Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR)! Keperluan Internet, gajet ganti pencil, pemadam!
Published byKredit foto: FB Ebit Lew
SESI persekolahan zaman dahulu ramai ibu bapa akan sibuk mencari kelengkapan sekolah anak berbentuk alat tulis, pakaian dan buku. Pensil, pemadam, pengasah mata pensil, pen, buku nota, pembaris dan sebagainya menjadi senarai wajib bagi setiap anak yang bersekolah.
Tetapi di zaman sekarang alat memudah cara pendidikan seperti capaian internet dan gajet seperti telefon pintar atau komputer riba sudah boleh dianggap keperluan asas dalam proses Pengajaran dan Pembelajaran (PdP).
Lagi kisah-kisah menarik berkaitan persekolahan:
https://kitareporters.com/search?search=persekolahan
Perkara ini ternyata lebih ketara dan bertambah penting apabila pandemik Covid-19 menyerang dunia sehingga memaksa Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menganjurkan PdP di Rumah (PdPR).
Namun persoalan timbul adakah semua ibu bapa mampu untuk menyediakan anak-anak mereka yang bersekolah dengan capaian internet dan gajet yang mencukupi?
Sudah tentu bagi golongan kurang berkemampuan ini merupakan cabaran terbesar kepada mereka, khususnya di kawasan pedalaman bagi memastikan PdPR berjalan lancar.
Seorang jururawat Norliani Mahadi, 43, berkata, capaian internet dan gajet merupakan dua faktor yang saling bergantung antara satu sama lain, dalam memastikan sesi PdPR sempurna, justeru sesi PdPR pelajar akan terganggu sekiranya salah satu faktor itu tidak disediakan dengan sempurna.
Beliau yang mempunyai seorang anak berusia 10 tahun dan sedang mengikuti PdPR itu berkata, sudah menjadi pengetahuan umum bahawa capaian internet di Sabah belum mencapai tahap memuaskan, terutama di kawasan pedalaman selain pakej internet masih pada tahap kurang mampu milik, terutama untuk golongan B40.
“Beli gajet mahal atau canggih macam mana pun, jika capaian internet bermasalah tidak guna kerana tidak boleh buat PdPR, internet baik tetapi harga gajet terlampau mahal orang tidak mampu beli, sama juga. Semua faktor ini perlu ambil perhatian secara bersama,” katanya kepada pihak media ketika dihubungi.
Kredit foto: FB SK Sri Hartamas Official
Ini sekadar contoh mudah daripada pelbagai lagi kesukaran, onak dan duri yang saling dihadapi ibu bapa dalam melengkapkan sesi PdPR buat anak-anak mereka.
Seorang lagi jururawat Amrata Kumbayat, 46, berkata, empat anaknya berusia lapan hingga 19 tahun memiliki telefon pintar, bagi membolehkan mereka mengikut sesi PdPR, namun berpendapat keberkesanan PdPR, tidak akan sebaik pembelajaran secara bersemuka.
“Tetapi pada masa sekarang dengan COVID-19 menular, kita tiada pilihan selain laksanakan PdPR, maka kemudahan itu perlu disediakan dan perlu dipastikan mampu milik untuk semua golongan, kerana kita mahu berikan pendidikan untuk semua orang,” katanya.
Bukan terhenti di situ sahaja, bagi ibu bapa yang bertugas dalam sektor keperluan terpenting, sudah pasti mereka perlu membahagikan masa antara kerjaya dan keperluan PdPR anak mereka.
Tidak mustahil masa bertugas ibu bapa ada yang serentak dengan masa PdPR yang ditetapkan oleh pihak sekolah. Ini menyulitkan keadaan apabila ibu bapa perlu menguruskannya agar masing-masing tidak tercicir.
Ada juga ibu bapa yang terpaksa berhadapan dengan Bekerja Dari Rumah (BDR) atau Work From Home (WFH) yang memaksa ibu bapa turut perlu menggunakan gajet dan capaian internet. Sekiranya hanya ada satu atau dua sahaja gajet di rumah, bagaimana pula situasi ini boleh diatasi?
Justeru ramai ibu bapa mengharapkan agar KPM dapat menyediakan satu mekanisme paling optimum dalam memastikan anak-anak dapat terus menimba ilmu walaupun dari rumah.
Antara cadangan yang diutarakan oleh para ibu bapa di media sosial adalah pemerkasaan TV Pendidikan di stesen televisyen dan penggunaan media sosial untuk proses PdP seperti Facebook Live, Facebook Group dan YouTube Channel.
Selain itu ada juga yang mencadangkan agar pihak kerajaan memberi pelbagai inisiatif tambahan kepada para pelajar seperti pemberian notebook atau laptop percuma dan plan data yang jauh lebih murah serta berbaloi khusus untuk mereka yang bergelar pelajar.
Kita semua harus sedar ini merupakan isu ‘human interest’ di mana dunia kini sudah berbuah 360 darjah.
Jika dahulu keperluan untuk belajar mungkin sekadar pensil, pen, buku nota, pembaris dan sebagainya, namun sekarang ini gajet dan capaian internet merupakan perkara asas untuk semua yang bergelar pelajar sekolah dan universiti. - KitaReporters