Menangi wang tunai berjumlah RM16k! Sertai pertandingan DIY Made Simple! Tarikh tutup 8 Mei 2025!
Published byPertandingan tahunan DIY Made Simple kembali untuk edisi kesembilan!
Pertandingan yang terbuka kepada sekolah-sekolah menengah di seluruh Malaysia ini menggalakkan para pelajar menampilkan kreativiti dan kemahiran menyelesaikan masalah sambil menangani cabaran kelestarian dalam dunia sebenar.
Tema pada tahun ini, “Sisa-kepada-Tenaga: Inovasi untuk Masa Depan Lebih Hijau,” mencabar para pelajar untuk menukar sisa pepejal kepada sumber tenaga yang boleh digunakan.
Seiring dengan usaha Malaysia mengatasi masalah sisa yang semakin meningkat, pendekatan sisa-kepada-tenaga (waste-to-energy atau WTE) menawarkan penyelesaian yang mampan dengan mengurangkan bebanan ke atas tapak pelupusan sampah serta menyokong inisiatif tenaga hijau.
Ini sejajar dengan dasar tenaga dan alam sekitar negara, sekali gus menyumbang kepada sasaran Malaysia untuk mencapai kadar kitar semula 40% menjelang 2025.
Antara contoh inovasi yang boleh diketengahkan dalam tema ini termasuklah mencipta panel solar daripada sisa elektronik, penjana elektrik daripada sisa plastik, lampu LED yang dikuasakan dengan bateri bio, turbin mini menggunakan air sisa, bateri daripada sisa logam, serta penghasilan hidrogen daripada air sisa.
Menerusi kreativiti dan inovasi, pertandingan DIY Made Simple memberi inspirasi kepada para pelajar untuk membentuk masa depan yang lebih hijau dan mampan.
Seperti biasa, pertandingan ini menawarkan pelbagai hadiah yang menarik!
Pasukan yang muncul juara bakal membawa pulang wang tunai RM4,000, diikuti RM3,000 untuk naib juara, RM2,000 bagi tempat ketiga, RM1,000 untuk tempat keempat, dan RM500 untuk tempat kelima.
Semua pasukan yang bertanding juga akan menerima baucar tunai Mr DIY bernilai RM300, sijil digital, dan trofi.
Hadiah khas sebanyak RM500 akan diberikan kepada pasukan dengan video pertandingan paling popular dalam YouTube.
Sekolah-sekolah yang berminat boleh menghantar penyertaan selewat-lewatnya pada 8 Mei 2025.
Panel hakim yang terdiri daripada wakil-wakil dari Universiti Malaya (UM), Yayasan Mr DIY dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan menilai penyertaan dan menyenarai pendek 16 buah sekolah.
Sekolah-sekolah yang terpilih akan bekerjasama dengan para pensyarah dari Fakulti Alam Bina, Universiti Malaya (UM) bagi merealisasikan idea mereka untuk penilaian peringkat akhir di Universiti Malaya pada Ogos 2025 nanti.
Pertandingan ‘DIY Made Simple’ dianjurkan oleh Yayasan Mr DIY, cabang amal milik peruncit perkakas rumah kegemaran rakyat Malaysia, Kumpulan Mr DIY (M) Bhd (Mr DIY), dengan kerjasama Pusat Jalinan Masyarakat Universiti Malaya (UMCares); Fakulti Alam Bina UM; dan Bahagian Sukan, Kokurikulum, dan Kesenian Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
Untuk mendaftar bagi menyertai pertandingan ini, layari https://myumcares.um.edu.my/diy-made-simple-2025-waste-to-energy-innovate-for-a-greener-future.html. - KitaReporters/Kenyataan Media