Video| Sijil vaksinasi palsu! Lima tampil buat pengakuan! Berurus niaga dengan doktor swasta!
Published byKredit foto: Sinar Harian
PENAHANAN seorang doktor swasta berusia 51 tahun, dari Marang, Terengganu. yang didakwa mengeluarkan sijil vaksinasi palsu kepada pelanggan menyebabkan lima individu terbabit tampil membuat pengakuan mereka adalah antara yang terbabit dalam kes berkenaan.
Kesemua individu terbabit mengaku berurus niaga dengan doktor berkenaan bagi mendapatkan sijil vaksinasi palsu yang dikeluarkan oleh klinik milik doktor yang ditahan oleh polis Terengganu pada Sabtu 8 Januari 2022.
Lagi cerita-cerita menarik berkaitan sijil vaksinasi
Rohaimi Md Isa menunjukan kad janji temu dari sebuah klinik swasta di Marang, Terengganu. - Kredit foto: FB Polis Terengganu
Ketua Polis Terengganu, Datuk Rohaimi Md Isa berkata, mereka tampil secara sukarela untuk membantu siasatan kes membabitkan doktor berkenaan selepas kegiatan doktor tersebut terbongkar selepas ditahan oleh polis.
“Kesemua mereka mengaku membuat pembayaran
terhadap suspek untuk menerima sijil vaksinasi palsu walaupun tidak pernah
menerima suntikan vaksin COVID-19,” katanya kepada media di Kuala Terengganu
pada Rabu, 12 Januari 2022.
Rohaimi berkata, sebanyak 1,900 sijil vaksin palsu bernilai hampir RM1 juta yang dikeluarkan oleh sebuah klinik swasta di Marang berjaya dirampas oleh Polis Terengganu dengan kerjasama Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT).
Rohaimi Md Isa
Katanya, setiap sijil tersebut dijual dengan harga RM400 hingga RM600 sekeping.
Berikutan itu katanya seorang doktor lelaki yang disyaki menjalan aktiviti tersebut dicekup pada Sabtu, 8 Januari 2022 bagi membantu siasatan dan turut dirampas dokumen berkaitan, kad janji temu vaksin yang menjalani dos satu, komputer riba, telefon dan sebagainya.
Menurutnya, mengikut siasatan awal, pihaknya mendapati ada sebahagian golongan antivaksin mendapatkan sijil itu di klinik berkenaan dan membeli melalui dalam talian sebelum di pos kepada golongan sasar berkenaan.
“Ada juga individu yang datang untuk menerima suntikan tetapi sekiranya dia mendapat maklumat bahawa doktor ini menjalankan kegiatan tidak menyuntik tapi tetap keluarkan sijil mereka sanggup datang termasuk dari Kedah dan Kuala Lumpur," jelas Rohaimi.
Bagaimanapun, katanya, tidak semua sijil vaksin itu palsu dan polis sedang menyiasat berapa individu yang benar-benar menerima suntikan dan tidak disuntik.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu,” katanya. - KitaReporters
Polis Terengganu merampas pelbagai dokumen berkaitan kes penjualan sijil vaksin palsu