MUSIM pejur (hujan berterusan) masih belum lagi berakhir seperti mana pandemik COVID-19 juga tidak nampak tanda penghujungnya. Musim pejur di Pahang berterusan apabila cuaca tidak menentu, hujan lebat turun dan keadaan paras air sungai utama, iaitu Sungai Pahang, Sungai Jelai dan Sungai Tembeling masih pada peringkat bertahan khususnya di kawasan Hulu Tembeling, Jerantut. : KitaReporters


Kredit foto:  FB Kerajaan Negeri Pahang


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan Jerantut:

https://kitareporters.com/search?search=jerantut


Kenyataan amaran daripada Jabatan Meteorologi mengenai cuaca buruk berlaku pada 2 Januari 2021 memberi ingatan penduduk di daerah Lipis, Jerantut, Maran, Temerloh dan Bera perlu bersedia berdepan kemungkinan banjir berlaku pada peringkat gelombang ketiga.

Nyata amaran Jabatan Meteorologi ada benarnya. Banjir telah berlaku di Felda Kota Gelanggi Dua dan Felda Kota Gelanggi Empat, terletak kira-kira 45 kilometer dengan bandar Jerantut.


Laluan masuk ke perkampungan Felda Kota Gelanggi Empat dari arah Felda Kota Gelanggi Dua 

dinaiki air berikutan sistem perparitan yang sempit dan cetek. - Kredit foto: Penduduk Felda Kota Gelanggi Empat.


Hujan lebat yang berterusan minggu ini mengundang kawasan anak sungai, tempat rendah dan alur dalam kawasan ladang sawit  dilimpahi air sedalam lebih dua meter bermula pukul 3 pagi hari ini, Sabtu 2 Januari 2021 di kedua-dua buah tanah rancangan itu.  

Kejadian itu menyebabkan jalan raya antara Felda Tekam Utara ke Felda Kota Gelanggi Dua dan ke Gugusan Felda Lepar ditenggelami air sedalam dua meter berdekatan Felda Kota Gelanggi Empat.

Hal yang sama juga berlaku antara jalan raya Felda Kota Gelanggi Dua ke bandar Jerantut berdekatan persimpangan jalan Jerantut ke Lepar juga dinaiki air lebih satu meter.


Jalan raya dari persimpangan Felda Tekam Utara melalui Felda Kota Gelanggi Dua ke Felda Lepar Utara ditenggelami air sedalam lebih dua meter mulai pukul 3 pagi, 2 Januari 2021. - Kredit foto: Penduduk Felda Kota Gelanggi Dua


Fenomena itu menyebabkan penduduk kedua-dua buah tanah rancangan Felda itu terkepung dan tidak dapat keluar ke bandar Pusat Jengka, Maran, Sungai Jerik dan bandar Jerantut untuk berbelanja dan urusan tertentu.

Begitulah sebaliknya, kenderaan yang datang dari arah kedua-dua buah bandar itu dan Felda Lepar Utara terkandas dan terpaksa berpatah balik apabila tiba di kawasan banjir.  

Kejadian ini juga menyebabkan majlis kenduri kahwin di kedua-dua buah Felda tersebut tidak dikunjungi orang luar, malahan penduduk berkenaan juga terpaksa melupakan hasrat untuk memeriahkan majlis 'raja sehari' di tempat lain.


Penduduk yang ingin berurusan di bandar Jerantut, Bandar Pusat Jengka dan Sungai Jerik (Maran) terpaksa berpatah balik kerana jalan raya ditenggelami air. - Kredit foto: Penduduk Felda Kota Gelanggi Dua


ABDUL RAHMAN MD AKIB


Seorang penduduk Felda Kota Gelanggi Dua, Abdul Rahman Md Akib, 70, berkata, kejadian banjir bermula pada pukul 3 pagi tadi dan dia sudah menjangka air daripada anak sungai berdekatan Felda itu melimpah masuk ke jalan raya berikutan hujan lebat.

"Banjir ini berpunca apabila air sungai utama, iaitu Sungai Tekam melimpah masuk melalui beberapa batang anak sungai dan alur berdekatan ladang sawit di Felda ini.

"Anak sungai ini terlalu kecil dan cetek malahan tidak dapat menampung air sungai utama ditambah pula hujan lebat beberapa hari menyebabkan banjir berlaku sehingga melimpah masuk ke jalan raya, manakala kawasan rendah di dalam Felda ini berpunca kalbod tersumbat dengan sampah sarap," katanya.


SABARIAH ABDUL RASIP


Sementara itu, menurut Sabariah Abdul Rasip, 69, pula berkata, air melimpah ke atas jalan raya kerap berlaku setiap kali musim pejur, tetapi tidaklah seteruk hari ini sehingga memutuskan laluan kenderaan.

"Saya dan beberapa orang rakan terpaksa membatalkan undangan menghadiri majlis kenduri perkahwinan di luar kerana jalan raya antara Felda Kota Gelanggi Dua ke Tekam Utara ditenggelami air sedalam lebih dua meter dan tidak boleh dilalui kenderaan," katanya.  

Katanya, sehingga petang, air masih masih lagi menenggelami jalan raya dan banyak kenderaan terkandas sehingga ada yang menunggu air surut untuk meneruskan perjalanan ke destinasi masing-masing.   


Sabariah Abdul Rasip (dua dari kanan) bersama rakannya yang sepatutnya ke majlis kenduri kahwin di luar Felda itu terkandas berikutan jalan raya dilimpahi banjir. - Kredit foto: Khairy Ab. Rahman


MUHAMAD NAZRUL AB. RAHMAN


Dalam pada itu, Muhamad Nazrul Ab. Rahman, 39, berkata, dia terpaksa membantu penduduk yang hendak berurusan di klinik Tekam Utara dan hospital Bandar Pusat Jengka dengan menggunakan bot gentian kaca sejak pagi tadi.

"Saya membantu secara ikhlas kerana kebanyakan mereka kalangan warga emas terpaksa membuat  rawatan susulan berikutan tarikh pada hari ini kebetulan banjir pula termasuk penduduk berurusan hal penting di bandar.

"Kita berharap air surut kerana ramai penduduk sini yang ingin berurusan di luar termasuk mereka daripada luar yang ingin menziarahi sanak-saudara pada musim cuti persekolahan ini," ujarnya.


Muhamad Nazrul Ab. Rahman (kiri) memberikan perkhidmatan bot gentian kaca untuk memunggah penduduk berurusan di klinik kesihatan dan hospital termasuk hal penting di bandar berdekatan. - Kredit foto: Khairy Ab. Rahman

5
7
5
1
0

Copy Link: