LEDAKAN DATA RAYA, DATA RANTAI PADA 2020
Published byINDUSTRI teknologi maklumat (IT) berkaitan Data Raya (Big Data) dan Data Rantai (Blockchain) negara dijangka mengalami ledakan pertumbuhan lebih pesat pada tahun hadapan ekoran langkah Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) mewujudkan sebuah pusat penyelidikan khas untuk bidang tersebut. : KitaReporters.com
Pusat tersebut yang dinamakan sebagai Pusat Kecekapan Industri untuk Data Raya dan Data Rantai Malaysia bakal beroperasi di Cyberjaya dengan dikendalikan oleh pakar-pakar dari Universiti Multimedia (MMU).
Presiden MMU, Prof. Datuk Ts. Dr. Ahmad Rafi Mohamed Eshaq berkata, keputusan MDEC pada minggu lepas untuk melantik MMU bagi membangunkan pusat tersebut dianggap satu penghormatan kepada universiti itu.
Prof. Datuk Ts. Dr. Ahmad Rafi Mohamed Eshaq
Ia merupakan satu lagi pengiktirafan MDEC kepada MMU yang sebelum ini turut diiktiraf sebagai salah sebuah universiti berstatus Premier Digital Tech Institution.
“Bagi kami keputusan MDEC itu adalah tepat kerana MMU sememangnya sudah lama memiliki kepakaran dan kemudahan makmal untuk membangunkan pusat ini yang bertaraf nasional. Kami mempunyai kumpulan yang kuat dalam penyelidikan dan juga latihan untuk pihak industry,” katanya kepada media semasa majlis makan tengah hari diHotel Sheraton Petaling Jaya semalam (25/11/2019).
Prof Rafi (tiga dari kanan) berbual dengan Tan Li Ting (dua dari kanan) dan Pavinya Ramachandran (dua dari kiri) pada majlis makan tengah hari bersama media di Hotel Sheraton Petaling Jaya. Turut hadir sama ialah Dr. Abdullah Salehhuddin Abdullah Salim (kanan sekali), Pengarah Hal Ehwal Pelajar MMU; dan Zambri Pawanchik (kiri), Naib Presiden Pemasaran dan Komunikasi MMU.
Prof. Rafi berkata, pusat tersebut akan menyediakan perkhidmatan dan kemudahan untuk melakukan penyelidikan, kelas pakar, latihan dan sebagainya.
Bagaimanapun, beliau berkata, perincian tentang kos dan peruntukan pusat tersebut masih belum dimuktamadkan dan ia tertakluk kepada keputusan MDEC sendiri.
Sementara itu, pada majlis berkenaan, Prof. Rafi memberitahu tentang pelbagai kejayaan yang diterima oleh MMU sepanjang 2019 sebelum masuk ke tahun baharu 2020.
Antara pencapaian yang memberangsangkan ialah tiga pelajar MMU bakal mewakili Malaysia pada Sukan SEA di Filipina mulai 30 November 2019.
Mereka adalah Tan Li Ting dalam sukan catur, Pavinya Ramachandran (hoki air) dan Nurul Azurin Mazlan (penjaga gol bola sepak wanita). - KitaReporters.com
Pavinya Ramachandran (kiri) dan Tan Li Ting menunjukkan sijil penghargaan daripada MMU.