Dalam usaha memerangi maklumat palsu atau fake news kerajaan melancarkan Chatbot Sebenarnya.my, yang berfungsi sebagai penyemak berita yang tidak ditentusahkan dalam talian.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata chatbot tersebut akan membolehkan rakyat menyemak dan mendapatkan maklumat sahih dengan cepat dan mudah, selain mempercepat maklum balas terhadap maklumat yang tidak sahih dan tidak benar dalam talian.

"Chatbot Sebenarnya.my merupakan usaha kerajaan melalui agensi di bawah Kementerian Komunikasi iaitu Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC). 

"Chatbot Sebenarnya.my atau dikenali sebagai Artificial Intelligence Fact-check Assistant (AIFA), yang diterajui MCMC, bertujuan memerangi maklumat palsu, selain berfungsi sebagai platform rakyat menyemak berita yang tidak ditentusahkan dalam  talian," kata Fahmi pada majlis pelancaran chatbot berkenaan.

Beliau berkata, Chatbot AIFA juga berperanan meningkatkan fungsi portal Sebenarnya.my dengan tiga objektif utama:

  • membantu rakyat menyemak dan mendapatkan maklumat sahih dengan cepat dan mudah, 
  • mempercepat maklum balas terhadap maklumat tidak sahih dan tidak benar dalam talian serta 
  • memperkukuh peranan portal Sebenarnya.my dalam menangani penyebaran maklumat palsu di Malaysia. 



Menurutnya, ciri-ciri utama Chatbot AIFA termasuklah: 

  1. Aksesibiliti: Mesra pengguna dan boleh diakses sepanjang masa di portal  dan platform WhatsApp; 
  2. Pengesahan fakta yang pantas: Menggunakan algoritma dan  pembelajaran mesin (machine learning) untuk memadankan maklumat  dengan sumber yang boleh dipercayai; 
  3. Pendidikan digital: Berperanan bukan sekadar menyampaikan maklumat  sahih bahkan mendidik pengguna mengenal pasti sumber maklumat yang  boleh dipercayai; 
  4. Penglibatan komuniti: Menggalakkan rakyat terlibat secara aktif dengan  platform chatbot yang disediakan; 
  5. Pelbagai bahasa: Tersedia dalam Bahasa Melayu, Inggeris, Cina dan Tamil  sekali gus memastikan akses kepada pelbagai kumpulan pengguna; dan vi. Input: Pada masa ini, input hanya diterima dalam format teks. Namun,  kemampuan untuk menerima input dalam pelbagai format akan diteroka  pada masa hadapan.

Sehubungan itu, kata Fahmi, rakyat disaran untuk menggunakan AIFA bagi mendapatkan kesahihan sesuatu berita dan membantu pihak kerajaan dalam menangani penyebaran maklumat palsu. - KitaReporters/Kenyataan Media

6
9
0
14
0

Copy Link: