PENDUDUK di Daerah Dungun terutama kawasan Ketengah Jaya dimintakan supaya tidak menjalankan aktiviti sosial seperti keramaian, kenduri dan program berskala besar berikutan peningkatan kes COVID-19 di kawasan tersebut. Peringatan ini telah dibuat oleh Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Dungun, Anuar Awang. : KitaReporters 

.

Semua aktiviti sosial di Bandar Ketengah Jaya, Terengganu ditangguhkan berikutan penularan COVID-19

Lagi cerita-cerita berkaitan Dungun:

https://kitareporters.com/search?search=dungun


Anuar berkata, selain aktiviti berkenaan, semua pasar malam di kawasan itu juga ditangguhkan selama 14 hari bermula 26 Oktober 2020 hingga  bermula 9 November 2020. 

Katanya, keputusan itu diambil sebagai langkah proaktif bagi mencegah penularan dan memutuskan rantaian Covid-19 di daerah Dungun dan Ketengah Jaya khususnya.

Beliau berkata, masyarakat disarankan untuk lebih menekankan aspek amalan norma baharu seperti sentiasa memakai pelitup muka ketika keluar rumah, sentiasa mencuci tangan dengan sabun atau cecair pembasmi kuman dan melakukan penjarakan fizikal.


Pegawai Daerah Dungun Anuar Awang merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah


“Jika ada individu tidak sihat, mereka diminta tidak bergerak ke tempat awam sebaliknya segera mendapatkan rawatan di hospital atau klinik kesihatan berhampiran,” katanya dalam satu kenyataan.

Anuar yang juga Pegawai Daerah Dungun turut menasihati orang ramai supaya tidak menyebarkan maklumat yang tidak sahih berhubung situasi terkini Covid-19.

Terengganu kini merekodkan 191 kes positif CCOVID-19 dengan 35 kes aktif dan daerah Dungun merekodkan kes positif paling banyak iaitu 67 kes.

Ketika ini Terengganu juga mencatatkan empat jenis kluster iaitu Kluster Makekar, Kluster Bah Tanjung, Kluster Bah Sahabat, dan Kluster Bah Bemban.


Status terkini COVID-19 sehingga jam 12 tengahari pada 28 Oktober 2020 -Grafik Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu

Sementara itu, Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu, Dr Nor Azimi Yunus berkata, situasi terkini pandemic COVID-19 di negeri itu pada 28 Oktober 2020 merekodkan 11 kes baru COVID-19 dan tiada pertambahan kes sembuh menjadikan terdapat 35 kes COVID-19 aktif di Negeri Terengganu dengan jumlah keseluruhan sebanyak 191 kes.

Katanya, sebelas kes baru ini dikesan di Mukim Rasau, Dungun dan merupakan kes tempatan iaitu kontak rapat kepada pesakit dari Kluster Makekar. 

Kesemua 35 kes aktif ini dalam keadaan stabil dan dirawat di wad biasa yang dikhaskan untuk pesakit COVID-19 di Hospital Hulu Terengganu dan Hospital Sultanah Nur Zahirah Kuala Terengganu.

Kluster Makekar didaftarkan pada 25 Oktober 2020, merupakan kluster tempat kerja dan dikenal pasti di Mukim Rusila, Marang. Kluster ini melibat mukim Rusila, Alor Limbat dan Pulau Kerengga di Marang, mukim Kepong di Kuala Terengganu, mukim Rasau di Dungun, mukim Kerteh, Banggul, Chukai dan Teluk Kalong di Kemaman.


 Status  COVID-19 mengikut mukim di Terengganu


“Walaupun berlaku peningkatan kes sejak beberapa hari yang lalu, secara umumnya, situasi pandemik COVID-19 di Negeri Terengganu pada masa ini adalah terkawal,” kata Dr Nor Azimi. 

Katanya, pihak jabatan sentiasa memantau rapat perkembangan kes dan kluster dari semasa ke semasa. Bagi setiap kes yang dikesan, langkah-langkah kawalan akan dijalankan dengan segera dan semua kontak rapat akan dikenal pasti dan dihubungi bagi menjalani saringan dan pengasingan.


 Jadual kes COVID-19 Gelombang Kedua mengikut daerah di Terengganu


Beliau menasihatkan orang ramai untuk sentiasa mematuhi SOP yang ditetapkan dengan mengamalkan penjarakan fizikal, memakai pelitup muka semasa berada di tempat awam, elakkan kawasan yang sesak, elakkan kawasan yang sempit dan elakkan bertutur atau bersembang dengan jarak yang dekat. - KitaReporters

1
3
2
0
1

Copy Link: