Berita Terkini| Semua urusan operasi haji ditangguhkan! TH nasihat orang ramai tidak diperdaya!
Published byTH menangguhkan semua urusan berkaitan operasi haji tahun 2021 ini selaras dengan keputusan kerajaan Arab Saudi bahawa tiada jemaah negara luar dibenarkan ke Tanah Suci untuk menunaikan haji. - Kredit foto: Sinar Harian
Lembaga Tabung Haji (TH) menangguhkan semua urusan berkaitan operasi haji bagi Musim Haji 1442H/2021M selaras dengan keputusan muktamad kerajaan Arab Saudi bahawa tiada jemaah negara luar termasuk Malaysia akan dibenarkan ke Tanah Suci menunaikan haji, atas faktor keselamatan dan kesihatan semua.
Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Datuk Seri Amrin Awaluddin berkata, walaupun TH sudah bersiap siaga dan membuat perancangan operasi haji sehingga ke saat akhir, namun akur dan menerima keputusan pihak Arab Saudi dan kerajaan Malaysia.
Katanya, keputusan penangguhan pemergian jemaah haji Malaysia pada tahun 2021 ini jelas menunjukkan keprihatinan kerajaan Arab Saudi yang mengambil berat aspek keselamatan, kesihatan dan kesejahteraan umat Islam seluruh dunia ekoran penularan wabak Covid-19.
“Kerajaan Arab Saudi memutuskan ibadah haji bagi Musim Haji 1442H/2021M dihadkan hanya untuk warganegara Saudi dan penduduk negara lain yang telah berada dalam negara tersebut sahaja.
“Ini
berikutan situasi semasa pandemik Covid-19 yang membimbangkan di seluruh
dunia,” katanya dalam satu kenyataan di Kuala
Lumpur pada Ahad, 13 Jun 2021.
Beliau memaklumkan, bakal haji yang diperuntukkan giliran haji mereka pada tahun 2020 dan telah diberi keutamaan menunaikan haji pada tahun ini akan diberi keutamaan sekali lagi pada tahun hadapan (2021).
“Bagi bakal haji yang gilirannya pada tahun ini (2021), mereka akan turut diberi peluang pada tahun hadapan, namun tertakluk kepada kekosongan kuota tahun semasa,” ujarnya.
Dalam masa sama, beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak terpengaruh dengan mana-mana pihak yang menawarkan pakej haji dan badal haji bagi tahun 2021 ini. - KitaReporters
Lagi berita-berita terkini dalam KitaReporter
AMRIN menasihatkan orang ramai supaya tidak terpengaruh dengan yang menawarkan pakej haji dan badal haji bagi tahun ini.