PKPD di 5 kampung di Hulu Besut tamat! Penantian hampir sebulan penduduk 'terkurung' berakhir!
Published byPetugas menghantar bekalan keperluan kepada penduduk yang dikenakan PKPD di Hulu Besut, Terengganu
PENANTIAN hampir sebulan penduduk lima kampung di kawasan pedalaman Hulu Besut, Terengganu, yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) untuk hidup seperti biasa berakhir apabila kerajaan mengumumkan perintah tersebut ditamatkan pada 4 Mei 2021.
Penduduk terbabit dari Kampung Belaoh, Kampung PPRT Belaoh Baru, Kampung Keruak, Kampung Pak Sik dan Rancangan Tanah FELCRA Keruak di mukim Hulu Besut.
Lagi cerita-cerita menarik berkaitan PKPD
PKPD yang dilaksanakan di lima lokaliti tersebut sejak 7 April 2021 berikutan kes penularan pandemik COVID-19 yang memuncak kini ditamatkan mengikut jadual selepas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan trend kes di kawasan terbabit menurun dan kluster adalah terkawal.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika mengumumkan penamatan PKPD di lokasi tersebut pada 3 Mei 2021 berkata, kes terakhir telah direkodkan pada 20 April 2021 lalu ialah empat kes dan semua kes positif telah dirawat manakala semua kontak rapat telah tamat tempoh pemantauan 14 hari.
Penamatan perintah tersebut disambut baik oleh penduduk yang sebahagian besarnya petani selepas hampir sebulan mereka berada dalam kurungan dan tidak dapat keluar berurusan di bandar Jertih.
Penduduk, Ismail Deraman, 54, berkata beliau gembira dengan keputusan Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang menamatkan perintah tersebut dan dapatlah penduduk menjalankan aktiviti harian seperi biasa.
Bagaimanapun, katanya penduduk akan tetap berwaspada
dan mematuhi segala SOP yang ditetapkan oleh kerajaan bagi mengelak kes COVID-19 di
kawasan itu kembali semula.
“Sebulan berada dalam PKPD banyak pengalaman dan kenangan dilalui penduduk kerana pertama kali dalam sejarah hidup tidak dapat keluar berurusan di bandar,” katanya.
Abdul Rozak Muhammad
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Abdul Rozak Muhammad mengingatkan penduduk di kawasan terbabit jangan terlampau gembira dengan penamatan perintah tersebut kerana negeri ini masih lagi dalam kawalan PKPP.
“Orang ramai perlu mematuhi setiap arahan pihak berkuasa dan mengamalkan penjarakan sosial selain menjaga kebersihan,” katanya ketika mengulas perkembangan terkini penamatan PKPD di lokaliti tersebut.
Dalam perkembangan lain, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Besut mengagihkan bekalan makanan dan keperluan harian untuk kali terakhir kepada penduduk yang terkesan dengan perintah tersebut pada Isnin, 3 Mei 2021.
Tugas terakhir anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan RELA mengagihkan bekalan kepada penduduk pada 3 Mei 2021 sebelum PKPD tamat pada 4 Mei 2021
Sementara itu, Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) pada 3 Mei 2021 telah merekodkan pertambahan 15 kes discaj dan 38 kes baharu COVID-19 menjadikan terdapat 427 kes COVID-19 aktif di Negeri Terengganu dengan jumlah keseluruhan sebanyak 4,457 kes.
Sebanyak 423 kes aktif berada dalam keadaan stabil dan diberikan rawatan biasa, manakala empat kes menerima rawatan di ICU Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu dan memerlukan alat bantuan pernafasan. - KitaReporters
Petugas memunggah beras untuk diagihkan kepada penduduk dikenakan PKPD di Hulu Besut.