Berita baik! Bukit Larut akan dibuka semula April 2025! Ditutup 2019 kerana kejadian tanah runtuh!

Published by
KitaReporters

Pintu Masuk ke Bukit Larut

Pusat Peranginan Bukit Larut (Maxwell Hill) akan dibuka kepada pengunjung pada awal bulan April 2025 depan.

Ini kerana Bukit Larut telah tidak beroperasi semenjak November 2019 kerana kejadian tanah runtuh. Semenjak daripada itu sehingga kini Bukit Larut hanya dibuka kepada orang awam untuk aktiviti riadah dan pendakian (hiking) dengan kemasukan adalah atas risiko dan tanggungjawab sendiri.

Kerja-kerja baik pulih jalan dan cerun yang terlibat dengan kejadian tanah runtuh telahpun bermula dari tahun 2019 secara berperingkat-peringkat dan dilaksanakan oleh pihak Jabatan Kerja Raya (JKR).

Atas risiko keselamatan maka pada tempoh permulaan projek baik pulih yang bermula pada tahun 2019, setelah mendapat nasihat pihak JKR maka Majlis Perbandaran Taiping selaku pihak yang menguruskan Pusat Peranginan Bukit Larut hanya membenarkan aktiviti pendakian dan riadah sahaja pada tempoh tersebut.


Laluan masuk ke Bukit Larut yang menempatkan pejabat Operasi Majlis Perbandaran Taiping

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Taiping (MPT) Khairul Amir Mohamad Zubir berkata, pihaknya yakin dengan pembukaan semula Bukit Larut akan meningkatkan kemasukan pelancong ke Bukit Larut.

Beliau berkata, tahun 2026 merupakan Tahun Melawat Malaysia (TMM) dan MPT tidak mahu ketinggalan dalam usaha menaikan sektor pelancongan di Malaysia khususnya pelancongan bandar Taiping.

“Bukit Larut sebelum ini cukup terkenal dengan keindahan alam semul ajadinya,” katanya dalam kenyataan pada 5 Februari 2025.

Khairul Amir Mohamad Zubir berkata, pihaknya telah mendapat peruntukan daripada pihak Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) untuk membaiki dan menambah baik empat buah banglo di atas Bukit Larut, yang mana kerja-kerja tersebut telah siap pada tahun 2024.

Katanya, pihaknya kini membuka kembali operasi Pusat Peranginan Bukit Larut dengan beberapa pembaharuan pengurusan operasi.

Menurutnya, operasi yang akan dibuka adalah operasi sewaan tiga buah banglo iaitu Banglo Beringin, Banglo Angkasa dan Banglo Tempinis.

“Pihak yang berminat boleh menyewa keseluruhan banglo atau menyewa bilik yang terdapat di dalam banglo- banglo tersebut.

“Operasi sewaan kenderaan untuk naik ke atas juga akan dibuka kembali namun hanya untuk mereka yang menyewa penginapan banglo dengan RM40 bagi dewasa, RM50 warga asing dewasa, kanak-kanak RM20 dan kanak-kanak warga asing RM25.

‘’Penyewa banglo akan diberi pilihan sama ada menyewa kenderaan untuk naik ke atas Bukit Larut atau mendaki naik dan mendaki turun (hiking),” katanya.

Khairul Amir berkata, bagi penyewa banglo yang mahukan aktiviti pendakian naik dan turun mereka juga akan ditawarkan operasi membawa naik beg melalui kenderaan dengan caj RM5 bagi 10kg ke bawah yang mana mereka hanya perlu mendaki dengan membawa beg keperluan mendaki sahaja.


 

Peta dan sejarah mengenai Bukit Larut

Beliau berkata, bagi peminat rekreasi, operasi perkhemahan juga akan dibuka di mana mereka yang berminat boleh mejalani aktiviti perkhemahan di kawasan yang telah ditetapkan dan dibenarkan.

Namun begitu kata Khairul Amir, bagi semua operasi yang akan dibuka kembali ini, semua pengunjung adalah diwajibkan mengisi borang indemnity (ganti rugi) dan bermula 1 Februari 2025 lalu semua pengunjung yang memasuki kawasan Bukit Larut adalah diminta mengimbas kod QR yang disediakan ketika masuk dan keluar dari kawasan Pusat Peranginan Bukit Larut ini.

Katanya, ini bagi membolehkan pihaknya mengambil tindakan segera jika berlaku kecemasan.

Bukit Larut dibuka pada 1884 oleh Inggeris yang mewujudkan pusat percutian di puncak tanah tinggi itu pada ketinggian 1,035 meter atas paras laut. Bukit Larut adalah resort tanah tinggi tertua di Malaysia. - KitaReporters

14
9
0
7
0

Copy Link: