Gadis inovasi, Maryam Muzamir intai peluang! Sertai pertandingan ciptaan di Eropah, Amerika Syarikat!
Published byMaryam Muzamir bersama keluarganya
Gadis cilik luar biasa, Maryam Muzamir kini sedang mengintai peluang untuk turut serta pada acara berkaitan ciptaan baharu dan pertandingan di Eropah atau Amerika Syarikat pada tahun ini (2023). Kejayaan Maryam dalam dunia inovasi dan ciptaan baharu itu begitu mengujakan rakyat Malaysia kerana ia adalah pencapaian di peringkat global.
Kejayaan murid tahun enam Sekolah Kebangsaan (P) Methodist Kuantan ini yang menerima pengiktirafan antarabangsa terus diperkata walaupun sudah berlalu hampir enam bulan lamanya.
Lagi cerita-cerita menarik berkaitan pelajar Maryam Muzamir
"Saya terkejut dan baru sahaja tahu mengenainya. Apapun, saya gembira sebab selepas enam bulan, orang masih ingat dan kembali memperkata mengenainya.
"Kawan-kawan di sekolah juga tumpang bangga dan mereka sentiasa memberikan sokongan," katanya selepas mendapat tahu mengenai laporan berita yang disampaikan hos James Corden dalam programnya dan tular semula dalam TikTok.
Menurutnya, dia sudah memikirkan mengenai ciptaan dan produk baharu yang akan diperkenal.
"Cuma, masih belum buat sebab nak kembangkan idea. Mungkin selepas peperiksaan akhir tahun baru saya nak fokus.
"Kalau ada pertandingan sesuai di Eropah dan Amerika Syarikat saya nak cuba sertai. Dalam masa sama, saya berbesar hati jika ada mana-mana pihak atau kerajaan sudi menaja, sebab kos ke sana agak tinggi," katanya ketika ditemui di rumahnya di Bukit Istana, Kuantan pada Selasa, 10 Januari 2023.
Maryam tidak gugup ketika memberi penerangan mengenai inovasi ciptaannya kepada Ketua Pengarah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Datuk Pkharuddin Ghazali
Menurutnya, dia bangga dan gembira produk ciptaannya mendapat sokongan pelbagai pihak bukan saja dalam negara, tapi juga pada peringkat antarabangsa.
"Alhamdulillah, saya gembira apabila inovasi ciptaan saya dipandang oleh orang luar dan bukan dalam negara saja. Lebih membanggakan apabila syarikat antarabangsa dari pelbagai negara mengiktiraf produk ini.
"Sudah semestinya ia satu lagi pencapaian yang cukup manis buat saya kerana hasil ciptaan ini dikenali," katanya.
Terdahulu, Maryam membuat kejutan luar biasa apabila merangkul dua pingat emas dalam The 22nd Annual British Invention Show Awards 2022 pada Julai tahun lalu (2021).
Maryam memenangi Anugerah Double Gold Award dan Chairmans Special Recognition Award – Young Ambassador of Innovation dalam pertandingan reka cipta, inovasi dan teknologi paling berprestij serta paling lama di United Kingdom.
Malah pada tahun 2021, Maryam yang juga anak sulung daripada dua beradik itu meraih tiga pingat emas dalam Pertandingan Ciptaan, Inovasi Antarabangsa Keenam di Toronto, Kanada.
Maryam sewaktu ditemui media
Kejayaan Maryam tidak terhenti setakat itu apabila inovasi ciptaannya iaitu produk diberi nama Yam 2.0: Sustainable Livestock Feed hasil inovasi makanan haiwan dihasilkan daripada kulit udang dan siput sedut itu menarik minat beberapa syarikat antarabangsa dari China, Singapura dan Indonesia untuk membeli seterusnya dikomersialkan.
Sementara itu, bapanya, Profesor Madya Ts Dr Muzamir Hasan, 40, berkata, inovasi Yam 2.0 sudah dipaten yang mana ditaja sepenuhnya oleh Kementerian Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) pada tahun lalu (2022).
"Sejak menang dari 2021 dan tahun lalu, pihak kementerian dan agensi kerajaan banyak bagi perhatian. Saya nak berterima kasih kepada Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) yang lalu, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi kerana memberi tajaan penuh dari segi harta intelek yang mana inovasi ciptaan Maryam ini sudah mendapat hak cipta terpelihara atau asas paten (Perbaharuan Utiliti).
"Sebenarnya, ada banyak industri penternakan haiwan tanya mengenai produk ini. Bukan saja dalam negara, tapi juga dari China, Singapura dan Indonesia, cuma buat masa sekarang kami belum bercadang untuk mengkomersialkan kerana memerlukan kos tinggi termasuk operasi kilang, pembuatan dan penghasilan.
"Insya-Allah, kalau Maryam sudah habis belajar dan ingin meneruskan kerjaya sebagai ahli perniagaan dia boleh kembangkan inovasi ini. Buat masa sekarang kalau boleh saya memang nak dia fokus pada akademik kerana dia pun bercita-cita nak menjadi pensyarah seperti saya," katanya.
Sekalung tahniah diucapkan kepada Maryam. Semoga murid cilik ini terus mengembangkan bakatnya dalam dunia inovasi dan ciptaan baru di Malaysia seterusnya meraih kejayaan di pentas antarabangsa. - KitaReporters
Maryam menerangkan inovasi ciptaannya kepada Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al -Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al Mustafa Billah Shah