Tanam pokok cili tapi tak menjadi? Cuba kaedah ini! Tanam di celah pokok pisang! Tak perlu bajapun!
Published byPokok cili kelihatan subur dan merimbun apabila ditanam di celah pokok pisang.
Jomlah kita berbudi kepada tanah dengan menanam pelbagai jenis pokok tanaman atau sayuran! Antara pokok sayuran kegemaran ialah serai, cili, terung, kunyit dan pelbagai lagi. Nak memasak senang, petik di belakang rumah sahaja.
Begitulah yang sering dilakukan oleh golongan emak-emak atau suri rumah terutama yang tinggal di kampung atau taman perumahan (landed house).
Aktiviti ini bukan sahaja sebagai terapi minda tapi juga dapat mengeluarkan peluh, sekali gus menyihatkan. Namun, tidak semua tanaman atau sayuran yang ditanam berdaun atau berbuah lebat. Kadang-kadang langsung tidak tumbuh dan mati.
Kemudian salah tangan kerana dikatakan tangan panas. Hanya orang bertangan sejuk sahaja mudah menanam pokok dan sayuran. Padahal ia hanya mitos!
Bertangan panas atau sejuk, ia tiada kaitan. Segalanya berpunca daripada teknik penanaman itu sendiri. Kalau betul teknik dan petuanya, maka suburlah pokok dan sayuran yang ditanam.
Penulis sendiri sampai sekarang tanam pokok ketumbar tidak pernah menjadi. Nampak gayanya kena mandi bawah jambatan ni!
Pokok cili terutamanya cili kecil atau cili padi antara tanaman paling popular dan menjadi pilihan golongan emak-emak untuk ditanam. Mungkin bahan itu sering digunakan dalam masakan.
Campak sahaja biji benihnya di belakang rumah, esok lusa tumbuhlah ia. Namun, sebenarnya ia tidak semudah itu. Kadang-kadang ia menjadi dan sebaliknya.
Hasil tuaian cili dapat digunakan tanpa perlu membelinya di kedai.
Petua yang dikongsi oleh seorang pengguna Facebook ini boleh diikuti. Mana tahu ia menjadi! Dia berkongsi petua untuk menjadikan pokok cili tumbuh dan berbuah lebat dalam grup Facebook Ulam Ulaman.
Menurut individu tersebut, petua untuk memastikan pokok cili berbuah lebat ialah dengan menanamnya di celah-celah pokok pisang. Kaedah ini berhasil dan dia berjaya menuai cili padi dalam jumlah yang banyak.
“Petua tanam cili di celah pokok pisang memang menjadi. Tak bajapun buah lebat. Pokok tahan lama, bercabang dan meninggi. Cubalah! Cili ni cili burung, kita semai balik bijinya,” tulisnya.
Perkongsian itu menarik perhatian ramai. Pelbagai komen dan andaian diberikan. Malah, ada juga yang menggunakan kaedah sama dan berhasil!
“Betul, sayapun tanam macam ni. Alhamdulillah lebih setahun dah pokok-pokok lada saya. Tiap kali petik dapatlah dekat tiga kilogram. Pokok tinggi apabila angin kuat jadi rebah. Apabila rebah pokok jadi lagi rimbun sebab banyak tunas baru naik,” kongsinya.
Sementara itu ada berpendapat pokok cili menjadi subur apabila ditanam
di celah pokok pisang kerana keadaanya yang sejuk dan terhalang daripada
panahan terus cahaya matahari.
“Haah, memang betul pokok cili dan limau menjadi kalau ditanam di celah pokok pisang. Mungkin redup sejuk dan tidak terlalu terbuka kepada panas terik. Pokok rimbun menghijau,” tulisnya.
Jadi, marilah kita mencuba kaedah ini pula.
Selain pokok cili, tanaman lain juga boleh dicuba ditanam di celah pokok pisang. Mana tahu menjadi. Bolehlah jadi tauke cili selepas ini. - KitaReporters