Video| Minat daki tembok? Clubrock Perlis akan letakkan Malaysia pada peta dunia dalam ekopelancongan!
Published byMohd Shukri Ramli (empat dari kiri) dan Nellsen Young (tiga dari kiri) bersama tetamu kehormat lainnya melancarkan prapelancaran ClubRock Perlis di KL Eco City, Kuala Lumpur pada 11 Julai 2023. - Kredit foto: FAS
Perlis, negeri terkecil di Semenanjung Malaysia bakal memartabatkan Malaysia di persada peta dunia sebagai destinasi pelancongan kembara apabila terlaksananya pembukaan ClubRock Perlis pada Januari 2024 ini.
ClubRock Perlis adalah kem induk ‘rock climbing’ (daki tembok) pertama dan pusat pengembaraan eko (ekokembara) bagi negeri Perlis yang terkenal dengan landskap indah dihiasi sawah padi yang terbentang luas dan singkapan batu kapur yang unik.
“Kami sangat teruja untuk memperkenal ClubRock Perlis ini dengan misi untuk mewujudkan ruang bagi pendidikan, pembangunan, pertumbuhan komuniti dan penerokaan,” kata Dato Nellsen Young, Pengerusi Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif MyUS Group of Companies Right dalam ucapannya pada majlis prapelancaran ClubRock Perlis yang disempurnakan bersama Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli di KL Eco City, Kuala Lumpur pada 11 Julai 2023.
Turut hadir Ketua Pegawai Operasi Kumpulan MyUS, Kelvin Gan dan Pengurus Besar MyEcoDiscovery Sdn Bhd, Mark Hisham serta jemputan kehormat daripada Kerajaan Negeri Perlis.
Berkongsi lanjut, Nellsen memberitahu, dengan pembinaan ClubRock Perlis ia sekali gus mampu mewujudkan pelbagai peluang pekerjaan bagi komuniti setempat dan industri tempatan.
“Projek ini akan menawarkan peluang pekerjaan buat masyarakat setempat dalam pelbagai sektor seperti hospitaliti, perkhidmatan kulinari dan bimbingan pengembaraan malah ClubRock Perlis juga komited untuk menyokong industri kecil dan sederhana dengan penghasilan produk tempatan daripada penjual makanan tempatan sekali gus mempromosikan aktiviti tradisional negeri Perlis di kafe ClubRock,” tambah Nellsen (gambar bawah).
Beliau turut memaklumkan, ClubRock Perlis juga akan berfungsi sebagai pusat untuk latihan dan kursus pemantapan ‘rock climbing’ yang dikenali bagi daki tembok dari dalam dan luar negara.
Dengan terlaksananya majlis prapelancaran tersebut, ClubRock Perlis yang dikendalikan oleh MyEco Discovery Sdn Bhd (ahli Kumpulan MyUS) akan memulakan pameran jelajah jualan ke seluruh negara bermula di Kuala Lumpur, Johor Bahru, Pulau Pinang dan seterusnya di Perlis sehinggalah ke hari pembukaan secara rasminya pada Januari 2024 kelak.
Sehubungan itu, sempena dengan Tahun Melawat Perlis 2024-2025, ClubRock Perlis yang terletak di Gua Kelam, merangkumi keluasan tanah lebih 23,000 kaki persegi, pada kos lebih kurang RM20 juta akan memperkenal Pakej Pengembaraan eksklusifnya yang berupa penginapan 3 hari 2 malam untuk empat orang sebilik termasuk sarapan pagi pada harga RM499.
“Bagi meraikan pelancaran pakej ini, kami menawarkan kod promosi istimewa “ClubRock100’ yang menawarkan diskaun sebanyak RM100 dari harga jualan asal RM499.
"Ini bermakna pengunjung akan mendapat harga tawaran istimewa sebanyak RM399 bagi 4 orang sebilik untuk setiap baucar yang dibeli.” ujar Kelvin Gan ketika ditemui sambil memberitahu kod promosi tersebut boleh ditebus dalam laman sesawang www.clubrock.com.my.
Gambaran kem ClubRock Perlis dan Gua Kelam (bawah).
Selain daripada sesi ‘rock climbing’, mereka yang membeli pakej berkenaan berpeluang mengambil bahagian dalam aktiviti mengujakan seperti menerokai keindahan alam semula jadi di dalam Gua Kelam 1 bersama tenaga pengajar berpengalaman yang dipimpin oleh Ketua Pengambaraannya, Zainol Din.
“Pakej ini juga termasuk makan malam istimewa di sebuah restoran ikan bakar terkenal di Kuala Perlis serta pengangkutan pergi dan balik dari stesen kereta api atau stesen bas untuk empat orang,” sambung Mark Hisham.
Walau pun ‘rock climbing' kekal sebagai tarikan utama, ClubRock Perlis turut menawarkan pelbagai aktiviti sampingan yang sesuai untuk kanak-kanak seawal usia tujuh tahun seperti pendakian mudah hingga aktiviti meneroka Gua Kelamn1 yang mesra kanak-kanak agar memberikan mereka merasai pengalaman meneroka alam semula jadi serta melihat hidupan liar.
“Kewujudan ClubRock Perlis bertujuan untuk memupuk rasa menghargai alam semula jadi dalam kalangan kanak-kanak dari semua peringkat umur sekali gus memastikan ia destinasi yang sesuai untuk seisi keluarga bagi pelancong dalam dan luar negara,” akhiri Mark Hisham.
Dari kiri: Mark Hisham, Kelvin Gan dan Zainol Din.
Seiring dengan usaha mengutamakan amalan mampan, ClubRock Perlis akan menggabungkan teknologi mesra alam ke dalam operasinya untuk memelihara sumber semula jadi, mengitar semula air dan mengurangkan sisa buangan.
Sementara itu, dalam usaha memelihara dan menerokai alam semula jadi di kawasan Gua Kelam, ClubRock Perlis mengalu-alukan usaha sama dengan universiti dan penyelidik yang berminat untuk mengkaji flora dan fauna negeri Perlis serta kerjasama demi pertukaran pengetahuan.
Jadi tunggu apa lagi, jika anda mahu menjadi sebahagian daripada tetamu terawal pembukaan kem pengembaraan ini apa kata bersedia hadir ke jelajah jualan promosinya berdekatan untuk menikmati penginapan yang unik di tengah keajaiban alam semula jadi Gua Kelam, nun di utara Semenanjung Malaysia.
Siapa sangka negeri yang boleh diibaratkan umpama sekecil ‘cili padi’ ini mampu memberikan impak kehangatan sama yang memukau apatah lagi apabila mata berdepan keindahan alam saujana mata memandang berlatarkan monolit batu kapur yang menakjubkan.
Untuk maklumat lanjut, boleh layari www.clubrock,com.my dan ikuti berita berkenaan ClubRock dalam laman sosial Facebook dan Instagram, - KitaReporters