Hari Burung Hijrah Sedunia di Taman Botani Negara, Shah Alam! Ada aktiviti Bird Race! 14 Okt 2023!
Published bySetiap tahun beribu-ribu burung hijrah dari Rusia, China, Korea dan Jepun akan singgah ke negara ini untuk mencari perlindungan, berehat dan mendapatkan makanan sebelum terbang ke destinasi lain.
Jangan ketinggalan sambutan Hari Burung Hijrah Sedunia di Taman Botani Negara Shah Alam (TBNSA) pada 14 Oktober 2023 ini! Ada aktiviti Bird Race dan cerita menarik burung hijrah!
Migrasi burung ialah proses perpindahan burung dari satu kawasan ke kawasan yang lain dalam satu tempoh tertentu. Pada waktu tertentu dalam setahun, burung melakukan migrasi bagi mengelak cuaca sejuk melampau di negara asal seperti China, Rusia, Jepun, Korea.
Keadaan negara asalnya yang sejuk menjadikan keadaan sekelilingnya tidak sesuai untuk didiami. Ini mendorong burung bermigrasi ke negara-negara yang mengalami cuaca yang lebih panas untuk mendapatkan perlindungan dan sumber makanan.Hari Burung Hijrah Sedunia (World Migratory Bird Day) disambut pada setiap hari Sabtu minggu kedua bulan Mei dan Oktober setiap tahun bagi meningkatkan kesedaran masyarakat berhubung kepentingan pemuliharaan burung hijrah dan ekosistem mereka pada peringkat global.
Malaysia bertuah kerana merupakan salah satu daripada 19 negara ahli East Asian-Australasian Flyway (EAAF) yang merupakan destinasi untuk burung hijrah berehat, mencari makanan dan perlindungan sebelum meneruskan perjalanan mereka ke destinasi yang lain.
Setiap tahun, terdapat lebih 50 juta spesies burung hijrah bermigrasi melalui EAAF. Burung-burung ini melakukan penghijrahan untuk mengelak musim sejuk melampau di negara asal mereka.
EAAFP ditubuhkan pada 6 November 2006 bertujuan untuk memberi fokus kepada perlindungan burung hijrah, habitat dan komuniti manusia yang bergantung dengannya.
Bako Buntal Bay, Sarawak telah diiktiraf sebagai Flyway Network Site yang pertama di Malaysia pada tahun 2013.
Bagi meraikan fenomena yang unik itu, Taman Botani Negara Shah Alam (TBNSA) akan menganjurkan Hari Burung Hijrah Sedunia 2023 pada 14 Oktober 2023. Program akan bermula dari jam 7.30 pagi hingga 4.30 petang.'
Hari Burung Hijrah Sedunia 2023 itu dianjurkan dengan kerjasama Pertubuhan Kelestarian Ekosistem Alam (NEST). Pelbagai acara dan aktiviti menarik diadakan di Taman Botani Negara Shah Alam, Selangor sempena hari bersejarah itu.
Hari Burung Hijrah Sedunia 2023 akan dirasmikan Pengarah TBNSA, Siti Zubaidah Mohamad.
Lesser Sandplover antara burung musim sejuk yang singgah di negara ini untuk mencari perlindungan dan mendapatkan makanan.
Setiausaha NEST, Abdul Afiq Abdul Rahman, berkata program itu diadakan bagi meraikan kehadiran burung hijrah yang menjadikan Malaysia antara destinasi persinggahan mereka untuk berlindung, berehat dan mendapatkan makanan sebelum meneruskan perjalanan ke kawasan lain.
Beliau berkata, melalui aktiviti ceramah, pameran dan lapangan, orang ramai akan lebih peka dengan kehadiran burung hijrah dan melihat kepentingan haiwan itu kepada generasi akan datang dan sektor avipelancongan negara.
"Program akan bermula jam 7.30 pagi dengan pendaftaran peserta dan ucapan alu-aluan daripada Pengarah atau wakil TBNSA sebelum kita mengisi slot ceramah mengenai kepentingan burung hijrah di Malaysia.
"Penyelaras Projek Burung Pantai Semenanjung Malaysia, Dr Nur Munira Azman, akan memberi ceramah khusus mengenai burung hijrah di Malaysia dan kajian yang dilakukan terhadap burung pantai hijrah di pantai Teluk Air Tawar, Kuala Muda, Pulau Pinang,
"Dr Munira lulusan PhD dalam Wildlife Ecology and Management dari Universiti Sains Malaysia (USM) melakukan kajian mengenai burung termasuk burung pantai hijrah sejak 2009 dan banyak cerita menarik yang akan dikongsi dengan pengunjung sempena program itu.
"Timbalan Presiden NEST, Ismail Mamat pula akan memberi ceramah mengenai pengenalan kepada pemerhatian burung. Ini akan memberi info kepada mereka yang berminat untuk menceburi bidang ini dan memudahkan mereka terbabit secara serius," kata Abdul Afiq.
Jadual aktiviti Hari Burung Hijrah Sedunia 2023 di TBNSA pada 14 Oktober 2023.
Selepas sesi ceramah, pengunjung yang berdaftar akan dibawa ke lapangan untuk program Bird Race. Ini adalah program secara berkumpulan untuk memerhati, mengecam dan mencatat nama burung sepanjang mereka berada di TBNSA.
"Acara ini amat menarik kerana mereka akan memerhati burung menggunakan bino, diberi buku kecil untuk mencatat nama-nama burung yang mereka lihat sepanjang program itu.
"Ini sedikit sebanyak memberi maklumat kepada peserta spesies burung yang selama ini mereka selalu lihat tapi tidak tahu nama saintifiknya," katanya.
Sempena Hari Burung Hijrah Sedunia 2023, pihaknya juga akan mengadakan Kursus Pengecaman dan Program Perekodan Data Hidupan Liar (Burung). Ia akan dijalankan dari 14 hingga 20 Oktober 2023.
Jika anda berminat untuk menyertai aktiviti ini, sila daftar menggunakan kod QR atau link pendaftaran yang disediakan pada poster. Penyertaan terhad untuk 100 peserta terawal.sahaja.
Ikuti link pendaftaran ini : https://forms.gle/VUv287Czy75M18QS6 untuk mendapat maklumat lanjut mengenai Hari Burung Hijrah Sedunia di TBNSA. - KitaReporters