Video| Aras sungai naik! Hulu Tembeling mula dilanda banjir!
Published byKAWASAN Hulu Tembeling di daerah Jerantut, Pahang mula dilanda banjir berikutan rumah penduduk, kedai kopi dan tempat menunggu di hentian bot penambang di lima buah kampung di pesisir Sungai Tembeling sudah dilimpahi air berikutan hujan lebat sejak enam hari lalu. : KitaReporters
Beberapa buah bot penambang masih lagi beroperasi memunggah pengunjung meredah arus deras Sungai Tembeling di Taman Negara Kuala Tahan, Jerantut. - Kredit foto: Penduduk Kuala Tahan
Lagi kisah-kisah berkaitan Jerantut:
https://kitareporters.com/search?search=jerantut
Amaran banjir diramalkan akan berlaku di Pahang sudah pun dikeluarkan oleh Jabatan Pengairan Saliran (JPS) pada 19 Disember 2020 berikutan aras air Sungai Tembeling (kawasan mukim Hulu Tembeling), Sungai Pahang (sungai utama) dan Sungai Yap (anak sungai) berdekatan Jalan Jerantut - Kuala Tembeling mulai naik sejak Jumaat, 18 Disember 2020.
Kredit foto: http://publicinfobanjir.water.gov.my/
Fenomena yang disifatkan oleh penduduk tempatan sebagai gelombang ketiga jelas berlaku apabila beberapa buah kediaman dan kedai kopi di Kampung Bantal mula dinaiki air Sungai Tembeling sedalam lebih satu meter mulai pukul 7.30 pagi hari ini, Sabtu 19 Disember 2020 berikutan pertembungan air Sungai Sepia dan Sungai Tembeling menyebabkan kawasan rendah ditenggelami banjir.
Sebuah kediaman penduduk berdekatan Sungai Tembeling mulai digenangi air di Kampung Bantal, Jerantut pada 19 Disember 2020. - Kredit foto: Penduduk Kampung Bantai.
Video yang berdurasi 48 saat kiriman penduduk tempatan memaparkan suasana di Kampung Bantal, Hulu Tembeling ketika mula berdepan fenomena banjir.
Manakala, kegiatan harian penduduk, iaitu menoreh getah, mencari sumber hutan dan nelayan sungai diberhentikan sementara berikutan hujan lebat menyebabkan peningkatan paras air dan arus deras yang boleh membahayakan pengangkutan bot penambang dan gentian kaca.
ZULKEFLY JAMALUDDIN
Penduduk Kampung Bantal, Zulkefly Jamaluddin berkata, hujan lebat masih turun sejak semalam, Jumaat 18 Disember 2020 dan aras air kedua-dua batang sungai berkenaan semakin naik berkemungkinan air banyak lagi kediaman di kawasan rendah akan dinaiki air sekiranya senario berterusan.
"Penduduk di sini sudah maklum dengan fenomena ini setiap kali musim pejur bermula pada awal November bulan hingga Disember.
"Ada segelintir penduduk yang rumah mereka dinaiki air sudah menumpang di kediaman saudara mara yang terletak di kawasan tinggi," katanya ketika dihubungi di Kampung Bantal, Hulu Tembeling hari ini, Sabtu 19 Disember 2020.
Pulau Agoh di Kuala Tahan yang terletak di tengah Sungai Tembeling sudah pun tenggelam merupakan tanda aras awal kemungkinan fenomena banjir berlaku di daerah Jerantut. - Kredit foto: Penduduk Kuala Tahan.
Pengusaha pelancongan Kampung Kuala Sat, Masdi Ahmad berkata, keadaan terkini paras air Sungai Tembeling sudah melimpah ka atas jalan simen ke kawasan kediaman penduduk yang juga laluan utama pengunjung ke tempat pelancongan 'Sat Expeditions' kampung tersebut sejak pukul 2 pagi hari ini.
"Kawasan tapak perkhemahan berekatan sungai sudah dibanjiri air sungai. Pengusaha makanan sudah mengalih restoran terapung ke kawasan selamat.
"Keseluruhan air masih bertahan tetapi mengundang risiko keselamatan bagi bot penambang, Hujan masih turun di sini dan penduduk sudah bersedia berpindah sekiranya air memasuki kediaman," katanya di Kampung Kuala Sat hari ini.
Sementara itu, di pusat peranginan Taman Negara Kuala Tahan pada hari ini (19 Disember 2020) sumber daripada JPS berkata, paras air semasa di stesen penyukat banjir Kuala Tahan sehingga pukul 7.30 pagi mencatat 67.39 meter dan menunjukkan potensi menaik serta berada pada kondisi amaran.
"Aras ini sudah menghampiri amaran bahaya, iaitu 68 meter dan berkemungkinan air akan naik tengah hari ini berasaskan hujan lebat masih turun di kawasan Hulu Tembeling," katanya.
SUHAIMI MD AMIN
Penduduk Kuala Tahan, Suhaimi Md Amin berkata, fenomena banjir sudah bermula apabila air Sungai Tembeling yang bertembung dengan Sungai Tahan (kawasan Taman Negara) menyebabkan arus Sungai Tembeling deras dan menenggelamkan Pulau Agoh di kawasan tengah sungai mulai pukul 7 pagi hari ini (19 Disember 2020).
"Air sudah mencecah di tebing kawasan 'esplanade' dan tangga laluan ke jeti Kuala Tahan antara pintu utama masuk pengunjung menyeberang sungai dengan menaiki bot penambang ke kawasan Taman Negara," katanya.
SABRI ABDULLAH
Sementara itu, Pengurus Pelancongan dan Hospitaliti, Mutiara Resort Taman Negara (MTNR), Sabri Abdullah berkata, limpahan air Sungai Tembeling dan Sungai Tahan sudah melebihi kawasan tangga dan pintu masuk resort tersebut pada pukul 12 tengah hari ini.
"Dari maklumat data kehadiran pengunjung serta yang masih menginap di MTNR dan pusat inap milik pengusaha tempatan di Kuala Tahan hari ini (19 Disember 2020) yang disediakan oleh pihak Jawatankuasa Kemajuan Keselamatan Kampung (JKKK) sehingga ini terdapat seramai 234 orang.
"Kita sudah bersedia berdepan sebarang kemungkinan untuk keselamatan pengunjung dan sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) serta arahan pihak berkuasa daerah ini sekiranya fenomena ini semakin buruk," ujarnya. - KitaReporters
Air Sungai Tembeling naik menenggelami kawasan tangga Mutiara Taman Negara Resort, manakala bot penambang memberhentikan sementara memunggah pengunjung pada 19 Disember 2020. - Kredit foto: Sabri Abdullah
Video berdurasi 56 saat kiriman Suhaimi Md Amin mengenai keadaan banjir di Taman Negara Kuala Tahan.