Rawatan percuma perubatan wad kelas tiga untuk rakyat Terengganu! Enam hospital mulai 1 Julai!
Published byHospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu
IMPIAN penduduk Negeri Terengganu untuk mendapatkan perkhidmatan perubatan percuma termasuk ketika mendapat rawatan di wad hospital kerajaan negeri itu bakal menjadi kenyataan apabila kerajaan negeri sedia memberi kemudahan tersebut.
Kerajaan negeri Terengganu mengumumkan pemberian rawatan perubatan wad kelas tiga secara percuma kepada rakyat negeri tersebut bermula 1 Julai 2021.
Pengumum tersebut amat dialu-alukan semua lapisan penduduk negeri itu terutama bagi mereka dalam golongan berpendapatan rendah yang tidak mampu membiayai kos rawatan ketika tinggal di wad.
Lagi cerita-cerita menarik berkaitan Dr Alias Razak
Dr Alias Razak
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan,
Kesihatan dan Alam Sekitar Terengganu, Dr Alias Razak ketika
mengumumkan perkara itu berkata, kemudahan itu dapat dinikmati di semua
hospital kerajaan yang ada di negeri ini.
Katanya, kerajaan negeri dengan kerjasama Kementerian
Kesihatan Malaysia (KKM) bersetuju memberikan kemudahan itu membabitkan enam buah hospital yang ada di
seluruh negeri ini.
Hospital terbabit ialah Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Hospital Kemaman, Hospital Dungun, Hospital Besut, Hospital Hulu Terengganu dan Hospital Setiu.
Katanya, menerusi kaedah itu kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM3.7 juta setahun untuk membiayai kos rawatan ketika berada di dalam wad hospital keraajaan.
“Kemudahan ini hanya dapat dinikmati rakyat Terengganu yang memegang kad pengenalan nombor 11, 45 dan 46. Ia tidak terpakai bagi pasangan dan tanggungan selain nombor pengenalan ini, namun ia akan diberi pertimbangan dalam fasa penambahbaikan seterusnya,” katanya pada media pada Rabu 16 Jun 2021.
Dr Alias yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tunggal berkata, insentif ini merangkumi caj katil, makan minum dan rawatan sepanjang pesakit dirawat di hospital.
Beliau berkata, kerajaan tidak akan menanggung kos rawatan melibatkan implan dan peralatan perubatan, pesakit yang berpindah dari wad lain ke wad kelas tiga dan caj yang telah mendapat pelepasan atau subsidi daripada kerajaan.
Katanya, sebanyak enam buah hospital terlibat dalam pemberian rawatan perubatan wad kelas tiga secara percuma bermula Julai 2021 yang membabitkan 1,390 katil.
“Program ini diharap dapat meringankan beban rakyat khususnya berpendapatan rendah dan inisiatif ini akan diteruskan dari tahun ke tahun,” katanya. - KitaReporters
Hospital Kemaman