Junjung titah Tuanku! Tasik Chini perlu dipulihara! Sebagai Tapak Rizab Biosfera pertama UNESCO!
Published byKredit foto: Bazaie Ahmad dan Farizul Hafiz
PERSATUAN Pencinta Alam Sekitar Malaysia (MNS) menjunjung kasih dan menyambut baik titah Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mengenai isu alam sekitar di Tasik Chini, Pekan, Pahang yang heboh diperdebatkan dalam media sosial baru-baru ini.
Presidennya, Prof. Dr. Ahmad Ismail berkata, titah baginda amat bertepatan kerana pastinya selepas ini tiada lagi aktiviti yang boleh mencemarkan Tasik Chini dalam usaha mempertahankan ia sebagai sebagai Tapak Rizab Biosfera oleh Pertubuhan Pendidikan Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) yang pertama di negara ini.
Lagi cerita-cerita menarik berkaitan tasik
Dr. Ahmad Ismail
``Sebagaimana titah Kebawah Duli Tuanku, semua pihak berkaitan sama ada pada peringkat negeri dan Persekutuan perlu mempertahankan permata alam sekitar itu agar keindahan flora dan fauna serta penempatan masyarakat Orang Asli di sekitarnya terus dipelihara.
``Saranan baginda agar aktiviti perlombongan di kawasan Tasik Chini dihentikan seharusnya tidak diambil enteng dan seharusnya ditangani dengan jaya oleh pihak kerajaan," katanya secara eksklusif kepada KitaReportes pada Isnin, 14 Jun 2021.
Kredit foto: Bazaie Ahmad dan Farizul Hafiz
Terdahulu, Pemangku Raja Pahang menerusi kenyataan akhbar yang dikeluarkan oleh Pengelola Bijaya Diraja Sultan Pahang, Datuk Ahmad Khirrizal Ab. Rahman bersetuju dengan langkah kerajaan negeri untuk tidak mengeluarkan sebarang kelulusan aktiviti perlombongan dan menghentikan terus aktiviti itu dalam usaha memelihara dan memulihara Tasik Chini daripada terus tercemar.
Baginda turut menitahkan supaya membesarkan lagi kawasan Hutan Simpan Chini yang sedia ada seluas 4,600 hektar kepada kira-kira 6,000 hingga 7,000 hektar bagi menjaga kepentingan flora dan fauna tasik berkenaan, dalam kenyataan bertarikh 14 Jun 2021 itu.
Menurut Dr. Ahmad, bersesuaian dengan Hari Alam Sekitar Sedunia yang bertemakan Pemulihan Ekosistem titah baginda amat selari dalam usaha memupuk kesedaran dalam kalangan masyarakat untuk memulihara ekosistem berkenaan.
``Pahang sangat bertuah kerana mempunyai dua buah tasik yang berkepentingan antarabangsa iaitu Tasik Chini sebagai tapak biosfera UNESCO dan Tasik Bera sebagai tapak Ramsar yang pertama negara.
``Kedua-dua tanah basah ini sangat penting untuk dijaga terutama bagi tujuan pendidikan, penyelidikan dan perkhidmatan ekosistem untuk manusia dan alam sekitar. Menjunjung kasih Tuanku," katanya. - KitaReporters
Kredit foto: Bazaie Ahmad dan Farizul Hafiz