilakukan oleh Nurul Nasuha. - Kredit foto: TikTok @dindasue.


Katanya, dia berkongsi video yang dirakam itu secara suka-suka dalam aplikasi TikTok dan tidak menyangka mendapat perhatian ramai sehingga menjadi tular dan menerima komen positif netizen. 

Semua kerja seperti membancuh simen, mengerudi, mengikat bata dan memasang siling kami buat secara gotong-royong dengan panduan serta tunjuk ajar ayah. Kami berasa seronok melakukan kerja tersebut yang mampu mengeratkan lagi hubungan kekeluargaan kami.

Bagi saya apa yang kami lakukan ini bukan sesuatu yang luar biasa, malah saya percaya masih ramai lagi kaum Hawa yang berkemampuan melakukannya, mungkin secara kebetulan sahaja video yang saya muat naik menjadi tular,” katanya. - KitaReporters



Keluarga besar Nurul Nasuha. - Kredit foto : Mystar

0
0
0
0
0

Copy Link: