BERGANTUNG HIDUP PADA TANGKI HIPERBARIK
Published by"Duit boleh dicari tetapi nyawa tidak boleh dibeli... Banyak wang simpanan telah dihabiskan demi pulihkan kesihatan akibat dekompresi". : Kitareporters.com
Angah ketika menjalani rawatan di Institut Perubatan Bawah Air dan Hiperbarik, Hospital Angkatan Tentera (HAT), Lumut, Perak. - Kredit foto Fazry Erwan Kamaruddin
Angah atau nama sebenarnya, Fazry Erwan Kamaruddin, 33, yang juga penghidap penyakit Decompression Sickness (DCS) atau Dekompresi berkata, kos menjalani rawatan di hospital swasta sangat tinggi iaitu lebih kurang RM1,600 untuk sekali rawatan.
"Tetapi dalam keadaan terpaksa dan nak baik, saya bayar je selagi termampu sehingga akhirnya saya dapat menjalani rawatan di Institut Perubatan Bawah Air dan Hiperbarik, Hospital Angkatan Tentera (HAT), Lumut, Perak," katanya.
Fazry Erwan Kamaruddin, 33, penghidap penyakit Decompression Sickness (DCS) atau Sakit Dekompresi.
DCS adalah mimpi ngeri dalam kalangan penyelam, namun tidak ramai yang tahu akan kewujudan penyakit ini yang boleh meragut nyawa mereka jika tidak diberi rawatan segera.
Penyelam yang mendapat penyakit seperti ini boleh dirawat dengan cara masuk ke dalam chamber dan diberi tekanan mengikut kedalaman tertentu sambil diberi menyedut 100% oksigen dalam kadar dan jangka masa tertentu dan akan pulih semula dalam kadar lima kali lebih cepat daripada kadar biasa.
"Nampak luaran seperti normal tapi penyakit ini agak kritikal sebenarnya malah kaedah rawatannya pula bergantung kepada terapi Hyperbaric Chamber atau Terapi Tangki Hiperbarik," katanya.
Terapi Hiperbarik adalah terapi perubatan dengan cara menyedut oksigen tulin (100%) di dalam suatu ruang yang bertekanan untuk individu yang berdepan dengan DCS.
Angah ketika menjalani rawatan di Institut Perubatan Bawah Air dan Hiperbarik,
Hospital Angkatan Tentera (HAT), Lumut, Perak.
Angah berkata, penyakit berkenaan yang menyerang penyelam adalah disebabkan gas nitrogen yang terlarut dalam tisu badan.
"Apabila tekanan persekitaran menjadi rendah atau tinggi, nitrogen tersebut bertukar menjadi buih yang menjadikan pesakit sensitif dengan persekitaran panas dan menyekat saluran darah.
"Memang 'frust' jugalah bila dapat tahu yang saya menghidap DCS masa mula-mula tu... tetapi menerusi pembacaan dan segera mendapatkan rawatan apabila diserang, saya masih boleh 'survive' dan mampu bertahan sehingga hari ini," katanya.
Angah berkata, penyakit tersebut tidak memberikan sebarang 'simptom' dan pesakit boleh rebah secara tiba-tiba dan lumpuh jika tidak segera menyedut oksigen tulin.
Angah ketika menjalani rawatan di Institut Perubatan Bawah Air dan Hiperbarik,
Hospital Angkatan Tentera (HAT), Lumut, Perak.
"Dekompresi menyerang tanpa mengira waktu. Saya pernah mengalaminya di kompleks beli belah, kedai, hotel malah sewaktu memandu pun pernah. Terpaksa panggil 'medik' dan membawa saya ke hospital.
"Kebiasaannya, saya sentiasa bawa tangki oksigen apabila keluar rumah untuk mengelak keadaan menjadi lebih serius."
Mengimbas kembali keadaan yang menyebabkan dia akhirnya disahkan sebagai pesakit Dekompresi, Angah berkata kejadian bermula pada tahun 2015, di mana setiap kali pulang daripada aktiviti selaman, beliau kerap berasa pening, mengantuk dan seperti berkhayal.
"Semua benda saya nampak bergoyang. Bila berbaring pula, saya rasa macam nak terbalik tetapi keadaan seperti itu tidak pula berlaku jika saya duduk di tempat yang tidak stabil seperti atas buaian atau bot," katanya.
Angah memerlukan oksigen tanpa mengira di mana sahaja beliau berada
Angah akan memastikan tangki oksigen ada bersamanya ketika melakukan aktiviti
Berikutan keadaan yang 'pelik' itu Angah mendapatkan rawatan di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan dan dirawat sebagai pesakit 'Vertigo' (hilang kestabilan badan).
Bagaimanapun, doktor membuat keputusan menamatkan rawatan selepas merujuk kepada keputusan ujian darah dan semua organ badannya berada dalam keadaan normal setahun selepas itu.
Selepas itu, Angah mengambil keputusan 'berumah' di dalam bot di Tanjung Lumpur kerana tidak tidak dapat menahan mabuk darat yang teruk.
"Kejadian yang sama kerap berulang malah selepas 'diving' saya akan sakit kepala dan rasa sedikit getaran seperti ada aliran elektrik di beberapa anggota badan tetapi akan hilang tanpa saya sedari.
"Dengan kejadian sama yang berulang-ulang itu, saya mula menyedari bahawa saya ada masalah kesihatan dan merujuk kepada kembali hospital dan klinik swasta.
"Bagaimanapun, doktor tetap mengesahkan saya normal dan hanya diberikan vitamin dan ubat untuk melancarkan peredaran darah," katanya.
Dengan keadaan dirinya yang 'tidak stabil' itu, Angah membuat carian di Internet berkaitan anatomi badan, sistem saraf, simptom dan jenis penyakit.
Dia juga mencuba rawatan tradisional dan perubatan Islam malangnya tiada sebarang perubahan.
Angah mengenakan sarung tangan dan stokin untuk mengurangkan rasa menyucuk di hujung jari
Angah membuat keputusan berhenti sementara daripada aktiviti menyelam untuk memulihkan kesihatannya sehingga Februari 2017 apabila mengambil keputusan untuk aktif semula.
"Mungkin nasib tidak menyebelahi saya. Satu hari ketika kembali ke jeti (daripada aktiviti selaman), saya dapati bahagian hujung jari tangan menyucuk-nyucuk tanpa henti.
"Daripada situ saya teringat ini adalah simptom penyakit selam.
"Bagaimanaun, saya menjalani kehidupan seperti biasa dan bekerja dalam keadaan yang amat tidak selesa malah perlu memakai sarung tangan dan juga stokin sepanjang masa kerana gagal mendapatkan bekalan oksigen," katanya.
Angah juga pernah berdepan detik cemas kerana DCS ketika bekerja di Pulau Tenggol, Terengganu pada April 2017.
"Pada suatu malam, tangan kiri saya secara tiba-tiba lumpuh dan menghubungi rakan, Anuar Saidon yang berpengalaman luas dalam bidang selaman dan DCS yang juga pemilik Chamber Hyperbaric di Asian Divers.
"Dalam keadaan tidak berdaya saya memandu bot sendirian ke Kemaman untuk menggunakan 'chamber' dan diberikan rawatan khas Table 6 berkedalaman 18 meter selama 4 jam 45 minit untuk memulihkan tangan saya.
"Selepas pulih dan saya kembali bekerja seperti biasa di Pulau Tenggol.
"Kejadian sama berulang (hujung jari seperti dicucuk jarum) kerana bekerja dalam keadaan cuaca panas dan badan pula terasa ada getaran elektrik.
"Keadaan itu menyebabkan saya perlu menyedut oksigen 100 peratus tulin untuk mengurangkan rasa yang tidak selesa itu. Keadaan berlarutan selama hampir dua minggu.
Angah (kanan) ketika melakukan aktiviti di laut dan tidak menampakkan dirinya sebagai pesakit Dekompresi. - Foto Facebook Angah
"Duit boleh dicari tapi nyawa? Akhirnya, selepas melalui pelbagai situasi yang 'mencemaskan' beberapa kali, atas pertolongan seorang rakan, saya dibawa menjalani rawatan di Hospital Angkatan Tentera.
"Orang susah nak percaya bila saya kata saya 'tak okey'. Usahkan doktor, keluarga sendiri pun dulu tak percaya.. kejap lumpuh.. masuk dalam chamber normal semula.. seperti tiada apa yang berlaku," ujarnya.
Selain penyelam, DCS juga boleh dialami sesiapa sahaja yang bekerja di tempat yang mengalami perubahan tekanan seperti di bawah tanah, di dalam air dan juga udara. - Kitarepoorters.com