CFM Rangers: Wira baharu komunikasi dan multimedia! Bantu masyarakat awasi, banteras berita palsu!
Published bySkuad CFM Rangers akan pantau kandungan komunikasi dan dan multimedia yang dilancarkan pada 6 Disember 2022.
FORUM Pengguna Komunikasi dan Multimedia Malaysia (CFM) melancarkan program Skuad CFM Rangers yang dianggotai pelajar-pelajar universiti bagi mengadakan program kesedaran dan mengumpulkan maklumat berhubung isu-isu komunikasi dan multimedia bersama komuniti tempatan di seluruh Malaysia khususnya dalam membanteras ledakan maklumat palsu.
Pengerusi CFM Muhammad Radzillah Abdullah berkata, Skuad sukarelawan ‘CFM Rangers’ ini dilihat sebagai inisiatif yang dapat menyokong dan memainkan peranan dalam memberikan kesedaran kepada orang awam serta menyalurkan aduan berkenaan dengan telekomunikasi dan multimedia.
Mereka diharap dapat membantu Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) dan Kementerian Komunikasi Digital dalam memberikan saranan, bantuan dan maklum balas.
Lagi cerita-cerita menarik berkaitan aktiviti-aktiviti sukarelawan
Muhammad Radzillah mantapkan kerjasama dengan pelajar universiti.
Skuad sukarelawan ‘CFM Rangers’ ini telah dilancarkan pada program Persidangan Pengguna Komunikasi & Multimedia 2022 yang bertempat di M Resort & Hotel, Bukit Kiara pada 2-3 Disember yang lalu anjuran CFM.
Persidangan itu telah dirasmikan oleh Setiausaha Bahagian Kawalan dan Pematuhan, Kamarudin Abdul Abdul Rani mewakili Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Digital, Dato’ Seri Mohammad Mentek.
Muhammad Radzillah berkata, skuad itu terdiri pelajar institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan swasta (IPTS) antaranya Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Teknikal Malaysia (UTeM), Kolej Universiti Agrosains Malaysia (UCAM) dan Pusat Latihan Teknologi Tinggi (ADTECH) Shah Alam.
"Ini sebahagian inisiatif menyokong dan memainkan peranan dalam memberikan kesedaran kepada orang awam serta menyalurkan aduan berkenaan dengan telekomunikasi dan multimedia.
"Mereka juga dapat membantu pihak MCMC dalam memberikan saranan, bantuan dan pandangan secara terus kepada pengguna,” katanya dalam satu kenyataan yang diedarkan pada 8 Disember, 2022.
Melahirkan negara berwibawa.... Sebahagian peserta dan skuad CFM Rangers yang menghadiri persidangan
Muhammad Radzillah berkata, pelajar itu juga merupakan kumpulan terbesar menggunakan rangkaian multimedia termasuk pembelajaran kelas secara dalam talian, penggunaan internet bagi mendapatkan maklumat, kaedah berinteraksi sesama rakan, untuk membuat pesanan makanan malahan internet juga sebagai platform jualan dalam talian.
Beliau menjelaskan perkembangan landskap dan evolusi komunikasi dan multimedia sememangnya memberi kesan baik dan buruk kepada pengguna dengan visi utamanya adalah #HakAndaKeutamaanKami, #MenjuaraiPengguna dan#JadilahPenggunaYangBijak
Persidangan yang bertemakan ‘Pengguna Berilmu, Pengguna Bijak’ melibatkan beberapa sesi yang mengetengahkan isu kepenggunaan dalam industri, makluman pembangunan teknologi yang terkini dan juga isu-isu yang hangat diperkatakan di dalam era digital masa kini.
Antara barisan panelis dan pakar-pakar yang dijemput adalah Ketua Pegawai Eksekutif dari organisasi Media Prima, MyDigital,
The IO Foundation, Digital Nasional Berhad dan Jabatan Perlindungan Data Peribadi. Manakala topik yang dibentangkan pula adalah seperti 5G, Scam, Digital Rights, Broadcating; The Bigger Picture dan Escalation Process.
Persidangan itu mendapat sambutan dan penyertaan yang menggalakkan daripada pengguna di seluruh negara termasuk agensi di bawah kementerian, persatuan-persatuan, perkhidmatan telekomunikasi serta organisasi swasta yang berkaitan.
Pada hari terakhir, Mesyuarat Agung Tahunan CFM kali ke-21 telah diadakan sebagai penutup bagi program tahun 2022.
Untuk pengetahuan, CFM telah ditubuhkan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) pada tahun 2001. Ia berfungsi sebagai platform untuk industri dan pengguna/orang awam untuk menyumbang ke arah peningkatan perkhidmatan dan pembangunan dasar yang lebih baik dan membina. - KitaReporters
Persidangan yang disertai pakar-pakar dalam bidang komunikasi negara.