Video| Pelik tapi benar! Tiada cap jari! Masalah besar dalam dunia kian guna teknologi cap jari

Published by
KitaReporters

ANTARA keajaiban dalam penciptaan manusia ialah cap jari yang tidak sama antara satu sama lain. Bayangkan berapa banyak manusia sejak zaman Nabi Adam hinggalah kini, semuanya mempunyai cap cari yang berbeza. Itulah bukti kebesaran Allah SWT. Allah Maha Besar! : KitaReporters


Terdapat segelintir insan di dunia ini yang tidak mempunyai cap jari kerana masalah genetik. - Kredit foto: BBC


Lagi kisah-kisah menarik berkaitan genetik:

https://kitareporters.com/search?search=genetik


Malah, keajaiban itu telah memudahkan manusia untuk mengenal pasti identiti setiap orang apatah lagi pada zaman kini, cap jari menjadi data biometrik yang paling banyak digunakan di dunia.

Pasti ada yang tertanya-tanya wujud tak manusia yang tidak mempunyai cap jari? Mungkin ada yang beranggapan ia tidak wujud. Kalau itu tanggapan anda, maka ia salah sama sekali.



Lapor Perbadanan Penyiaran Britain (BBC), terdapat sebuah keluarga di Bangladesh yang tidak mempunyai cap jari kerana menghidapi sejenis penyakit genetik.

Keluarga berkenaan tinggal di sebuah kampung di daerah Natore, utara Bangladesh. Lebih menghairankan, hanya golongan lelaki dalam keluarga tersebut yang mengalami masalah itu.

Masalah yang dihadapi keluarga tersebut merupakan mutasi genetik yang hanya berlaku kepada segelintir keluarga di dunia dan menyebabkan mereka tidak mempunyai cap jari.

Menurut salah seorang ahli keluarga berkenaan, Apu Sarker, 22, pada zaman datuknya, tidak mempunyai cap jari bukanlah masalah besar kerana ketika itu penggunaan cap jari sebagai pengenalan diri tidak begitu meluas.


Apu menunjukkan kesepuluh jarinya yang tidak mempunyai cap jari. - Kredit foto: BBC


Namun, ia berbeza dengan zaman kini. Justeru, tidak mempunyai cap cari boleh mendatangkan masalah. Itulah yang dirasai oleh kaum lelaki dalam keluarga Sarker.

Pada 2008, Bangladesh telah memperkenalkan kad pengenalan nasional untuk semua orang dewasa dan pangkalan data memerlukan cap ibu jari.

Ketika inilah masalah dihadapi bapa Apu iaitu Amal Sarker sehingga petugas kerajaan mati akal untuk mengeluarkan kad pengalannya kerana tiada cap jari. Akhirnya, jalan terbaik adalah dengan menulis perkataan ‘Tiada Cap Jari’ pada kad pengenalannya.


Adik Apu, Anu juga tidak mempunyai cap jari.-Kredit foto:BBC


Manakala pada tahun 2010, Bangladesh telah mewajibkan penggunaan cap cari bagi sesiapa yang mahu membuat pasport dan lesen memandu

Hal tersebut sekali lagi mengundang masalah buat Amal sehingga terpaksa mengemukakan sijil perubatan bagi mendapatkan pasport. Namun lucunya, Amal tidak pernah menggunakan pasport berkenaan kerana bimbang mengalami masalah di lapangan terbang.

Berkenaan dengan lesen memandu, jelas Amal dia tidak pernah memilikinya kerana kesukaran mendapatkannya walaupun sudah lulus ujian memandu. Jadi tidak hairanlah dia sering disaman polis ketika memandu motosikal walaupun sudah menunjukkan resit pembayaran yuran lesen memandu.


Masalah genetik yang dihadapi keluarga Sarker menyukarkan proses pengenalan. - Kredit foto: BBC


Seterusnya pada tahun 2016, kaum lelaki keluarga Sarker sekali lagi berdepan masalah apabila kerajaan mewajibkan data cap jari dimasukkan ke pangkalan data nasional untuk tujuan membeli kad SIM telefon bimbit.

Hak mereka untuk memiliki kad SIM dinafikan kerana komputer tidak dapat mengesan data peribadi mereka setiap kali mereka meletakkan jari pada sensor. Hal itu menyebabkan mereka terpaksa menggunakan kad SIM atas nama kaum wanita dalam keluarga berkenaan seperti ibu Apu iaitu isteri kepada Amal.

Kes yang berlaku kepada keluarga Sarker itu dikenali sebagai Adermatoglyphia. Bayangkan kesukaran demi kesukaran mereka hadapi kerana ketiadaan cap jari. - KitaReporters

1
2
0
0
0

Copy Link: