GILA APA NI! GARA-GARA WIFI, ADIK BUNUH KAKAK

Published by
KitaReporters

ANDA memiliki WiFi di rumah? Anda suka melayari permainan komputer (computer games) sehingga menjadi ketagih? Jika begitu berhati-hatilah kerana WiFi dan ketagih permainan komputer boleh membawa maut. : KitaReporters.com

KEVON WATKINS hebat bergaya tetapi ketagih permainan komputer.


Inilah tragedi yang berlaku di Macon, Georgia, Amerika Syarikat. Gara-gara WiFi, seorang remaja lelaki, Kevon Watkins, sanggup membunuh kakak kandungnya sendiri, Alexus.

Memetik laporan portal Mirror,  ketika kejadian pada tahun 2018, Kevon baru berusia 16 tahun dan merupakan pelajar Westside High School, Georgia. 

Kakaknya pula berusia 20 tahun dan sudah mempunyai seorang anak.

Menjelang hujung tahun 2019 apabila Kevon mencapai umur 18 tahun dia telah dibicarakan sebagai seorang dewasa. 

Mahkamah baru-baru ini mendapati dia bersalah menyebabkan kematian kakaknya dan dijatuhi hukuman penjara sepanjang hayat tanpa peluang untuk parol (parole). 

Dia kini mula menjalani hukuman.

ALEXUS WATKINS maut di tangan adik sendiri.


Sebenarnya Kevon dan kakaknya rapat ketika sama-sama di sekolah tinggi. Tetapi apabila Alexus tamat persekolahan dan bertunang, hubungan mereka renggang dan sering bertengkar.

Pada usia 16 tahun, seperti kebanyakan remaja lain, Kevon sangat suka dengan permainan komputer sehingga ketagih. Dia juga suka merajuk.

Pada satu hari awal Februari 2018, ketika ibunya, Latoya, mengambilnya dari sekolah, Kevon kelihatan tidak ceria.

Sampai ke rumah, Latoya yang kurang sihat terus masuk ke dalam bilik. Ketika itu adik lelaki Kevon yang berusia 13 tahun dan kakaknya berada di rumah.

Kevon juga terus masuk ke dalam bilik untuk bermain komputer. 

Bagaimana pun dia marah kerana Internet amat perlahan. Dia percaya terlalu ramai ahli keluarganya menggunakan WiFi pada masa sama.

Dia bertindak menukar kata laluan WiFi supaya ahli keluarga yang lain tidak boleh menggunakannya. Muslihatnya diketahui dan adiknya memaklumkan kepada ibu mereka apa yang Kevon lakukan.

Berang dengan perbuatan Kevon, ibunya mencabut ‘router’ WiFi dan membawa masuk ke dalam biliknya. Ini menimbulkan kemarahan Kevon yang meluru ke dalam bilik bertengkar dengan ibunya.

Mendengar kekecohan yang berlaku, Alexus keluar dari bilik dan cuba mempertahankan ibunya. 

Pertengkaran menjadi tidak terkawal. Kevon dan kakaknya bergelut di atas katil dan Kevon menarik kakaknya ke lantai. Mereka terus bergelut.

Latoya cuba meleraikan tetapi tidak berdaya. Kevon kemudian mencekik kakaknya dengan menyilangkan lengannya di leher Alexus.

Ketika itu Kevon kelihatan seperti dirasuk dan tidak mahu melepaskan cekikan pada leher kakaknya, walaupun disuruh. 

Akhirnya Latoya menghubungi nombor kecemasan 911 untuk meminta bantuan.

Ketika anggota timbalan sheriff (polis) Georgia sampai 10 minit kemudian, dia mendapati Kevon masih mencekik kakaknya. 

Anggota polis telah mengarahkan dia melepaskan cekikan pada leher kakaknya dan Kevon patuh.

Alexus jatuh tertiarap di lantai tidak bergerak. Usaha memulihkannya mengunakan kaedah CPR tidak berhasil. 

Dia dikejarkanke hospital tetapi disahkan mati keesokan harinya akibat lemas dicekik.

Kevon tidak dapat menjelaskan kenapa dia tidak melepaskan cekikan pada leher kakaknya. Tetapi apabila mendapat tahu kakanya mati, dia menangis tersedu-sedu.

KEVON WATKINS kini menjalani hukuman penjara sepanjang hayat tanpa parol kerana menyebabkan kematian kakaknya.


Kevon dituduh membunuh dan diletakkan di sebuah pusat tahanan remaja kerana masih bawah umur. Hanya pada penghujung 2019, dia dibicarakan ketika mencapai umur 18 tahun.

Dia menolak perbicaraan menggunakan juri, sebaliknya memilih perbicaraan oleh hakim atau ‘bench trial’. 

Melaui kaedah ini hakim mendengar segala keterangan, meneliti bukti dan membuat keputusan. Hakim Verda M. Colvin ditugaskan mendengar kes ini.

Saksi yang memberi keterangan termasuklah ibu Kevon dan timbalan sheriff (anggota polis). 

Saksi pakar perubatan memberitahu mahkamah, otak manusia hanya mampu bertahan antara tiga hingga enam minit tanpa oksigen. Selepas itu kerosakan otak berlaku dan selepas 10 minit otak akan mati.

Menurutnya, jangkaan waktu Kevon mula mencekik kakaknya sehingga kedatangan pihak sheriff ialah 11 minit.

Kevon juga memberi keterangan. Dia memberitahu mahkamah dia tidak berniat membunuh kakaknya. 

Dia tidak melepaskan cekikan pada kakaknya kerana bimbang kakaknya akan memukulnya.

Hakim memutuskan Kevon bersalah kerana menyerang dan menyebabkan kematian. Dia dijatuhi hukuman penjara sepanjang hayat tanpa peluang untuk parol.

Kaum keluarga Kevon menangis mendengar hukuman yang dijatuhkan. Tetapi apakan daya. Nasi sudah menjadi bubur. - KitaReporters.com

 

BERPADA-PADALAH dengan permainan komputer kerana ia boleh mendatangkan bahaya.

0
0
2
0
0

Copy Link: