WALAUPUN masih dalam fenomena gelombang musim pejur (hujan berterusan), tetapi bagi nelayan Sungai Tembeling daerah Jerantut tidak serik terus berusaha mencari rezeki untuk keperluan dapur. Nelayan berkenaan terpaksa turun ke Sungai Tembeling merupakan pekerjaan bagi menampung perbelanjaan harian lebih lagi tekanan sejak pandemik COVID-19 masih tidak berpenghujung dan terbaharu, musim pejur menyebabkan mereka tidak dapat mencari rezeki. : KitaReporters


Ahmad Omar menunjukkan seekor udang galah yang tersangkut di mata kail pancing di sebuah lubuk Sungai Tembeling, berdekatan Kampung Pagi, Jerantut. - Kredit foto: FB Kampung Pagi


Lagi kisah-kisah menarik berkaitan nelayan:

https://kitareporters.com/search?search=nelayan


Bagi nelayan Sungai Tembeling di Kampung Pagi, Hulu Tembeling, Ahmad Omar berkata, rezekinya tidak tersalah alamat apabila memperoleh hasil tangkapan udang galah (Macrobrachium rosenbergii) di lubuk sungai tersebut. 

"Setelah air sungai surut selepas banjir empat hari lalu, saya memulakan langkah untuk mencari rezeki kerana sudah lama tidak memperoleh wang lantaran musim hujan tidak dapat menoreh getah pada sebelah pagi dan air sungai naik selepas hujan lebat.

"Kebiasaannya saya memasang jaring dan menjala di sungai ini untuk menangkap ikan, tetapi tekad saya hari ini untuk memancing sambil berharap memperoleh rezeki daripada hasil tangkapan selepas banjir surut.


Ahmad Omar menunjukkan sebahagian udang galah yang telah dipancing di sebuah lubuk Sungai Tembeling, berdekatan Kampung Pagi, Jerantut. - Kredit foto: FB Kampung Pagi


"Saya bersyukur apabila hasrat mendapatkan rezeki kesampaian apabila memperoleh 12 ekor udang galah ketika memancing di Lubuk Lompat dan Lubuk Lenting selama hampir dua jam di sungai ini berdekatan dengan kampung ini," katanya di Kampung Pagi, Hulu Tembeling dekat sini. 

Ahmad yang sudah berpengalaman sebagai nelayan sungai selama 20 tahun berkata, dia cuma menggunakan umpan cacing tanah untuk menangkap (memancing) haiwan omnivor itu.

"Udang galah menjadikan habitatnya di kawasan lubuk dan berbatu, manakala kebiasaannya ketika air sungai surut (selepas banjir) atau waktu kemarau, hidupan ini (udang) keluar mencari makanan," katanya.


Hasil tangkapan udang galah (Macrobrachium rosenbergii) dijual dengan harga RM80 sekilogram kepada pengusaha pusat inap dan restoran di Taman Negara Kuala Tahan. - Kredit Foto: FB Kampung Pagi


Katanya, hasil tangkapan itu hampir seberat 15 kilogram dijual kepada pengusaha pusat inap dan restoran di Taman Negara Kuala Tahan dengan harga RM80 sekilogram.

"Pendapatan ini bolehlah saya berbelanja keperluan dapur untuk keluarga dalam tempoh musim pejur termasuk membeli peralatan enjin bot bagi keselesaan menangkap ikan di Sungai Tembeling selepas ini," ujarnya.


ABD JAMIL MD YASSIN


Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Kemakmuran Kampung (JKKK) Kampung Pagi, Abd Jamil Md Yassin menambah, Kampung Pagi antara lima buah kampung menjadi destinasi ekopelancongan pesisir Sungai Tembeling daerah Jerantut yang menjadi tumpuan pengunjung domestik untuk memancing ikan air tawar termasuk udang galah.

Katanya, penduduk di situ kebanyakannya sebagai nelayan Sungai Tembeling menggunakan jaring, jalan dan 'aran' (tali pancing diikat pada kayu atau pokok) dan sekali sekala memancing udang galah berasaskan permintaan pasaran luar. 


Nelayan Sungai Tembeling, Adenan Nipah menunjukkan dua ekor spesies patin yang ditangkap menggunakan jaring di sebuah lubuk berdekatan Kampung Pagi, Jerantut. - Kredit foto: Penduduk Kampung Pagi


"Lokasi memancing ikan sungai dan udang biasanya ditumpukan di beberapa buah lubuk serta kawasan berbatu antara habitat hidupan berkenaan.

"Belia kampung ini mempunyai kemahiran pemanduan alam sekitar (nature guide) termasuk pengangkutan bot penambang bersedia memberikan khidmat untuk aktiviti memancing di Sungai Tembeling mahupun berekreasi di kawasan hutan lipur dan air terjun," ujarnya. - KitaReporters


Masakan gulai tempoyak udang galah campuran belimbing buluh antara juadah tradisional  penduduk yang tinggal di pesisir Sungai Tembeling, Sungai Jelai dan Sungai Pahang. - Kredit foto: Facebook.com

0
0
0
0
0

Copy Link: