Pantai Bukit Keluang Besut


PENGUNJUNG yang ingin melakukan aktiviti riadah terutama mandi manda di Pantai Bukit Keluang, Besut, dingatkan agar berwaspada kerana pesisiran pantai tersebut dipecayai terdapat obor-obor berbisa yang boleh mengancam keselamatan orang ramai. 

Amaran Waspada Terhadap Obor-obor Berbisa tersebut dikeluarkan oleh pihak berkuasa Majlis Daerah Besut (MDB) susulan berlaku kes sengatan obor-obor kepada beberapa orang pengunjung ke situ.



MDB menerusi satu kenyataan berkata, obor-obor daripada spesies Physalia physalis (Obor-obor Api Atau Lebih Dikenali Sebagai ''Portuguese man-of-war") dikesan di pantai tersebut sejak lima hari lalu.

Menurut kenyatan itu, susulan kejadian tersebut, petugas Lifeguard dari Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Bukit Keluang telah membuat pemantauan dan menasihati pengunjung pantai berkenaan bahayanya obor-obor Berkenaan.


Spesis Obor-obor Api yang diambil oleh anggota APM Besut  di Pantai Bukit Keluang


Sementara ituJabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) sehingga ini merekodkan lima kes sengatan obor-obor berbisa membabitkan empat kanak-kanak berusia empat hingga 12 tahun dan seorang lelaki di Pantai Bukit Keluang pada 23 dan 24 Februari 2024. 

Pengarahnya, Datuk Dr Kasemani Embong berkata, kesemua mangsa termasuk lelaki berusia 33 tahun yang menerima rawatan di Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Besut telah disengat obor-obor dipercayai daripada spesies Physalia Physalis atau dikenali sebagai 'Portuguese man-of-war'.

"Kesemua lima pesakit adalah pengunjung Pantai Bukit Keluang dan telah mendapatkan rawatan apabila mendapat kesan sakit dan merah pada bahagian badan yang terlibat. 

"Mangsa termasuk kanak-kanak telah dirawat di zon hijau dan didapati kesemua mereka mengalami reaksi setempat di kawasan jari dan pergelangan tangan. Kesemua pesakit juga telah dibenarkan pulang setelah pegawai perubatan mendapati keadaan mereka stabil," katanya.


Anggota APM Besut (kanan) sedang menasihati pengunjung di Pantai BUkit Keluang


Menurutnya, mangsa lelaki dewasa itu datang ke hospital berkenaan lewat malam setelah disengat hidupan marin itu ketika menarik jala ikan di pantai yang sama.

Dr Kasemani berkata mangsa mengalami kesakitan pada lengan dan gejala muntah akibat sengatan tersebut namun beliau terpaksa dibenarkan pulang atas risiko sendiri kerana enggan dimasukkan ke wad.

"Sehubungan itu, pengunjung pantai peranginan di negeri ini dinasihatkan agar tidak mandi atau bermain air di kawasan yang terdapat spesies obor-obor bahaya ini. 

"Sekiranya disengat oleh obor-obor yang tidak diketahui spesiesnya, orang ramai dinasihatkan menggunakan air panas dengan julat suhu 45 darjah Celsius selama 30 minit untuk melegakan kesakitan dan segera mengunjungi fasiliti kesihatan berhampiran," katanya lagi. - KitaReporters


Mangsa sengatan obor-obor di Pantai Bukit Keluang diberi rawatan kecemasan oleh anggota APM Besut

10
10
0
10
1

Copy Link: