NCOV: STARBUCKS, IKEA, TOYOTA DI CHINA TUTUP
Published byKETIKA perhatian lebih tertumpu kepada angka kematian serta jumlah yang dijangkiti akibat serangan penyakit koronavirus di China, tidak banyak diperkatakan mengenai aspek ekonomi yang turut terjejas akibat virus maut itu. : KitaReporters.com
EKSPORT minyak sawit Malaysia ke China dibimbangi terjejas akibat penularan koronavirus.
Bukan sahaja ekonomi China terjejas, bahkan ia turut menjejaskan ekonomi negara-negara luar yang mempunyai hubungan dagang dengan China ekoran penularan penyakit 2019 Novel Koronavirus atau 2019-nCoV ini.
Malah ia dibimbangi
turut menjejaskan Malaysia kerana dalam kemelut koronavirus yang terus
mengganas dan telah mengorbankan 250 orang dan menjangkiti 12,000 orang, ada kemungkinan
China mengurangkan import minyak sawit dari negara ini.
Sekiranya ini
berlaku, ia boleh menjejaskan industri minyak sawit negara kerana China adalah
pengimport kedua terbesar minyak sawit Malaysia selepas India.
Namun bukan
hanya minyak sawit yang dijangka menghadapi masalah ini. Pengeksport minyak
soya juga menghadapi risiko pemotongan import.
SEPARUH daripada 4,300 cawangan Starbucks di China ditutup akibat koronavirus.
Namun yang pasti di China sendiri kesan virus ini terhadap ekonomi sudah terasa.
Hotel-hotel mewah, khususnya di Wuhan di mana virus ini (yang juga dinamakan virus Wuhan) mula dikesan, mencatatkan kadar penginapan yang sangat rendah. Dengan penguatkuasaan kuarantin di Wuhan, keadaan menjadi lebih buruk.
Sektor perniagaan pula menyaksikan dua gergasi jenama antarabangsa, Starbucks dan Ikea mengurangkan jumlah rangkaian yang beroperasi atau menutup terus perniagaan.
Starbucks mempunyai
4,300 cawangan di seluruh China dan merupakan pasaran terbesar syarikat
berkenaan di luar Amerika.
Dalam usaha
melindungi para pekerjanya di samping menyokong usaha kerajaan menangani
penularan koronavirus, syarikat berkenaan menutup separuh daripada cawangan perniagannya
di seluruh China.
Memetik laporan BBC News, Starbucks mengakui penutupan ini akan memberi kesan besar ke atas prestasi kewangan, namun perlu dilakukan demi pekerja dan membantu mengekang jangkitan virus berkenaan.
Starbucks pada mulanya menjangkakan peningkatan unjuran keuntungan meningkat selepas mencapai prestasi kewangan membanggakan.
Namun dengan penutupan separuh daripada rangkaiannya, unjuran tersebut mungkin tidak dapat dicapai.
Rangkaian pertama Starbucks di China dibuka pada 1999 di Beijing.
Jualan di China menyumbangkan 10 peratus daripada keseluruhan pendapatan global syarikat itu. Kerana itulah China menjadi ‘lubuk emas’ dan penutupan rangkaian sudah pasti memberi kesan teruk kepada pendapatan syarikat.
KESEMUA 30 gedung Ikea di China ditutup kerana koronavirus.
Bukan sahaja Starbucks yang menghadapi kesan koronavirus ini. Sebuah lagi syarikat besar yang terjejas ialah Ikea, syarikat perabut terkenal Sweden.
Memetik
laporan Reuters, pada Khamis, 30 Januari 2020, Ikea mengumumkan penutupan
kesemua rangkaiannya di seluruh China, selepas penutupan pertama gedungnya di
Wuhan.
Pengumuman
ini dibuat hanya sehari selepas syarikat mengumumkan penutupan separuh daripada
30 buah cawangannya di seluruh China dan memendekkan waktu perniagaan, di
samping membatalkan semua perjalanan perniagaan ke China.
Lebih
14,000 pekerja di Ikea di China diminta duduk di rumah sehingga diberitahu
kelak, dengan gaji tetap dibayar.
Ikea memaklumkan akan meneliti perkembangan penularan virus dan sentiasa bekerjasama dengan pihak berkuasa di kawasan di mana terdapat gedung perniagaan mereka.
Sebarang tindakan lanjut bergantung kepada syor-syor dan nasihat pihak berkuasa.
Kilang-kilang pembekal syarikat Apple di China dijangka ditutup untuk jangka masa lama.
Kesan koronavirus ini juga dirasai syarikat teknologi terkenal, Apple.
Sementara syarikat tersebut gembira dengan angka jualan I-Phone yang melonjak, serangan virus berkenaan dijangka merencatkan unjuran keuntungan syarikat berkenaan.
Syarikat itu akan terus memantau perkembangan koronavirus sambil mengehadkan perjalanan perniagaan ke China serta memendekkan waktu perniagaan.
Kilang-kilang pembekal juga dijangka ditutup untuk jangka masa lama.
Sebelum itu, Facebook juga merupakan syarikat besar Amerika mengingatkan para pekerjanya mengelakkan perjalanan ke China sebagai langkah berjaga-jaga bagi
melindungi mereka.
Syarikat
pembuat kereta, Toyota juga menutup operasinya di China sehingga 9 Februari
ini sebagai reaksi kepada penularan koronavirus.
Syarikat Jepun itu mempunyai kilang di bandar raya Tianjin di sebelah
utara dan Guangdong di selatan.
Di China
sendiri, syarikat-syarikat menasihatkan pekerja mereka bekerja dari rumah dalam
usaha memperlahankan penyebaran virus pembunuh itu.
Para pekerja juga ditawarkan cuti lebih lama dan mengarahkan pekerja yang baru kembali dari kawasan terjejas agar jangan datang bekerja.
Kesan
koronavirus kepada ekonomi dan perdagangan global ini nyata membimbangkan kerana
sukar diketahui bila masalah ini akan dapat diatasi sepenuhnya.
Sehingga ini sektor penerbangan sudah pun terganggu. Pengeluaran perusahaan, perdagangan antarabangsa dan pelancongan juga terjejas.
Jika koronavirus tidak dapat dikekang dalam masa terdekat, kesan ekonomi dijangka menjadi lebih buruk. - KitaReporters.com
Kredit Peta grafik https://www.dailymail.co.uk/