Ada aktiviti tangkap ikan guna bom, tuba atau elektrik? Lapor segera kepada polis, Jabatan Perikanan!
Published by
Ikan mati akibat kena tuba
Menangkap ikan menggunakan renjatan elektrik, bom atau tuba adalah salah di sisi undang-undang dan boleh mengakibatkan kepupusan ikan dan udang di dalam sungai ataupun laut. Apatah lagi kesan buruknya sangat besar kepada generasi kita yang akan datang dan juga pendapatan nelayan lain juga boleh terjejas.
Sehubungan itu, Jabatan Perikanan Negeri Terengganu menggesa orang ramai membuat laporan kepada pihak polis atau pejabat perikanan berhampiran jika terdapat aktiviti kaedah penangkapan ikan terlarang dilakukan oleh pihak tidak bertanggungjawab seperti menggunakan racun, bom ikan atau menangkap ikan menggunakan arus elektrik.
Ruzaidi Mamat
Pengarahnya, Ruzaidi Mamat berkata, kaedah tersebut akan mengakibatkan kepupusan spesies ikan dan hidupan lain, sekali gus akan menggaggu ekosistem sungai dan turut memberi kesan kepada nelayan darat sehingga boleh kehilangan sumber pencarian.
"Jadi apabila terlihat perkara pelik yang digunakan bagi menangkap ikan yang tidak dibenarkan, laporkan segera dan tindakan undang-undang akan diambil melalui penguatkuasaan undang-undang di bawah Akta Perikanan 1985.
"Adalah perlu untuk orang ramai peka dan cari jalan bagi mengatasi perkara ini bagi menjaga ekosistem sungai dan memelihara spesies ikan dan hidupan lain bagi mengekalkan kelestarian yang akan memberi manfaat kepada semua," ujarnya.
Gambar hiasan... Peralatan menuba ikan menggunakan renjatan eletrik
Ruzaidi berkata, individu yang didapati bersalah menangkap ikan menggunakan kaedah terlarang di bawah Kaedah-Kaedah Perikanan Darat Terengganu 1988 (pindaan 1993) boleh dikenakan kompaun tidak melebihi RM500 atau denda sehingga RM1,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya.
"Orang awam juga diingatkan agar tidak melepaskan spesies ikan asing ke perairan sungai yang dibimbangi ia akan turut menjejaskan ekosistem sungai dan kepupusan spesies ikan asli.
"Antara spesies asing adalah ikan baung ekor merah, ikan bandaraya, ikan Peacock Bass dan ikan pacu," ujarnya. - KitaReporters