Inovasi Kios PdPR On The Go! SK Bukit Rahmat bantu murid gagal capaian internet!
Published byUNTUK memastikan murid tidak ketinggalan dalam pelajaran Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Rahmat (SKBR), Tangkak, Johor telah melancarkan inovasi Kios Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) On The Go berikutan masalah capaian Internet yang lemah.
Langkah itu membolehkan semua murid dapat mengakseskan bahan digital ‘offline’ PdPR yang disediakan oleh guru-guru SKBR terutama video, audio dan imej selepas memindahkan atau menyalin kepada pemacu pena (pendrive) dari komputer yang disediakan di kios berkenaan.
Lagi kisah-kisah berkaitan PdPR:
https://kitareporters.com/search?search=PdPR
Inisiatif Cikgu Ku Liana! Pelakon serba boleh PdPR! Kreatif tingkat kefahaman, hilang kebosanan
Guru Besar SKBR, Muhammad Hafifi Radzuwan, (gambar atas) berkata inovasi itu dilaksanakan pihak sekolah apabila mendapati hanya 46.9 peratus sahaja murid mempunyai capaian Internet yang baik di rumah, manakala selebihnya menghadapi pelbagai masalah.
Menurut beliau, selepas membuat kaji selidik dalam kalangan ibu bapa atau penjaga awal Februari 2021 lalu, 94.8 peratus mereka bersetuju sistem pandu lalu dengan mewujudkan kios khas berkenaan untuk menyalin bahan PdPR yang banyak memberi manfaat dan amat membantu terutama dalam situasi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Covid-19 sekarang.
Muhammad Hafifi memberi taklimat kepada pegawai dari PPD Tangkak mengenai operasi Kios PdPR On The Go di SK Bukit Rahmat,Tangkak.
Katanya, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Tangkak memberikan maklum balas positif dan sokongan usaha yang dilakukan itu selain mengadakan lawatan rasmi ke SKBR bagi mendapatkan taklimat serta mencuba menggunakan kios berkenaan pada pertengahan Februari 2021 lalu.
“Saya telah
memberi taklimat kepada beberapa pegawai PPD yang hadir termasuk Pegawai
Pembimbing Sekolah merangkap Penolong Pegawai Pendidikan Khas, Sektor
Pembelajaran PPD Tangkak, Saifulbahri Mohamad.
“Ahli Jawatankuasa Persatuan Ibu Bapa dan Guru SKBR yang turut hadir pada majlis itu turut menyokong inisiatif yang dilakukan oleh warga pendidik sekolah ini kerana sentiasa gigih berusaha untuk memacukan kecemerlangan murid dalam pelajaran,” katanya.
Saifulbahri Mohamad sedang mencuba menggunakan Kios PdPR On The Go.
Muhammad Hafifi berkata, melalui kiosk itu ibu bapa atau penjaga murid akan dimaklumkan untuk hadir menyalinkan bahan PdPR yang disediakan kepada pemacu pena kemudian mereka pindahkan ke televisyen, komputer dan telefon pintar untuk dipaparkan.
Menurutnya, sebagai projek rintis SKBR menyediakan panduan penggunaan Kios PdPR On The Go yang lengkap untuk rujukan ibu bapa serta penjaga dan mereka juga dinasihatkan untuk mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) PKP seperti memakai pelitup muka dan membuat saringan suhu badan sebelum memasuki kawasan sekolah untuk ke kios berkenaan.
Ibu bapa sedang menyalinkan bahan PdPR untuk anak mereka di Kios PdPR On The Go SKBR.
“Bahan PdPR yang disediakan di kios ini adalah membabitkan untuk murid daripada peringkat prasekolah, Tahun Satu hingga Tahun Enam serta kelas pendidikan khas yang disediakan oleh guru SKBR.
“Walaupun PdPR bagi sekolah rendah berada pada peringkat akhir, namun pihak sekolah perlu berada dalam keadaan siap siaga sekiranya diarah untuk ditutup pihak berkuasa berikutan kes Covid-19 dan penggunaan kios itu akan diaktifkan semula,” katanya. - KitaReporters
Kiosk PdPR On The Go SKBR akan berada dalam siap siaga untuk diaktifkan semula sekiranya pihak berkuasa mengarahkan sekolah untuk ditutup semula.