Pusat Pemberian Vaksin Hospital Swasta (PPVHS) akan terlibat dengan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan di seluruh Johor. Gambar hiasan.


TUJUH Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Hospital Swasta (PPVHS) akan terlibat dengan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) di seluruh Johor bermula 1 Jun 2021.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor R Vidyananthan berkata, kesemua yang terlibat adalah empat PPVHS di daerah Johor Bahru dan masing-masing satu PPVHS di daerah Kluang, Batu Pahat dan Muar.

"PPV di hospital swasta ini akan memberikan sebanyak 250 hingga 1,000 dos seminggu bagi vaksin Covid-19," katanya seperti dipetik oleh Bernama pada Jumaat, 28 Mei 2021.

PPV di klinik swasta atau dikenali sebagai Pusat Pemberian Vaksin General Practitioner (PPVGP) pula telah bertambah sebanyak enam sejak 5 Mei 2021 iaitu lima PPVGP di daerah Johor Bahru dan satu di Batu Pahat.

"Pertambahan lima klinik swasta ini menjadikan sebanyak 43 PPVGP beroperasi di seluruh negeri ini terlibat dengan program imunisasi itu. PPVGP di klinik swasta ini akan memberi 36 hingga 90 dos seminggu vaksin Covid-19, bagaimanapun dos ini bergantung kepada pilihan kapasiti klinik masing-masing," katanya.

Menurut Vidyananthan, pengamal perubatan swasta di bawah kendalian ProtectHealth yang terbabit dengan program itu dilarang untuk mendapatkan senarai nama penerima vaksin dengan mengiklankan dalam media sosial atau aplikasi pesanan ringkas seperti WhatsApp, kerana dikhuatiri boleh menimbulkan kekeliruan dan salah faham dalam kalangan masyarakat.

Katanya, setakat ini Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) menyediakan 26 lokasi PPV iaitu enam di daerah Johor Bahru diikuti daerah Kota Tinggi dan Mersing masing-masing tiga PPV serta daerah Batu Pahat, Kluang, Muar, Pontian, Segamat, Kulai dan Tangkak masing-masing dua PPV. - KitaReporters


Lagi berita-berita terkini dalam KitaReporter

0
0
0
0
0

Copy Link: