Penduduk reda! COVID-19: PKPD di empat kampung, satu rancangan Felcra di Hulu Besut dilanjutkan!
Published byWALAUPUN sedih dengan keputusan melanjutkan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), penduduk empat kampung dan satu kawasan Felda di kawasan pedalaman Hulu Besut, Terengganu terpaksa akur dengan keputusan kerajaan tersebut demi keselamatan penduduk yang menghadapi pandemik COVID-19.
Penduduk terbabit dari Kampung Belaoh, Kampung PPRT Belaoh Baru, Kampung Keruak, Kampung Pak Sik dan Felcra Keruak terpaksa menerima hakikat mereka terpaksa meneruskan kehidupan harian dalam suasana PKPD selain berada dalam bulan Ramadan.
PKPD dalam lokaliti tersebut yang dijadualkan tamat pada 20 April 2021, telah dilanjutkan hingga 27 April 2021 ini berikutan angka jangkitan masih tinggi.
Lagi cerita-cerita menarik berkaitan Hulu Besut
Bekalan makanan dan keperluan asas dihantar kepada penduduk dalam kawasan PKPD di Hulu Besut,Terengganu.
Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT), Dr Nor Azimi Yunus berkata, Kluster Kampung Belaoh didaftarkan pada 6 April 2021 merupakan kluster komuniti yang melibatkan daerah Besut dan Marang di Terengganu dan daerah Bachok di Kelantan adalah punca kampung terbabit dikenakan PKPD.
Dr Nor Azimi Yunus
Katanya, nama kluster tersebut adalah berdasarkan kepada kawasan tempat tinggal kes indeks.
Kes indeks bagi kluster ini ialah Kes 3615 yang merupakan seorang lelaki berusia 62 tahun, Warganegara Malaysia dan dilaporkan positif COVID-19 pada 4 April 2021 hasil saringan individu bergejala. Saringan kontak rapat seterusnya berjaya mengesan kes-kes lain dalam kalangan kenalan rapat dan ahli keluarga.
Pasukan petugas menghantar bekalan menggunakan lori ke kawasan pedalaman Hulu Besut yang dikenakan PKPD.
Penduduk kampung terbabit yang kini berhadapan dengan dugaan bulan Ramadan dan tidak dapat keluar dari kawasan kampung masing-masing akibat kawalan ketat pihak berkuasa bagaimanapun bersyukur kerana pihak berkuasa dan pemimpin setempat mengagihkan pelbagai jenis makanan keperluan untuk penduduk.
Ahli Parlimen Besut, Datuk Seri Idris
Jusoh, antara pemimpin yang mengambil tanggungjawab membekalkan keperluan
makanan kepada penduduk yang terjejas dan terpaksa berada di rumah dalam tempoh
pelaksanaan PKPD tersebut.
Sementara itu, situasi semasa COVID-19 pada 18 April 2021, Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu telah merekodkan pertambahan 37 kes discaj dan 16 kes baharu COVID-19 menjadikan terdapat 213 kes COVID-19 aktif di Negeri Terengganu dengan jumlah keseluruhan sebanyak 3,895 kes.
Kesemua 213 kes aktif berada dalam keadaan stabil dan diberikan rawatan biasa. - KitaReporters