Kerana COVID-19! 3 bangunan kerajaan negeri tutup sementara!
Published byPENULARAN wabak COVID-19 di Terengganu yang didapati semakin meningkat sejak seminggu lalu memaksa pihak berkuasa mengambil tindakan pantas dengan menutup operasi pelbagai jabatan dan agensi kerajaan termasuk institusi pendidikan dan agama. Langkah itu sebahagian daripada usaha membendung penularan COVID-19 dalam kalangan rakyat negeri ini berikutan pertambahan kes yang dilaporkan berlaku di negeri ini. : KitaReporters
Pusat Pentadbiran Kerajaan Negeri Terengganu Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu ditutup sementara
Lagi cerita-cerita berkaitan Terengganu:
https://kitareporters.com/search?search=terengganu
Terbaru, pusat pentadbiran kerajaan negeri Wisma Darul Iman di Kuala Terengganu adalah antara jabatan yang ditutup sementara selama tiga hari bermula hari ini, 6 Oktober 2020 berikutan kakitangan di pusat pentadbiran itu mempunyai kontak rapat dengan pesakit COVID-19.
Setiausaha Kerajaan Negeri
Terengganu, Datuk Mohd Zahari Md Azahar, berkata semua kakitangan kerajaan
negeri dibenarkan bekerja dari rumah (BDR/WFH) sepanjang tempoh berkenaan.
Wisma Darul Iman nadi pentadbiran Kerajaan Negeri Terengganu
Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu Datuk Mohd Zahari Md Azhar
Katanya, penutupan sementara itu bagi membolehkan proses disinfeksi dilakukan di keseluruhan bangunan berkenaan.
"Orang ramai yang mempunyai sebarang urusan penting dengan jabatan kerajaan di Wisma Darul Iman perlu menghubungi kakitangan berkaitan untuk maklumat lanjut kerana kita mahu proses disinfeksi berjalan lancar," katanya.
Katanya, semua kakitangan mestilah
berada di rumah masing-masing sepanjang tempoh bekerja dari rumah ini dan
dikehendaki kembali bertugas seperti biasa mulai Ahad ini, 11 Oktober.
Beliau berkata, semua kakitangan
hendaklah mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh Majlis
Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Kompleks Seri Iman yang menempatkan pelbagai institusi agama Islam turut ditutup kepada orang ramai
Selain itu, Bangunan Kompleks Seri Iman yang menempatkan Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT), Pejabat Agama Daerah Kuala Terengganu dan Pejabat Agama Daerah Kuala Nerus turut ditutup sejak 2 Oktober 2020 bagi proses sanitasi.
Pesuruhjaya JHEAT, Mat Azmi Arshad berkata, penutupan sementara itu bagi membolehkan proses sanitasi dilakukan susulan terdapat pegawai yang mempunyai kontak dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.
Pesuruhjaya JHEAT Mat Azmi Arshad
Katanya, enam pegawai dikhuatiri terlibat dengan mesyuarat bersama Menteri Agama di Putrajaya pada 1 Oktober 2020 lalu.
Beliau berkata, semua urusan kaunter dan pelanggan di tiga jabatan itu tidak akan beroperasi buat sementara waktu dan semua pegawai serta kakitangan diarahkan untuk bekerja dari rumah.
Katanya, urusan kaunter dan pelanggan dijadualkan akan beroperasi semula seperti biasa esok iaitu pada 7 Oktober 2020 (Rabu).
"Pihak kami memohon maaf atas segala kesulitan serta berdoa agar wabak penyakit ini dapat dihindari," kata Mat Azmi.
Manakala satu lagi agensi keraajaan negeri iaitu Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu (YPU)
menutup pejabat operasi buat sementara waktu selama tiga hari bermula 6
Oktober 2020 untuk sanitasi bagi
membendung penyebaran COVID-19.
Ketua Pegawai Eksekutif YPU, Ahmad Farhan Abdul Wahab berkata penutupan sementara ini merujuk kepada situasi COVID-19 yang semakin meningkat di Terengganu.
“Untuk itu beberapa program yang telah dirancang oleh YPU akan ditawakufkan buat sementara waktu, manakala program yang boleh dilaksanakan secara dalam talian atau maya akan dilaksanakan seperti biasa," jelasnya.
Bangunan Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu (YPU)
Sebelum sebuah universiti, dua sekolah rendah dan satu menengah, satu Tabika Kemas dan satu masjid ditutup di negeri ini bagi kerja-kerja nyahkuman dijalankan oleh pihak berkuasa berikut premis terbabit mungkin dicemarivirus pandemik COVID-19. - KitaReporters