Jumaat cuti umum untuk kakitangan awam! Digesa aktif bertani tampung keperluan! Tapi di Sri Lanka!
Published bySRI LANKA kini menjadikan hari Jumaat sebagai cuti kepada kakitangan awam di negara itu dalam usaha meningkatkan hasil pertanian, sekali gus menampung keperluan rakyat.
Pengumuman cuti itu dibuat sebagai langkah meningkatkan pengeluaran, terutama pertanian bagi kegunaan rakyat di negara berkenaan.
Lagi kisah-kisah menarik berkaitan bidang pertanian
“Dengan arahan berkenaan, kakitangan awam digalakkan menjalankan aktiviti pertanian bagi meningkatkan pengeluaran dalam negara.
"Keputusan itu adalah wajar bagi membolehkan mereka bertani di halaman rumah atau ditempat lain dalam usaha tangani isu kekurangan makanan,” kata pejabat penerangan kerajaan dalam kenyataan pada semalam, Khamis 16 Jun 2022.
Sri Lanka kini mempunyai sekitar sejuta pekerja sektor awam berdepan krisis pertukaran mata wang asing yang kritikal.
Perdana Menteri Sri Lanka, Ranil Wickremesinghe sebelum ini memaklumkan negara sedang bergelut dengan masalah kekurangan makanan yang serius.
Malah, pakar tempatan membuat jangkaan kekurangan bekalan makanan asas yang serius seperti beras dan makanan asas lain mulai September 2022 depan berikutan kekurangan pengeluaran.
Krisis ekonomi yang berlarutan berisiko menyebabkan kebuluran di seluruh negara kepulauan dengan 22 juta penduduk itu, manakala kekurangan bekalan dan kegelapan akan menjadi lebih teruk.
Bekalan makanan dan bahan api yang terhad, dengan rekod inflasi serta kegelapan, membawa lebih banyak kesengsaraan di negara yang mengalami kemelesetan paling buruk, sejak kemerdekaannya daripada Britain pada 1948. - KitaReporters