Kredit foto: FB Kementerian Pendidikan Malaysia


Ketika negara masih berdepan ancaman wabak pandemik COVID-19, calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020 mula mengerah tenaga dan akal untuk menjawab soalan peperiksaan tersebut yang bermula pada 22 Februari 2021 lalu.

Apapun usaha menuntut ilmu terpaksa diteruskan untuk mencapai aspirasi pendidikan negara dan cita-cita pelajar bagi melakarkan insan yang cemerlang serta berakhlak mulia sebagai bekalan kehidupan pada masa akan datang. 


Lagi kisah-kisah menarik berkaitan SPM:

https://kitareporters.com/search?search=SPM


Sekolah Menengah Agama Al-Maidah Addiniah, Padang Tengku, Lipis . - Kredit foto: FB SMA Padang Tengku 


Selain ibu bapa dan guru yang menyuntik pengetahuan dan memacu semangat, ada pihak lain  turut bersama membantu calon berkenaan sepanjang tempoh peperiksaan tersebut.

Antara pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang tampil membantu calon tersebut, iaitu Persatuan Amal Isteri Wakil-wakil Rakyat Negeri Pahang (Teratai).

Teratai tampil beramal jariah menyumbangkan beberapa unit alat pengesan suhu, pelitup muka dan cecair pencuci tangan (sanitizer) untuk kegunaan seramai 99 orang calon peperiksaan SPM 2020 Sekolah Menengah Agama (SMA) Al-Maidah Addiniah (SMAAMA), Padang Tengku, Lipis pada 22 Februari 2021 lalu.


HAMIZAH HAMZAH - Foto dengan izin Datuk Mustapa Long


Sumbangan itu telahpun disempurnakan oleh wakil Teratai Pahang yang juga isteri kepada Ahli Dewan Undangan Negeri Padang Tengku, Datuk Mustapa Long, Datin Hamizah Hamzah kepada Pengetua SMAAMA Padang Tengku, Azmi Aman.

Menurut Hamizah, Teratai terpanggil untuk menyantuni calon SPM tahun ini yang pertama kali 'berjuang' menghadap soalan peperiksaan dalam senario negara ini masih berdepan ancaman wabak halimunan tersebut.


Hamizah Hamzah (kiri) dan disaksikan oleh Mustapa Long (dua dari kiri) menyampaikan sumbangan alat pengesan suhu, pelitup muka dan cecair pencuci tangan kepada Azmi Aman (dua dari kanan) di Padang Tengku pada 22 Februari 2021. - Kredit foto: Mustapa Long  


"Di Lipis, Teratai menyumbangkan alat pengesan suhu, pelitup muka dan cecair pencuci tangan kepada lima buah sekolah menengah sebelum peperiksaan SPM 2020.

"Saya juga bersama wakil rakyat, pentadbir sekolah, guru dan Yang Di Pertua Persatuan Ibu Bapa Guru (PIBG) sempat menyapa dan memberikan kata semangat kepada calon sekolah ini sebelum menghadapi peperiksaan," kataya selepas menyampaikan sumbangan peralatan tersebut di SMAAMA Padang Tengku pada 22 Februari 2021.

Mengulas mengenai sumbangan itu, Hamizah yakin semua calon dapat memberikan tumpuan penuh pada peperiksaan selain sebagai kemudahan berasaskan pematuhan amalan prosedur operasi standard (SOP) dan norma baharu. 


MUSTAPA LONG


Sementara itu, Yang Dipertua PIBG SMAAMA, Datuk Mustapa Long berkata, PIBG dan pentadbir sekolah berterima kasih kepada Teratai atas sumbangan peralatan tersebut untuk kemudahan calon berkenaan.

"Ihsan pihak Teratai Pahang amat tepat dan terpuji kerana cakna dengan usaha kerajaan membantu mengawal penularan wabak COVID-19 sekali gus menitipkan kesedaran bukan sahaja calon peperiksaan malahan masyarakat amnya supaya mematuhi SOP dan norma baharu.


Calon peperiksaan SPM SMAAMA Padang Tengku, Lipis bersiap sedia sebelum masuk ke dewan peperiksaan dengan pematuhan SOP dan norma baharu pada 22 Februari 2021. - Kredit foto: FB Mustapa Long


"Saya berharap calon peperiksaan SPM sekolah ini faham serta tegar tatkala berdepan dengan senario tersebut malahan bertambah yakin untuk menjawab soalan dengan selesa setelah dibekalkan kemahiran dan pengetahuan oleh guru masing-masing," katanya ketika mengiringi lawatan wakil Teratai di Padang Tengku pada 22 Februari 2021.      


Mustapa Long sedang beramah mesra dengan seorang calon peperiksaan SPM, SMA Al-Maidah Addaniah, Padang Tengku, Lipis pada 22 Februari 2021. - Kredit video: Mustapa Long 


Dalam pada itu, seramai 1,323 orang calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) di 17 buah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) dan  Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) telah menerima kit alat tulis di Lipis pada 18 Februari 2021.

Sumbangan itu disempurnakan oleh Timbalan Menteri Satu, Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) yang juga Ahli Parlimen Lipis, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad kepada pengetua sekolah tersebut di Pejabat UMNO Lipis.

Penerima tersebut terdiri daripada 1,146 orang calon peperiksaan SPM, STPM (126 calon), manakala 51 orang calon yang bakal menduduki peperiksaan STAM. 


Abdul Rahman Mohamad (dua dari kanan) sedang menyampaikan kit alat tulis kepada Pengetua Sekolah Menengah Orang Kaya Haji Kuala Lipis, Kamaludin Ibrahim (dua dari kiri) di Lipis pada 18 Februari 2021. - Kredit foto: Kementerian Pembangunan Luar Bandar  


Abdul Rahman yang juga Ketua UMNO Lipis berkata, sumbangan alat tulis itu  antara sebahagian peruntukan bernilai RM100,000 daripada Yayasan Pelajaran  Mara (YPM).

"Peruntukan YPM ini untuk tujuan aktiviti pendidikan serta kebajikan pelajar dan sekolah di Lipis yang terjejas teruk dengan musibah banjir pada awal bulan Januari tahun ini.

"Bantuan ini secara langsung dapat meringankan beban kewangan calon untuk persediaan peperiksaan tersebut di samping suntikan semangat bagi mereka untuk menjawab soalan dengan selesa dan tenang sekali gus menempa kecemerlangan dalam keputusan nanti," katanya di Kuala Lipis, Lipis pada 18 Februari 2021.


Sebahagian kit alat tulis sumbangan Yayasan Pelajaran Mara untuk calon peperiksaan SPM, STPM dan STAM di Lipis. - Kredit foto: Kementerian Pembangunan Luar Bandar    


Abdul Rahman juga sempat menyertai sidang video dalam talian 'Googlemeet' bersama calon SPM, STPM dan STAM di beberapa buah sekolah menengah di Lipis sambil menitipkan nasihat dan kata semangat. - KitaReporters


Sidang video dalam talian 'Googlemeet' antara calon SPM, STPM dan STAM sekolah menengah kawasan Lipis bersama Timbalan Menteri Satu, Kementerian Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad. - Kredit foto:  Kementerian Pembangunan Luar Bandar.  

1
0
0
0
0

Copy Link: