Banjir musim tengkujuh! Terengganu buat simulasi, persiapan!
Published byKEADAAN cuaca yang tidak menentu sejak kebelakangan ini memberi isyarat negeri-negeri Pantai Timur perlu mengambil tindakan untuk membuat persiapan awal bagi menghadapi sebarang kemungkinan berlakunya banjir berikutan Monsun Timur Laut (MTL) yang dijangka bermula pada awal November 2020 hingga penghujung Mac 2021. : KitaReporters
Anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Terengganu menjalani simulasi banjir
Lagi cerita-cerita berkaitan banjir:
https://kitareporters.com/search?search=banjir
Semua agensi yang terbabit dengan usaha dan operasi banjir kini berada dalam keadaan bersiap siaga untuk menghadapi sebarang kemungkinan berlaku di negeri berkenaan.
Terengganu yang berpengalaman menghadapi bencana banjir pada setiap hujun tahun sudah menggerakkan jentera termasuk penghantaran bekalan bahan makanan ke pangkalan hadapan, simulasi banjir dan penyediaan logistik
Pengarah APM Terengganu Che Adam A Rahman
Setiausaha Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Terengganu, Leftenan Kolonel (PA) Che Adam A Rahman berkata, agensi itu sudah melaksanakan Simulasi Bencana Banjir yang dimulakan dengan daerah Marang.
Katanya, menerusi simulasi itu ia bermula dari proses awal pemindahan, 'penduduk yang terjejas banjir' dipindahkan dengan bot dan lori.
Beliau berkata, simulasi tersebut perlu mengikut pematuhan yang ditetapkan yang mana dalam bot kita telah kurangkan orang dengan agensi-agensi yang terlibat untuk membawa mangsa berkenaan ke tebing tempat selamat dan dibawa menaiki lori.
"Sama juga di dalam lori, kalau dahulu muatannya 40 orang, sekarang hanya 15 orang sahaja, tidak boleh bersesak-sesak dan sebagainya, dan terus dibawa ke pusat pemindahan yang dicadangkan. Ada dua kategori Prosedur Operasi Standard (SOP),” katanya.
"Partition dijarakkan untuk mematuhi SOP berkenaan, bermula dengan pendaftaran, penjarakan fizikal diutamakan, semua mangsa yang dipindahkan diberi 'face mask' dan sebagainya. Itu adalah SOP yang diwajibkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan kita harus patuhi dari masa ke masa.
"'Food pax' juga kita sediakan yang mana kita telah disarankan oleh pihak Pengurusan Bencana Pusat, tidak ada lagi masakan secara gotong-royong dan sebagainya. Justeru bagi pihak Sekretariat Pengurusan Bencana Negeri kita sudah bersiap siaga untuk menghadapi musim banjir kali ini dalam norma baharu,” katanya.
Pengarah JKM Terengganu Zuhaimi Omar
Sementara itu, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Terengganu sudah menyediakan 568 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) yang dapat menampung 135,045 mangsa banjir di seluruh negeri itu sebagai persediaan menghadapi musim tengkujuh tahun ini.
Pengarahnya, Zuhami Omar berkata daripada jumlah itu, 151 PPS terdapat di Besut dengan kapasiti 14,390 orang, diikuti 99 PPS di daerah Hulu Terengganu (12,060 orang) dan Kemaman (73 PPS untuk 41,800 orang).
Manakala di Dungun pula 73 PPS yang boleh memuatkan
16,205 orang, 73 PPS di Setiu berkapasiti 18,050 orang, Marang (51 PPS untuk
13,050 orang), Kuala Nerus (24 PPS untuk 10,070 orang) dan Kuala Terengganu (24
PPS untuk 9,420 orang).
Katanya, JKM sedang mengenal pasti beberapa lagi lokasi sesuai dijadikan PPS kerana dalam situasi pandemik Covid-19 ini, penting untuk amalkan jarak fizikal di setiap PPS nanti dan jumlahnya akan dimuktamadkan dalam satu mesyuarat tidak lama lagi.
Penghanataran bekalan makanan ke pulau-pulau utama di Terengganu sudah selesai
Zuhami berkata, beberapa lokasi tambahan juga sudah dikenal pasti untuk dijadikan PPS bagi menghadapi sebarang kemungkinan. PPS terbabit melibatkan premis berkapasiti besar seperti sekolah, dewan orang ramai, balai raya dan pusat komuniti.
Zuhami berkata, pihaknya sedang mengagihkan barangan
keperluan dan makanan untuk kegunaan mangsa banjir di semua 17 mini depoh dan
152 pangkalan hadapan di seluruh negeri itu.
"Ia mencukupi untuk tempoh dua minggu, namun
sekiranya berlaku situasi luar jangka (banjir semakin buruk dengan pertambahan
mangsa), kita akan dapatkan bekalan barangan ini dari beberapa pasar raya.
"Terdapat sekurang-kurangnya lima pasar raya di setiap daerah yang boleh menghantar bekalan barangan keperluan ini dalam situasi mendesak," katanya. - KitaReporters
Kerajaan Terengganu menyediakan bekalan makanan untuk diagihkan ke pusat-pusat pemindahan banjir seluruh negeri