Kucing kena sakit buah pinggang? Ni kemungkinan penyebabnya!
Published byBARU-BARU ini tersiar cerita mengenai si bulus dikenali dengan nama Bella mati akibat sakit kronik, CKD atau Chronic Kidney Disease.
Kucing betina kesayangan ramai kepunyaan pemilik kedai haiwan, Sookie’s Store di
Tanjung Lumpur, Kuantan, Pahang itu mati pada musim Perintah Kawalan Pergerakan
(PKP). : KitaReporters
Kucing peliharaan, Bella mati kerana sakit buah pinggang. Kredit foto: FB Sookie's Store
Berita sedih itu disampaikan oleh tuannya melalui media sosial, lalu ramailah yang meninggalkan komen menyatakan rasa sedih dan terharu di atas pemergian kucing yang dulunya menjadi tumpuan pelanggan di kedai itu.
Yang meninggalkan komen dan melahirkan rasa sedih
itu mungkin pelanggan yang pernah melihat, menyentuh, mengusap, memegang,
memeluk dan mencium Bella, maka itu meninggalkan kesan mendalam di hati mereka.
Sebaik terbaca berita itu, penulis ingin berkongsi
maklumat mengenai faktor yang boleh menyebabkan kucing menghidapi penyakit buah pinggang atau yang menyebabkan kesihatan haiwan itu terjejas.
Pastikan kucing sentiasa bersih dan sihat bagi mengurang risiko dijangkiti penyakit.
Teringat temu bual dengan seorang doktor veterinar yang ketika itu mengkhusus dalam rawatan kucing, di samping memberi khidmat menyediakan penginapan untuk kucing atau juga disebut `hotel kucing’.
Dalam temu bual itu, penulis bertanya apakah makanan terbaik untuk kucing, adakah nasi sesuai kerana ada dala kalangan pemilik
kucing cenderung memberi makanan nasi yang digaulkan dengan lauk kepada
kucing peliharaan mereka.
Pengetahuan mengenai penjagaan makanan ini penting, demi kesihatan kucing peliharaan anda.
Pada musim wabak COVID-19, bukan sahaja manusia perlu menjaga kesihatan. sebarang gangguan kesihatan memberi kesan mudah menerima jangkitan baik dalam kalangan manusia, mahupun jangkitan daripada manusia kepada haiwan.
Pakar Bedah Veterinar, Dr Nurzaty Hamid, pakar dalam rawatan kucing
Menurutnya Pakar Bedah Veterinar, Dr Nurzaty Hamid, ada beberapa makanan tidak sesuai untuk kucing, termasuklah nasi.
Ha!! Mungkin ada yang terkejut, kenapa tidak sesuai?
Pernah tidak kita melihat, terkadang apabila diberikan nasi, kucing seolah tidak berselera makan, dia mencium-cium nasi dan mengais, kemudian ditinggalkan.
Ada juga yang makan apa saja yang diberikan.
Dr Nurzaty yang meminati kucing sejak kecil berkata, biasanya jika nasi yang diberikan kepada kucing digaulkan dengan ikan, kita nampak kucing itu makan dengan berselera.
Lebih banyak lauk yang ada tidak kira sama ada ikan mahupun daging lebih asyik kucing itu makan.
Masalahnya, ada yang berjimat, memberi kucing nasi sahaja dan sedikit sangat lauk, jika lauk atau ikan digaulkan halus sampai tidak nampak, tidak dapat tidak kucing akan makan bersekali nasi kerana ada bau ikan.
Jika terus diberikan nasi dengan kerap dan berlarutan tanpa lauk, berbahaya sedikit kepada kesihatannya.
Dr Nurzaty berkata, hakikatnya nasi bukanlah
makanan terbaik untuk kucing. Apa jadi kalau kucing kerap makan nasi
semata-mata?
Menurutnya, kucing makan nasi sebab ada ikan digaul bersamanya. Sebenarnya kucing memilih untuk makan lauk, ikan, ayam atau daging kerana makanan semula jadi untuk kucing adalah jenis makanan berprotein.
Kucing yang bersih dan tidak berpenyakit, bebas berada di mana-mana sahaja dalam rumah termasuk atas katil di bilik tidur.
“Sistem pencernaan kucing sukar menghadam nasi, jika terlalu kerap makan atau banyak makan nasi dibimbangi mengalami masalah kesihatan terutama membabitkan buah pinggang,” katanya, yang ketika semasa temu bual beberapa tahun lalu, sebagai doktor di Kitty’s Cottage Klinik Haiwan & Surgeri, Cawangan Desa Pandan, Kuala Lumpur.
Nasihat Dr Nurzaty ialah jangan memberi nasi semata-mata kepada kucing. Jadi elak beri makan nasi kepada kucing setiap hari.
Berbeza dengan sistem pencernaan manusia yang boleh menghadam nasi dengan mudah katanya, kucing tidak mempunyai kelebihan itu.
“Ini kerana perut kucing hanya sesuai untuk bahan makanan berasaskan daging termasuk ikan.
"Ini kerana secara semula jadinya kucing adalah haiwan mamalia jenis karnivor, jadi sistem pencernaannya direka sebagai pemakan daging iaitu makanan berprotein, bukan karbohidrat.
"Pencernaanya memerlukan beberapa protein dan asam amino yang tidak boleh didapati daripada bahan selain ayam/daging mahupun ikan.
"Justeru, makanan sesuai untuknya adalah ikan dan ayam rebus selain daripada makanan dijual siap yang direka khas untuk keperluan haiwan itu.
"Jika kucing biasa makan nasi, boleh beri dalam kuantiti sederhana dan tidak diberi berterusan setiap hari.
"Jika ia suka nasi, sebaiknya digantikan dengan nasi daripada beras perang, kerana perut kucing lebih mudah untuk mencerna atau menghadamnya.
"Bahkan kebanyakan makanan berkualiti yang diformulakan, menggunakan campuran beras perang dan bukannya beras biasa,” jelas beliau.
Elak beri makanan proses yang berwarna-warni untuk hindari penyakit batu karang atau buah pinggang pada kucing. Kredit foto - Facebook Norhasiyati Taharin
Beberapa lagi penyebab yang boleh menjejaskan kesihatan buah pinggang kucing ulas Dr Nurzaty lagi, untuk yang memberi makanan kucing jenis diproses atau beli siap, elak guna jenis komersil yang berwarna-warni, bagi menghindari risiko penyakit batu karang atau buah pinggang kerana kesan bahan kimia yang tidak elok daripada pewarna.
Selain itu tambahnya, juga tidak digalak menukar sesuka hati jenis atau jenama makanan yang dibeli.
“Amalan ini dibimbangi ada yang tidak sesuai dengan kucing berkenaan, sebarang pertukaran boleh menyebabkan kucing sakit perut,” terang beliau sambil memberi panduan, agar kucing kekal sihat, boleh diberi multivitamin.
“Jika diletak dalam bilik berhawa dingin, sediakan kotak-kotak tempat kucing menyorok dan memanaskan badan.
"Jika diletak dalam bilik yang hanya ada kipas, pastikan sistem pengudaraannya bagus,” tambahnya.
Mengenai amalan memandikan kucing, beliau berkata kucing juga tidak boleh dimandikan terlalu kerap, hanya boleh dimandikan sekali sekala seperti sebulan sekali.
Kucing makan nasi kerana ada lauk di dalamnya, elak kerap beri makan nasi tanpa atau sikit lauk untuk menjaga kesihatan buah pinggang kucing. Sebaiknya guna nasi daripada beras perang. Kredit foto - TanyaDokterHewan
Berkait risiko kucing terhadap ibu mengandung yang sering diperkatakan menurutnya, memang betul, kucing boleh mendapat penyakit Toksoplasma yang berisiko menjangkiti ibu mengandung.
Risiko jangkitan penyakit itu, boleh menyebabkan keguguran.
Justeru, bagi pemilik kucing, dinasihat amalkan basuh tangan dengan sanitizer setiap kali selepas pegang kucing, ujarnya.
Cuci tangan dengan sanitizer sebelum pegang kucing untuk elak risiko jangkitan virus daripada manusia kepada kucing.
Bagi memastikan kucing selamat dari penyakit tertentu, tambahnya digalak mendapatkan suntikan rangkaian vaksin khas untuk haiwan itu.
Berkelulusan dalam bidang veterinar dari Universiti Pertanian Malaysia (UPM), Dr Nurzaty selaku Vet Surgeon (pakar bedah haiwan), mengikuti pengajian peringkat Diploma Kesihatan Haiwan dan Penternakan di kampus Bintulu, Sarawak sebelum melanjut ke peringkat Ijazah Veterinar di UPM, Bangi, Selangor. - KitaReporters