PIHAK industri dan universiti diminta melahirkan masyarakat 'pencipta inovasi' untuk kelangsungan pertumbuhan ekonomi negara.

Dr. Mohd. Nor Azman Hassan (dua dari kanan) menyempurnakan gimik pelancaran Forum Pengurusan GLU sambil diperhatikan oleh (dari kanan) Prof. Ts. Dr. Mohamed Ibrahim Abdul Mutalib; Prof. Datuk Ts. Dr. Ahmad Rafi Mohamed Eshaq, Prof. Dato Dr. Mazliham Mohd. Su'ud; dan Prof. Dr. Siti Salbiah Mohamed Shariff.


Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin berkata, pada waktu ini, rata-rata golongan muda hanya pengguna inovasi tetapi tidak mencipta inovasi.

Katanya, keadaan itu disebabkan masalah kekurangan minat terhadap terhadap kepentingan sains, teknologi dan kejuruteraan dan matematik (STEM) oleh golongan berkenaan. 

"Hari ini, para pelajar di universiti adalah pengguna inovasi - emel, telefon bimbit, teks mesej, Facebook dan lain-lain - tetapi kerajaan juga mahu mereka menjadi pencipta kepada inovasi masa depan," katanya. 

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Forum Pengurusan Universiti Berkaitan Kerajaan (GLU) 2019 di Hotel Pulse Grande Putrajaya di Putrajaya semalam (4/11/2019). 

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Ketua Setiausaha kementerian, Dr. Mohd. Nor Azman Hassan. 

Turut hadir Naib Canselor Universiti Teknologi Petronas (UTP), Prof. Ts. Dr. Mohamed Ibrahim Abdul Mutalib; Presiden Universiti Kuala Lumpur (UniKL), Prof. Dato Dr. Mazliham Mohd. Su'ud; Presiden Universiti Multimedia (MMU), Prof. Datuk Ts. Dr. Ahmad Rafi Mohamed Eshaq dan Timbalan Naib Canselor Universiti Tenaga Nasional (Uniten), Prof. Dr. Siti Salbiah Mohamed Shariff. 

Bee Yin berkata, kementerian telah mengambil pelbagai langkah termasuk merangka 150 pelan tindakan di bawah tiga sektor untuk dilaksanakan dalam tahun ini.

Namun, katanya, ia masih tidak mencukupi dan sebab itu pihak industri serta universiti perlu tampil membantu dalam membudayakan inovasi dalam masyarakat. 

"Kita perlu kembalikan fokus golongan muda terhadap STEM seperti zaman sebelum ini. Ini kerana masa depan industri dan ekonomi negara, sudah semestinya, memerlukan tenaga kerja yang celik STEM pada depan," jelasnya. 

Bee Yin memberitahu, semua pihak perlu bekerjasama menyemai budaya inovasi dengan menanamkan minat terhadap STEM sejak dari sekokah rendah hingga ke peringkat universiti dan industri. 

Forum tersebut yang dihadiri pemegang berkepentingan dalam industri, penyelidik, dan kepimpinan universiti, diadakan untuk berkongsi kepakaran dan pengalaman dalam sektor pendidikan tinggi negara.

4
2
0
0
0

Copy Link: