Bedah kuala dilakukan bagi menyelamatkan penduduk Kota Bharu ditenggelami banjir.


BAGAIKAN jatuh ditimpa tangga. Malang sungguh nasib penternak ikan air masin dalam sangkar di Pantai Kundor, Sabak Kelantan yang kerugian lebih RM100,000 selama tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) apabila sebahagian besar ikan tidak boleh dijual dan ketika banjir besar baru-baru ini pula, 30 peratus daripada 500 petak sangkar bercampur air tawar menyebabkan ikan mati. 

Pengerusi Koperasi Penternak Akuakultur Pantai Kundor Kelantan Berhad (KoAkua), Mohd Salahuddin Shaari, mengakui kerugian paling besar yang pertama kali berlaku itu kerana sejumlah besar ikan siakap yang diternak tidak dapat dijual bukan saja kepada orang ramai malah peraih dan restoran membatalkan tempahan.


Lagi kisah-kisah menarik berkaitan perikanan:

https://kitareporters.com/search?search=perikanan


Pengerusi KoAkua, Mohd Salahuddin Shaari.


Ketam nipah 3 ekor/1kg atau harganya RM55/1kg. Ini diternak oleh ahli KoAkua


Nelayan mampu memperolehi tangkapan dalam satu hingga dua tan sebulan kerana setiap nelayan boleh memuat naik 500 kilogram ikan bagi satu petak sangkar. Sebanyak 100 hingga 200 kilogram ikan dijual setiap kali tangkapan dan pengeluaran ternakan dilakukan setiap hari.

Koperasi bukan saja menjual sekitar Kelantan malah pasaran ikan dan ketam nipah yang diusahakan itu sudah mendapat tempahan dari Selangor, Kuala Lumpur dan Seremban. Hasil akuakultur itu dipasarkan secara segar.



"Bagaimanapun, musim banjir lalu, kami tidak sempat menaikkan ikan dari sangkarnya dan banjir air tawar telah melimpah ke pusat ternakan serta membunuh ikan. Ditambah pula dengan sekatan masa wabak Covid-19 lebih setahun lalu itu, banyak restoran tutup, turut menjejaskan pendapatan nelayan di sini.

"Malah ikan yang membusuk itu kami terpaksa buang begitu saja. Nak buat baja pun kami belum ada teknologi lagi, nasib baiklah hampir 52 nelayan yang menjadi ahli koperasi mendapat bantuan untuk meneruskan perniagaan sekarang," katanya.


  


Salahuddin berkata kes kerugian itu mungkin bertambah sekiranya nelayan tidak mengambil langkah drastik dengan bekerjasama penduduk kampung Pulau Sabak membuat `bedah kuala` iaitu membuat saliran parit sementara di muara Pantai Sabak untuk memberi laluan kepada banjir terus ke laut.

Operasi `bedah kuala`, katanya adalah acara tahunan sejak turun termurun tetapi sekarang ada pihak menuduh koperasi menggunakan bom untuk membuat `saliran parit berkenaan`. 

Ia sebenarnya mampu menyelamatkan beratus-ratus ribu penduduk di Kota Bharu dan kawasan sekitarnya daripada terus ditenggelami banjir.




Dulu penduduk menggunakan cangkul untuk mengali parit tetapi sekarang jentolak.

Sewa jentera itu ditaja oleh penghulu kampung dengan bayaran RM450 sehari dan kerja menggali parit ini perlu apabila limpahan banjir dari Sungai Kelantan ke kampung berhampiran lebih tinggi daripada paras laut. 

Dengan membuat parit di muara laut, air banjir bertakung akan dialirkan terus ke laut.

"Ada juga penduduk mengadu koperasi buat kerja sia-sia kerana semua parit ini akan ditimbus balik oleh pasir itu. Kalau kami tak buat parit, banjir deras ini boleh merobohkan rumah penduduk di sini," kata Salahuddin sebagai usaha membetulkan persepsi sesetengah penduduk yang menulis komen negatif dalam Facebook koperasi berkenaan.



Koperasi dalam bidang perikanan itu dibangunkan oleh Salahuddin, bekas lulusan Mekatronik dari Politeknik Ungku Umar, Ipoh, sejak dua tahun lalu. 

Berasal dari anak nelayan yang bapanya yang seluruh hidup mencari rezeki di laut mendorong beliau mengumpul nelayan dan mengusahakan petak sangkar untuk menternak ikan siakap serta ketam nipah yang ternyata mendapat sambutan luar biasa.

Setakat ini, rangkaian pusat beli-belah Aeon Kelantan telahpun memberi kontrak dengan menyediakan `pasar ikan` kepada koperasi untuk membekal dan memasarkan ternakan akuakultur termasuk siakap putih itu. Ikan itu dijual dengan harga RM20 sekilo. 



Koperasi cuba menggelakkan persaingan dengan peraih tempatan yang lain dengan meneroka pasaran baru bagi memastikan perniagaan mereka tidak menimbulkan perselisihan faham.

"Koperasi mendapat kerjasama penuh dari Jabatan Perikanan Kelantan dan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) untuk membantu dari segi kemudahan pelesenan, kewangan dan khidmat nasihat tentang operasi ternakan ikan dalam sangkar," katanya sambil mengalu-alukan kerjasama daripada syarikat yang ingin membantu koperasi mengusahakan industri hiliran berasaskan sumber laut itu.

Setakat ini koperasi berjaya menjimatkan kos makanan ikan dalam sangkar itu menggunakan sisa ikan termasuk bahagian kepala yang tidak diperlukan oleh penduduk dalam proses membuat keropok lekor untuk dijadikan makanan utama kepada ikan dalam sangkar itu.

Jika tidak nelayan perlu membayar RM150 untuk seguni pallet ikan yang beratnya 20 kilo dan satu hari antara dua hingga tiga guni pallet diperlukan bagi bekalan makanan ikan berkenaan. - KitaReporters


Kami sudah berjaya....orang muda membangunkan ladang ternakan ikan moden.


Nota: 

Beberapa hari selepas interview ini dibuat, Salahuddin terbabit dalam kemalangan jalan raya di Lebuh Raya Merapoh menghala ke Gua Musang pada 5 Februari 2021, jam 1.30 pagi atas urusan kerja. (gambar kereta di bawah).

Beliau kemudian dirawat di Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Bharu Kelantan untuk rawatan lanjut dan semua peserta KoAkua mendoakan pembedahan beliau berjalan lancar dan segera sembuh. 

Ini kerana Salahuddin adalah `Kepala dan tulang belakang. Tanpanya, nelayan tiada penggantinya.

KitaReporters mendoakan semoga Salahuddin segera sembuh. Insya-Allah.


2
0
0
0
0

Copy Link: