Islamic Relief lancar Dana Wakaf Sistem Air! Projek air bersih Somalia, Indonesia, Bangladesh
Published byProjek WASH di Somalia menerusi kempen DWAS Islamic Relief Malaysia. - Kredit foto-foto: Ihsan IRM
MENURUT laporan Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF), kira-kira 2.2 bilion penduduk di seluruh dunia kurang mendapat akses kepada sumber air bersih untuk diminum.
Keadaan ini banyak terjadi di kawasan luar bandar, setinggan, kawasan bencana dan negara negara berpendapatan rendah. Akibatnya, 3.4 juta orang maut setiap tahun disebabkan jangkitan penyakit bawaan air.
Lagi laporan-laporan menarik berkaitan Islamic Relief:
https://kitareporters.com/search?search=Islamic+Relief
Projek WASH Islamic Relief di Somalia.
Menyedari akan impak besar yang berlaku sekiranya isu ini terus berlarutan, Islamic Relief Malaysia (IRM) mengambil langkah proaktif sempena Hari Air Sedunia 2021 yang disambut pada setia 22 Mac dengan melancarkan kempen Dana Wakaf Sistem Air bagi membina sistem bekalan air bersih di tiga buah negara iaitu Somalia, Bangladesh dan Indonesia menerusi sektor air, sanitasi dan kebersihan (water, sanitisation dan hygiene atau WASH).
Ketua Pegawai Eksekutif Islamic Relief Malaysia, Zairulshahfuddin Zainal Abidin berkata kempen Dana Wakaf Air Bersih ini menyasarkan kutipan dana sebanyak RM1.4 juta bagi menjayakan lima projek pembinaan sistem bekalan air seperti berikut:
Somalia:
- 1) Sistem Bekalan Air Termasuk Sistem Solar & Tangki Air 10M3 di Baidoa.
- 2) Sistem Bekalan Air Termasuk Tangki Air & Saluran Paip di Baladwayne.
- 3) Sistem Bekalan Air Termasuk Sistem Solar & Tangki Air 25M3 di Garowe.
Bangladesh:
- 4) 26 Telaga Tiub ‘Semi Deep’ di utara Bangladesh
Indonesia:
- 5) 7 Pam Ram Hidrolik
Projek WASH di Bangladesh
“Selain mewujudkan akses sumber air bersih kepada para penerima manfaat, Islamic Relief turut memberikan latihan penjagaan serta kursus baik pulih kepada ahli jawatankuasa setempat yang dilantik bagi memastikan kemudahan yang diberikan diurus tadbir serta diselenggara dengan baik pada masa akan datang.
“Bagi Islamic Relief, bantuan ini tidak hanya menyelamatkan nyawa penduduk di Somalia, Bangladesh dan Indonesia daripada ancaman penyakit bawaan air seperti kolera, cirit-birit, disentri dan sebagainya malahan untuk jangka masa panjang, ia juga dilihat mampu menaik taraf sektor pertanian, perindustrian, perikanan dan penjanaan sumber tenaga elektrik di negara tersebut.
“Inisiatif ini turut memberi peluang dan masa depan baharu buat kanak-kanak di Somalia khususnya untuk kembali meneruskan pembelajaran mereka di sekolah tanpa perlu menghabiskan masa yang banyak setiap hari untuk mengangkut air dengan berjalan kaki dalam jarak yang jauh,” jelas Zairulshahfuddin dalam satu kenyataan media pada 22 Mac 2021.
Projek WASH di Bangladesh.
Islamic Relief Malaysia memilih Somalia sebagai salah satu lokasi projek sebagai kesinambungan kejayaan pembinaan dua kompleks telaga air pada tahun 2018 dan satu kompleks air pada awal tahun 2021 hasil sumbangan orang ramai menerusi kempen Dana Wakaf Air Somalia (DWAS 1.0) dan Dana Wakaf Air Somalia 2.0 (DWAS 2.0) sebelum ini.
Usaha ini juga diharapkan dapat memberi penyelesaian jangka masa panjang kepada rakyat Somalia yang diancam kebuluran sejak tahun 2011.
Di Bangladesh, Islamic Relief Malaysia berharap dengan adanya kemudahan ini dapat mengurangkan peratusan 73 juta penduduk Bangladesh yang terpaksa menggunakan air tercemar dengan kandungan arsenik dan virus E. Coli bagi kegunaan harian.
Manakala di Indonesia pula, Bank Dunia melaporkan bahawa meskipun pendapatan per kapita negara itu lebih tinggi daripada Filipina dan Vietnam, namun Indonesia masih jauh ketinggalan dari sudut kemudahan air, sanitasi dan kebersihan.
Pembuangan najis secara terbuka juga masih berlaku dan ia boleh mengakibatkan sumber air tercemar serta membawa kepada penularan penyakit cirit-birit.
Projek WASH Islamic Relief di Indonesia
Justeru, Islamic Relief Malaysia sangat berharap usaha murni ini mendapat sokongan daripada seluruh rakyat Malaysia dalam usaha membantu meringankan beban para penerima manfaat serta menyokong Matlamat Pembangungan Lestari (SDG) yang ke-6 iaitu memastikan semua lapisan masyarakat di seluruh dunia mendapat akses kepada bekalan air bersih dan sistem sanitasi yang baik.
Kempen DWAS yang dilancarkan pada 22 Mac 2021 lalu akan berlangsung sehingga 31 Disember 2021, menurut kenyataan itu lagi.
Orang ramai yang ingin menyumbang untuk kempen Dana Wakaf Sistem Air dengan tagline Setitis Harapan, boleh berbuat demikian di http://bit.ly/dwas-irmalaysia atau hubungi 03- 8926 3434 untuk maklumat lanjut. - KitaReporters
Projek WASH Islamic Relief di Indonesia.