Video| Bantuan makanan naik heli! Jalan darat tertimbus tanah! Jalan air bahaya sungai deras!
Published bySETIAP kali penghujung tahun, penduduk mukim Hulu Tembeling dan Tembeling Tengah, Jerantut antara lebih dahulu paling terkesan dengan musibah banjir. Selain kediaman dilimpahi air, terputus hubungan jalan darat dan juga berdepan dengan keputusan keperluan barang dapur sekiranya banjir melebihi tempoh seminggu. : KitaReporters
Barang makanan kering (keperluan dapur) terlebih disanitasi sebelum diangkut ke atas helikopter dalam misi bantuan banjir kepada penduduk Hulu Tembeling, Jerantut. - Kredit foto: Mohd Rizalman Nor
Lagi cerita-cerita menarik berkaitan Jerantut, Pahang:
https://kitareporters.com/search?search=Jerantut
Penduduk tidak dapat ke bandar Jerantut untuk berbelanja malah urusan tertentu. Lantaran itu, mereka juga tidak mempunyai pendapatan kerana tidak dapat menoreh getah, hasil sawit termasuk penggiat serta pekerja di sektor ekopelancongan Taman Negara.
Sehubungan itu, kerajaan negeri menerusi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) lebih awal serta pantas dengan kesiapsiagaan apabila menghantar bantuan 1,110 bungkus barangan keperluan dapur (makanan) ke perkampungan utama di mukim Hulu Tembeling.
Pihak berkuasa beruniform dan kakitangan JKM sedang menaikkan barang keperluan dapur ke atas helikopter TUDM untuk 'diterbangkan' dalam misi bantuan banjir ke mukim Hulu Tembeling, Jerantut pada 9 Januari 2021. - Kredit video: Mohd Rizalman Nor
Operasi memunggah barang makanan itu menggunakan bantuan tiga buah helikopter, iaitu dua milik Jabatan Bomba Penyelamat Malaysia (JBPM), manakala sebuah pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).
Walaupun berdepan dengan cuaca yang tidak menentu, hujan turun serta kabus, misi penghantaran bantuan itu berjaya memunggah barang makanan itu ke pengkalan hadapan di Kampung Kuala Tahan (Tembeling Tengah), Kampung Pagi, Kampung Kuala Sat, Kampung Bantal, Kampung Mat Daling dan Kampung Gusai.
NAZRI NGAH
Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri, Datuk Nazri Ngah berkata, kerajaan negeri simpati serta amat endah dengan nasib dan kebajikan penduduk di Hulu Tembeling yang kini hampir keputusan barang keperluan dapur sejak musibah banjir gelombang ketiga melanda awal Januari 2021 ini.
"Kita amat prihatin dan maklum apabila masing-masing penduduk sudah berkurangan barang keperluan harian malah tidak dapat ke bandar Jerantut untuk berbelanja berikutan jalan raya tersekat banjir dan tanah runtuh.
"Hari ini (9 Januari 2021), kerajaan negeri menggerakkan misi bantuan udara dengan menggunakan tiga buah helikopter untuk 'menerbangkan' barang keperluan dapur ke Hulu Tembeling," katanya di Padang Bola Sepak FA Jerantut lokasi operasi pemunggahan barang makanan dengan helikopter ke Hulu Tembeling pada Sabtu, 9 Januari 2021.
Nazri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Tawar berkata, operasi pemunggahan barang makanan juga dibantu kenderaan lasak pelbagai guna, amfibia, trak dan bot milik Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) untuk memunggah barang di kawasan laluan yang dinaiki air.
Kemudahan bot milik pihak berkuasa beruniform juga digunakan untuk menyeberangi laluan ditenggelami air berdekatan Kampung Paya Garuk untuk menghantar makanan ke kawasan mukim Tembeling Tengah dan Kuala Tahan. - Kredit foto: Abdul Jalil Abd Rahman
"Kampung yang menerima barang makanan kering, iaitu sebanyak 146 bungkus untuk Kampung Bantal, Kampung Kuala Sat (146 bungkus), Kampung Pagi (70 bungkus), Kampung Gusai (70 bungkus), Kampung Mat Daling (130 bungkus), Kampung Kuala Tahan (458 bungkus) termasuk kebajikan penduduk Orang Asli di Kampung Sungai Kucing (56 bungkus) dan Kampung Hulu Sat (34 bungkus)," katanya.
Nazri juga berterima kasih kepada pihak JBPM dan TUDM termasuk APM menerusi bantuan menghantar bekalan makanan kepada penduduk Tembeling Tengah dan Hulu Tembeling yang terputus hubungan luar.
ABDUL JALIL ABD RAHMAN
Sementara, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Kemakmuran Kampung (JKKK) Kuala Tahan, Abdul Jalil Abd Rahman berterima kasih kepada kerajaan negeri dan JKM menerusi misi bantuan banjir kepada penduduk yang terjejas dengan musibah itu di kawasan berkenaan.
"Kebanyakan penduduk yang dikategorikan menerima bantuan ini terdiri daripada mereka yang bekerja di sektor ekopelancongan Taman Negara yang mula terjejas pendapatan sejak musim pejur (hujan berterusan) awal bulan Oktober tahun lalu (2020).
"Bantuan kerajaan ini sudah sedikit selesa apabila 'dapur mereka berasap dan makanan keluarga terhidang di atas meja' sekali gus meringankan beban setelah pendapatan mereka defisit sejak ancaman pandemik COVID-19 tahun lalu," katanya di Kuala Tahan ketika pemunggahan barang daripada helikopter.
ABDUL JABAR DOLAH
Pengerusi JKKK Kuala Sat, Abdul Jabar Dolah juga berpandangan bahawa memang tepat masanya bantuan berkenaan tiba di kawasan Hulu Tembeling memandangkan penduduk terputus hubungan luar sejak jalan raya tersekat akibat tanah runtuh dan mendapan pada 8 Januari 2021.
"Senario jalan raya rosak dan laluan dinaiki air mengundang masalah penduduk keluar berbelanja di bandar Jerantut. Dengan adanya bantuan makanan ini, kita boleh agihkan kepada penduduk yang terjejas dalam tempoh banjir ini sebelum keadaan pulih sediakala.
"Terima kasih kepada kerajaan negeri di bawah pentadbiran Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail; Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, Datuk Seri Dr. Sallehuddin Ishak dan Datuk Nazri Ngah kerana prihatin dengan kebajikan penduduk Hulu Tembeling," ujarnya. - KitaReporters
Penduduk kampung menurunkan barang bantuan banjir daripada helikopter JBPM untuk dihantar ke stor pengkalan hadapan sejurus mendarat di Kampung Kuala Tahan, Jerantut pada 9 Januari 2021. - Kredit video: Abdul Jalil Abd Rahman