Kalau terserempak dengan gajah, jangan hon! Jangan ganggu! Jangan keluar dari kenderaan! - Perhilitan
Published byKEMUNCULAN kumpulan gajah liar yang ditemui mendaki bukit di tiga lokasi berasingan di Kelantan dan Terengganu sepanjang bulan Oktober 2022 ini menarik perhatian penduduk apabila ada yang meramalkan bencana besar akan berlaku di negeri terbabit.
Agak menarik, penemuan tiga kumpulan gajah tersebut dalam aksi hampir sama apabila binatang tersebut melintasi jalan kemudian mendaki bukit secara berkumpulan.
Lagi cerita-cerita menarik berkaitan haiwan-haiwan gajah
Sekumpulan gajah ditemui melintas jalan di Felda Nerang, Kemaman, Terengganu.
Penemuan pertama kumpulan gajah tersebut dilaporkan berlaku pada 3 Oktober 2022 ketika seorang pengguna jalan raya Nik Mohd. Hafizul Nik Zulkifli, 26, yang melalui laluan Felda Neram I menghala ke Felda Neram II, Kemaman terkejut apabila sekumpulan lebih 30 gajah liar melintas di jalan tersebut.
Manakala kejadian kedua juga seorang pengguna jalan raya terserempak dengan sekumpulan gajah mendaki dan berada di atas bukit di Simpang Kuala Betis ke Lojing, Gua Musang, Kelantan.
Tular dalam media sosial sekumpulan gajah liar mendaki bukit di Simpang Kuala Betis, Gua Musang, Kelantan
Masyarakat Orang Asli mempercayai kejadian gajah mendaki bukit di kawasan Simpang Kuala Betis-Lojing, Gua Musang beberapa memberi petanda awal bencana alam akan berlaku.
Mengikut kepercayaan masyarakat Orang Asli zaman dahulu, mereka menjadikan haiwan sebagai rujukan dalam menjalani kehidupan seharian.
Sekumpulan gajah liar mendaki bukit di laluan Tasik Kenyir, Hulu Terengganu.Kredit foto: FB Danita Damia
Terbaharu seorang pengguna jalan raya dikenali sebagai Danita Damia, mendakwa dia menemui sekumpulan 14 ekor gajah liar ketika melalui Jalan Tasik Kenyir, Hulu Terangganu, pada Sabtu, 8 Oktober 2022.
Penemuan kumpulan gajah yang sedang melintas jalan dan mendaki bukit secara berkumpulan itu sempat dirakamkan oleh pengguna terbabit menerusi media sosial masing-masing.
Susulan penemuan kumpulan gajah terbabit pelbagai andaian dibuat oleh orang ramai dan banyak yang mengaitkan kejadian sebagai tanda bencana alam terutama banjir besar akan berlaku di negeri berkenaan.
Bagaimanapun, ada juga netizen yang meninggalkan komen dalam ruangan media sosial memaklumkan kemunculan kumpulan gajah di kawasan itu merupakan pemandangan biasa terutama pada waktu hujan.
Beberapa netizen pulak tidak menolak kemungkinan tindakan gajah tersebut mendaki bukit sebagai petanda akan berlaku banjir.
Pengguna jalan raya Danita Damia sempat merakamkan pergerakan gajah mendaki bukit di laluan Tasik Kenyir, Terengganu.
Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Terengganu, Loo Kean Seong, mengesahkan pihaknya ada menerima laporan berhubung kejadian tersebut.
Berikutan itu, Kean seong menasihatkan para pengguna jalan raya, tindakan terbaik boleh dilakukan ialah jangan bunyikan hon sekiranya terserempak dengan gajah melintas jalan atau berada berhampiran jalan.
“Orang ramai juga dinasihatkan tidak berada dekat dengan mamalia ini, jangan cuba ganggu dan adalah lebih baik beredar dari kawasan itu,” katanya lagi.
Beliau berkata, apa yang perlu ialah pemandu jangan turun daripada kenderaan untuk mengambil gambar atau video kerana tindakan sebegini boleh mengundang sebarang kemungkinan termasuk kecederaan atau kehilangan nyawa. - KitaReporters
Pemandu dinasihatkan memberhentikan kenderaan dan jangan bunyikan hon ketika terserempat dengan gajah sewaktu melintasi jalan raya.