Tolong kami! Bantu anak-anak Orang Asli Bateq Taman Negara! Dapatkan gajet untuk lakukan PdPR
Published byAlah bisa, tegal biasa ... Anak Orang Asli etnik Bateq Taman Negara sudah sinonim dengan kemiskinan relatif serta amalan 'survival' hutan tropika, tetapi pelajaran penting untuk mengubah nasib mereka pada masa akan datang. - Kredit foto: Taman Negara.com
Kehidupan pada zaman moden dan canggih ini tidak bermakna apabila sesetengah penduduk masih berada pada paras kemiskinan apatah lagi berdepan kekurangan serba serbi kemudahan asas termasuk wang ringgit.
Bagi penduduk Orang Asli etnik Bateq Taman Negara, kemiskinan relatif antara warisan nenek moyang mereka lebih lagi masih mengasimilasikan rutin harian dengan cara hidup 'survival' di hutan tropika berusia lebih 130 juta tahun di situ.
Lagi kisah-kisah menarik berkaitan entik Bateq:
https://kitareporters.com/search?search=Bateq
Sebahagian murid Orang Asli etnik Bateq yang menyertai Program Chup Badui Sikulah ketika bermula sesi persekolahan pada 2 Januari 2020 tahun lalu. - Kredit foto: Program Chup Badui Sikulah
Hal ini cukup ketara bagi pendidikan anak mereka ketika berdepan wabak pandemik COVID-19 yang masih belum berpenghujung serta terkini tempoh penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pula.
Hakikat ini jelas apabila waktu penguatkuasaan PKP kali kedua sejak 22 Januari 2021, anak-anak Orang Asli masih ketinggalan dalam Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) malahan fenomena itu dialami sewaktu PKP pertama pada 18 Mac 2020 lalu.
"Saya hendak belajar. Ada perkara (pelajaran) yang saya nak tanya ... Bagaimana nak berhubung dengan cikgu," begitulah luah seorang murid Orang Asli etnik Bateq di penempatan pinggir Taman Negara Kuala Tahan. - Kredit foto: FB Kechara Soup Kitchen
Kira-kira 40 orang murid Orang Asli etnik Bateq berdepan masalah tersebut kerana ketiadaan alat peranti untuk berhubung dengan guru berasaskan kaedah PdPR termasuk peralatan tertentu sejak PKP dikuatkuasakan pada 22 Januari 2021.
Anak Orang Asli etnik Bateq itu merupakan murid di bawah Program 'Chup Badui Sikulah' yang mula menerima pelajaran formal di Sekolah Kebangsaan (SK) Kuala Tahan sejak 2018 hasil usaha bantuan dan motivasi daripada Bird Group Taman Negara (BGTN) dan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dari luar.
Tanpa alat peranti untuk berhubung dengan guru menerusi kaedah PdPR, murid Orang Asli etnik Bateq belajar membaca dan mengira bersama rakan di Kampung Yong, berdekatan Taman Negara Kuala Tahan pada 27 Januari 2021. - Kredit foto: Roslan Abu Kassim
Namun semangat untuk belajar terus membara apabila anak etnik Bateq di lima buah kampung pinggir hutan tropika Taman Negara dan pesisir Sungai Tembeling menggunakan kemudahan wakaf yang dibina oleh sukarelawan BGTN dan Ecomy Team tahun lalu (2020) sebagai tempat belajar.
ROSLAN ABU KASSIM
Senario kesulitan PdPR yang ditempuh oleh murid berkenaan diakui Pengerusi BGTN, Roslan Abu Kassim apabila melihat sendiri kegiatan anak etnik Bateq belajar pada ketika sekolah ditutup berikutan arahan Kementerian Pendidikan (KPM) sejak pelaksanaan PKP pada 22 Januari 2021.
"Saya amat kasihan dan bersimpati melihat anak-anak ini serba kekurangan tetapi mereka cukup gigih dan bersemangat untuk belajar dengan berkumpul beramai-ramai di wakaf sambil menelaah buku teks, buku cerita dan menulis di buku rampaian.
"Kehidupan murid Orang Asli di Kuala Tahan ini jauh berbeza dengan pelajar di luar kerana mereka tidak mempunyai alat peranti sama ada telefon dan komputer bagi kemudahan PdPR sepanjang tempoh PKP sejak tahun lalu yang lazimnya diikuti murid-murid di luar," katanya di Kuala Tahan pada 27 Januari 2021.
Murid Orang Asli etnik Bateq tekun mengulang kaji pelajaran sendiri dan membuat kerja rumah yang dibekalkan oleh guru semasa tempoh PKP di dalam wakaf Kampung Yong, Jerantut. - Kredit foto: Roslan Abu Kassim.
Roslan yang juga dikenali kalangan NGO sebagai 'The Jungle Man' kerana bertanggungjawab menjaga kebajikan Orang Asli Bateq menerusi platform sukarelawan BGTN menambah sekiranya ada alat peranti (telefon) sekalipun itu cuma dimiliki tok batin dan belia yang bekerja di sektor ekopelancongan Taman Negara.
"Alat peranti hanya boleh digunakan berdekatan pusat peranginan Taman Negara dan Kampung Kuala Tahan, tetapi tidak berfungsi di kawasan penempatan mereka di dalam hutan dan pesisir Sungai Tembeling kerana tidak ada capaian internet dan menara telekomunikasi.
"Malahan asbab kemiskinan dan sukarnya memperoleh pendapatan lebih lagi ketiadaan pelancong berikutan penguatkuasaan PKP ini, Orang Asli di sini tidak dapat bekerja mana mampu menyediakan peralatan yang mewah hanya sekadar berbelanja cukup makan sahaja," katanya.
Mengulas lanjut, Roslan berharap supaya ada pihak NGO dan para dermawan dapat membantu kemudahan belajar murid Orang Asli di lima buah perkampungan berdekatan Taman Negara bukan sahaja tempoh PKP malahan usaha itu sepatutnya berterusan pada masa akan datang.
Khairul Ameng murid Orang Asli etnik Bateq yang berkebolehan sedang membaca karangan dalam bahasa Inggeris sewaktu sesi pembelajaran dan pengajaran di kelas Sekolah Kebangsaan Kuala Tahan, Jerantut pada 18 September 2020 lalu - Kredit foto: Program Chup Badui Sikulah
Bagi seorang murid Orang Asli Bateq Kampung Teresek berdekatan Taman Negara Kuala Tahan, Khairul a/l Ameng, 10, berkata dia mengalami kesukaran untuk belajar menerusi kaedah PdPR berbanding rakan lain di luar kerana tidak mempunyai alat peranti malahan tempat tinggalnya juga 'mundur' dan tidak ada liputan (capaian) internet.
"Pada musim cuti PKP ini, saya bersama rakan di kampung ini cuma berkumpul membaca buku dan membuat latihan yang guru sediakan sebelum ini di dalam bangsal. Saya juga mengajar rakan lain yang belum mahir membaca dan menulis.
"Saya tetap bersemangat untuk belajar walaupun serba kekurangan serba serbi kemudahan kerana pelajaran penting untuk mengubah kehidupan keluarga kami pada masa akan datang," katanya.
Khairul juga berharap ada NGO dan dermawan yang dapat membantu kemudahan belajar sekurang-kurangnya kerusi dan meja, alat tulis serta buku-buku bacaan di setiap wakaf atau 'bangsal' tempat keluarga mereka berteduh waktu siang dan malam.
Khairul Ameng sedang mengulang kaji pelajaran pada waktu malam di bangsal kediaman keluarganya semasa cuti persekolahan akhir tahun 2020 menggunakan lampu solar sumbangan Ecomy Team Taman Negara. - Kredit foto: Roslan Abu Kassim
Sementara itu, bagi penduduk Orang Asli Kampung Yong, Taman Negara, Limau a/l Jambu berkata, agak sukar anak mereka belajar semasa tempoh PKP dan halimunan wabak pandemik yang masih belum berpenghujung.
"Saya sendiri mencari sumber hutan untuk dijual bagi membeli beras untuk keluarga tidaklah mampu untuk menyediakan telefon atau komputer bimbit untuk anak. Lagipun, di tempat tinggal kami tidak ada rangkaian perhubungan (capaian) telefon dan internet," katanya di Kampung Yong pada 27 Januari 2021.
Limau berharap kerajaan mahupun NGO menimbang kemudahan peralatan belajar tertentu yang sesuai di semua penempatan Orang Asli khususnya mampu menitip sedikit keselesaan anak mereka belajar dalam tempoh PKP itu dan juga pada masa akan datang.
Para dermawan dan NGO yang ingin membantu kanak-kanak Orang Asli di lima buah penempatan Taman Negara Kuala Tahan bolehlah menghubungi sukarelawan BGTN melalui talian 014 6051663 (Roslan Abu Kassim) dan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Kemakmuran Kampung (JKKK) Kampung Kuala Tahan, Abdul Jalil Abd Rahman (019 9965263). - KitaReporters
LIMAU a/l JAMBU - Kredit foto: Roslan Abu Kassim
Sebuah karikatur mengenai pelajar sedang PdPR dan penduduk melakukan 'shopping on (tree)' ... - Kredit foto - FB Kenon Sabah, bertarikh 25 Januari 2021