BANK Negara (BNM) disaran mengkaji semula model pembiayaan perumahan supaya memudahkan pemilikan perumahan dengan sasaran memastikan matlamat Satu Rumah Satu Keluarga untuk Keluarga Malaysia dapat dicapai.

Ini bertujuan, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bagi memastikan institusi kewangan mempermudahkan pinjaman untuk B40 dan M40 membeli rumah Program Perumahan Rakyat (PPR) dan rumah mampu milik (RMM),

"Fokus diberi untuk pembelian terus dan rent to own (sewa untuk milik). Semua pihak perlu memainkan peranan supaya sasaran Satu Keluarga satu Rumah dapat direalisasikan," tegasnya dalam satu kenyataan media hari ini, Khamis 10 Januari 2022.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan perumahan


"Hari ini (Khamis, 10 Januari 2022), saya telah mempengerusikan mesyuarat Majlis Perumahan Mampu Milik Negara (MPMMN) secara telesidang yang turut dihadiri Menteri-Menteri Besar dan Ketua-Ketua  Menteri, Menteri-Menteri Kabinet, Tan Sri Ketua Setiausaha Negara serta Gabenor Bank Negara. 

Turut hadir wakil-wakil agensi penyedia perumahan yang terdiri dari Agensi Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri dan Badan Berkanun serta wakil pemaju perumahan swasta. 

"MPMMN merupakan platform bagi membincangkan dan menyelaras hala tuju perancangan, penyelarasan serta pemantauan bagi penyediaan rumah mampu milik (RMM) di seluruh negara selaras dengan matlamat Satu Keluarga Satu Rumah," kata Ismail Sabri dalam satu kenyataan tersebut.



Menurut Perdana Menteri, mesyuarat itu bersetuju menetapkan hala tuju baharu Program Perumahan Rakyat (PPR) yang mengambil kira keperluan semasa serta memasukkan komponen baharu ke arah menjayakan agenda Malaysia Berdaya Huni atau Liveable Malaysia.

Pembinaan PPR baharu akan mengambil kira elemen seperti keterhubungan dan akses Internet seperti fibre to the home (FTTH), jaringan hubungan pengangkutan awam serta reka bentuk yang lebih ekonomik dan lebih selesa, katanya.

"Selain itu, MPMMN turut membincangkan strategi penyediaan dan pelaksanaan 500,000 unit rumah mampu milik di seluruh negara sepanjang tempoh Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) melibatkan Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri dan pihak pemaju perumahan swasta.

"Kerajaan komited memastikan penyediaan rumah kediaman yang mencukupi, berkualiti dan mampu dimiliki bagi memenuhi keperluan penduduk yang semakin bertambah," tegasnya. 



Oleh itu, katanya, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) telah memperkenalkan Home Ownership Programme (HOPE) bagi melihat ekosistem yang lebih menyeluruh dalam penyediaan perumahan, pembiayaan perumahan serta program-program yang dapat membantu Keluarga Malaysia dalam pemilikan perumahan.

Beliau memberitahu, mesyuarat itu juga mahu supaya Bank Negara melihat kembali model pembiayaan perumahan supaya memudahkan pemilikan perumahan. 

"Ini bagi memastikan institusi kewangan mempermudahkan pinjaman untuk B40 dan M40 membeli rumah PPR dan RMM. Fokus diberi untuk pembelian terus dan rent to own (sewa untuk milik)

"Semua pihak perlu memainkan peranan supaya sasaran Satu Keluarga satu Rumah dapat direalisasikan. 

"Untuk mencapai matlamat ini, Kerajaan Persekutuan akan memberi subsidi, kerajaan negeri menyediakan tanah, manakala bank mempermudahkan pembiayaan bagi memastikan harga rumah PPR dan RMM dapat dijual dengan harga yang berpatutan," tegas Ismail Sabri.



Dalam masa yang sama, Perdana Menteri berkatra, kerajaan komited untuk menyediakan RMM untuk generasi muda supaya mereka dapat memiliki kediaman sendiri.

Mesyuarat turut memberi tumpuan kepada pembinaan rumah mampu milik di bandar kecil dan pinggir bandar untuk meningkatkan peluang golongan M40 membeli rumah. 

"Kebimbangan mesyuarat adalah kos bahan binaan seperti besi dan keluli yang semakin meningkat serta penguasaan kartel dalam industri pembinaan

"Justeru, Menteri Perumahaan dan Kerajaan Tempatan serta Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA) diarah supaya menangani perkara ini. Jika ia berpunca daripada permit import (AP), mesyuarat mencadangkan supaya ia dibuka kepada semua.

"MPN juga mendengar pembentangan oleh Khazanah Research Institute dan Bank Negara berkenaan data-data semasa serta isu-isu berbangkit dalam aspek perumahan rakyat serta akses kepada pembiayaan bagi perumahan mampu milik.

"Maklumat-maklumat ini akan dijadikan asas kepada kerajaan untuk menambah baik strategi penyediaan perumahan mampu milik serta pengukuhan polisi-polisi berkaitan," tambah Perdana Menteri dalam kenyataan itu lagi. - KitaReporters


9
11
0
8
0

Copy Link: