Tiru macam Azrol! Buat kerja sanitasi percuma secara solo!!
Published byKEBIASAANNYA orang melakukan kerja-kerja sanitasi awam ini secara berkumpulan dan mereka ini terdiri daripada pekerja syarikat yang menjalankan kerja-kerja sanitasi awam nyahkuman. Adalah sesuatu yang kelihatan sedikit janggal apabila ianya dilakukan oleh seorang individu sahaja. : KitaReporters
Sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) aktiviti sanitasi dilaksanakan oleh syarikat yang dilantik untuk melakukan kerja berkenaan di lokasi awam seluruh negara.
Jarang kita melihat kerja-kerja sanitasi itu dilakukan secara bersendirian. Jika adapun mungkin ianya dilakukan pemilik kediaman itu sendiri.
Kebetulan pula ketika ini umat Islam sedang menjalani ibadah puasa dan setiap insan memilih untuk bersedekah dan beramal jariah dalam usaha mendapat ganjaran pahala sebanyak mungkin.
Masing-masing mempunyai cara tersendiri untuk berbakti.
Tidak kiralah sama ada dalam bentuk kewangan, barangan mahupun tenaga. Jujur dan ikhlas dalam beramal itu juga penting.
Itu yang terpahat di hati Azrol Johan, 39, yang memilih untuk berbuat amal kepada masyarakat setempat di Pahang dengan melakukan kerja-kerja sanitasi secara percuma.
Ini baru betul-betul 'One Man Show'.
Azrol Johan melakukan kerja-kerja sanitasi di kawasan halaman Masjid Tengku Ahmad, Jerantut
Menurutnya, kerja sanitasi nyahkuman di tempat tumpuan awam seperti masjid, surau, sekolah dan premis awam dilakukan secara seorang diri sebagai sumbangan jariah dan kebetulan pula ketika umat Islam sedang menjalani ibadah puasa.
Jom kita rebut pahala secara bersama.
"Saya berharap dengan sumbangan kecil ini dapat membantu kerajaan kita bagi mengelakkan penularan virus dan bersama menghapuskan wabak COVID-19.
"Saya bercadang untuk membuat kerja amal ini di 100 tempat, khususnya di lokasi yang menjadi tumpuan orang ramai seperti masjid, surau sekolah dan tempat awam lain," katanya yang juga pemilik syarikat AJ MEGABIZZ iaitu syarikat pembekal bahan pencuci atau sabun basuh jenama JUTA1.
Azrol Johan melakukan kerja-kerja sanitasi di Masjid Tengku Ahmad, Jerantut
Azrol menggunakan bahan cecair disinfeksi yang bersesuaian dan yang tidak mempunyai bau yang busuk bagi menghapuskan kuman COVID-19.
Menurutnya, setakat ini, dia sudah membuat sanitasi di Masjid Ar Rayyan dan Pasti Indera Mahkota di Kuantan dan diteruskan di Masjid Tengku Ahmad dan Masjid Tengku Mahkota Abdullah, Jerantut.
Walau kerja-kerja sanitasi dilakukan sendirian ianya tidak mendatangkan masalah kepada Azrol
"Saya memilih masjid kerana di situ nanti akan berkumpul ramai jemaah dan kerja sanitasi nyahkuman ini sebagai langkah pencegahan dan perlindungan untuk jemaah kelak.
Pencegahan awal adalah yang terbaik.
"Saya juga ingin menyumbang cecair disinfeksi kepada masjid dan surau yang ingin membuat sanitasi sendiri," katanya.
Masjid dan surau yang berminat boleh menghubungi beliau melalui talian 013-9090906.
Semoga lebih ramai lagi 'Azrol Johan' akan lahir dalam membantu kerajaan berusaha mencegah dan mengawal penularan COVID-19.
Syabas dan tahniah atas inisiatif dilakukan. - KitaReporters