Video| Mekah dilanda hujan lebat, banjir kilat! Ekoran peralihan musim sejuk ke musim panas!

Published by
KitaReporters

Dua lelaki berusaha menyelamatkan seorang wanita dari dibawa oleh arus semasa dia menyeberangi jalan di salah satu jalan di kota Mekah semasa dilanda banjir kilat pada Selasa 27 April 2021. - Kredit foto: Video YouTube.


ARAB SAUDI mengalami bencana banjir kilat di beberapa wilayahnya pada 15 Ramadan 1442 bersamaan 27 April 2021 lalu berikutan taburan hujan berlebihan berpunca daripada perubahan anjakan musim sejuk ke musim panas yang sedang berlaku sekarang.

Malahan pihak berkuasa negara itu telah mengeluarkan amaran cuaca buruk pada minggu ini supaya orang ramai berjaga-jaga dengan fenomena alam yang berlaku.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan banjir


Menurut kenyataan Jabatan Metrologi Arab Saudi, hujan lebat berserta ribut dan angin kencang berlaku di beberapa wilayah negara itu pada Selasa 27 April 2021 kira-kira jam 2.00 petang waktu tempatan yang mengakibatkan banjir kilat termasuk sekitar kawasan Masjidil Haram di kota Mekah al-Mukaramah.

Juga dilaporkan media tempatan, turut berlaku hujan batu berukuran antara 0.5 hingga 0.9 sentimeter di beberapa tempat sekitar kota Mekah termasuk di Dataran Kaabah (Maataf).

"Pihak berkuasa negara itu telah mengeluarkan amaran cuaca buruk hingga Selasa (4 Mei 2021)," lapor media tempatan Saudi Gazette.


Beberapa buah kenderaan yang di parkir di sebatang jalan dalam kawasan kediaman di kota Mekah ditenggelami air akibat banjir kilat yang melanda kawasan berkenaan.


Amaran awal yang dikeluarkan juga mendedahkan terdapat bencana ribut petir dan hujan sederhana di wilayah Asir, Al Baha, Jazan, Najran, Mekah dan Madinah.

Selain itu, amaran yang dikeluarkan juga melibatkan ibu negara Arab Saudi, Riyadh, selain Afha dan Wilayah Timur yang akan mengalami hujan lebat sederhana, banjir dan arus deras.

Hujan lebat berlebihan yang turun di sekitar kota Mekah pada 27 April 2021 itu berlanjutan hingga jam 4.00 petang dan telah mengakibatkan banjir kilat di beberapa tempat terutama kawasan rendah. Kawasan Ajyad turut terlibat sama.



Daripada paparan beberapa video yang dimuat naik dalam platform YouTube, memperlihatkan ada kawasan banjir hingga melepasi paras pinggang. Beberapa kenderaan tersadai dan turut hanyut dibawa arus deras.

Pada salah satu kawasan, tong sampah yang diperbuat dari besi pun turut dibawa arus banjir yang memenuhi jalan berkenaan.

Malah terdapat dua lelaki terpaksa menggunakan tali dan mengambil masa agak lama untuk menyelamatkan seorang wanita cuba bertahan dari dihanyutkan arus semasa menyeberang jalan.



Ada penduduk di kota Mekah menyifatkan hujan lebat berkenaan sebagai rahmat Allah sempena hari ke-15 Ramadan. Ia suatu kesyukuran.

Di sekitar kota Mekah dan kawasan-kawasan lain di negara itu sekurang-kurangnya berlaku antara empat atau lima kali setahun berlakunya hujan batu seperti yang terjadi pada Selasa, 27 April 2021 itu semasa hujan lebat berlebihan.

Sebelum ini, pada awal Ramadan lalu, ada berlaku hujan di sekitar kota Mekah tetapi terlalu sedikit.

Sekalipun kejadian banjir kilat yang berlaku agak cepat dan singkat tetapi banyak kemusnahan termasuk kenderaan dan harta benda terpaksa diterima penduduk setempat atau mereka yang tinggal di kawasan-kawasan terlibat dengan banjir. - KitaReporters


Arus deras dari bahagian atas bukit menyebabkan kenderaan yang diparkir geluncur ke bahagian bawah akibat banjir kilat yang berlaku.


 

Dalam keadaan hujan lebat jemaah umrah meneruskan aktiviti tawaf mereka di kawasan Dataran Kaabah (Maataf). Air mula mengenangi kawasan berkenaan.



Sebahagian kenderaan yang tersadai akibat banjir kilat di satu kawasan tumpuan ramai di kota Mekah.

0
1
2
0
0

Copy Link: