SEKITAR tahun 1991 lalu, rangka manusia prasejarah dinamakan Perak Man dijumpai sekumpulan penyelidik yang menjalankan kerja-kerja penyelidikan dan ekskavasi(penggalian) di Gunung Runtuh, Perak pada ketinggian 105 meter dari paras laut.

Kerja-kerja berkaitan dijalankan bermula tahun 1990 oleh pelajar-pelajar Universiti Sains Malaysia (USM) diketuai Pensyarah, Dr Zuraina Majid (Prof. Emeritus Datin Paduka Dr. Zuraina Majid) dengan kerjasama Jabatan Muzium Malaysia.

Hasil penemuan itu mendedahkan manusia prasejarah telah menduduki gua tersebut bermula kira-kira 13,000 tahun dahulu dan rangka berkenaan kemudiannya diabadikan di Galeri Arkeologi Lembah Lenggong di Kota Tampan, Lenggong, Perak.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan Perak Man


Lakaran wajah Perak Man dihasilkan menerusi kaedah 3D virtual reconstruction.


Setelah 30 tahun ditemukan, pada 19 Januari 2021, Perak Man akhirnya dilaporkan mempunyai wajah dihasilkan menerusi kaedah '3D virtual reconstruction' oleh sekumpulan penyelidik USM dan pakar reka bentuk 3D dari Brazil iaitu Cicero Moraes.

Maklumat itu terkandung dalam artikel jurnal diterbitkan menerusi 'Malaysian Journal of Medical Sciences USM'.

Beberapa media arus perdana yang memetik Bernama menyebut, projek menghasilkan lakaran wajah Perak Man dengan kaedah 3D virtual reconstruction itu tercetus sekitar tahun 2019 hasil idea Pakar Bedah Neurosurgeri, Hospital USM iaitu Prof Datuk Dr Jafri Malin Abdullah.

Beliau yang banyak menjalankan kajian berkaitan neurosains dan kognitif kemudiannya membentuk pasukan penyelidik untuk mereka membentuk semula tulang kepala Perak Man dan seterusnya membuat lakaran wajah Perak Man.


Perak Man


Salah seorang yang terlibat iaitu Pensyarah Radiologi Oral dan Maksilofasial di Pusat Pengajian Sains Pergigian USM, Dr Johari Yap yang memiliki kepakaran dalam pengimejan kraniofasial dan rekonstruksi 3D muka serta tengkorak.

Menurut beliau yang berkongsi pengalaman dengan Bernama, pihaknya menggunakan data imbasan CT Perak Man dan tengkorak yang terbentuk dalam imej 3D untuk dihantar melalui e-mel kepada Cicero Moraes bagi menghasilkan lakaran wajah Perak Man.


Rangka tulang dan gambaran Perak Man yang dipamerkan di Galeri Arkeologi Lembah Lenggong, Perak.


Untuk info, Perak Man dipercayai dilahirkan lebih 10,000 tahun lalu dalam keadaan cacat dengan badannya agak pendek dan jantinanya dikesan dengan mengkaji tulang punggung, sakrum (tulang komposit membentuk belakang pelvis) dan tengkorak serta tulang paha. 

Perak Man dipercayai hidup sekitar usia antara 40 hingga 45 tahun iaitu dua kali ganda daripada purata jangka hayat masyarakatnya dan jangka hayat masyarakat zaman Paleolitik adalah sekitar 20 hingga 30 tahun sahaja. 

Rangka tulang Perak Man masih  tersimpan kukuh dan dijaga rapi dalam Arkeologi Lembah Lenggong lengkap dengan wajah sehingga kini. - KitaReporters


Kerja-kerja mencari tapak arkeologi, mengkaji dan melakukan ekskavasi tugas yang rumit dan penuh mencabar.


7
11
0
15
0

Copy Link: