Sunway Healthcare Group (SHG) melancarkan kempen Know Diabetes dengan tinjauan seluruh negara bulan lepas (Oktober 2024) bagi tujuan mendapatkan pandangan orang ramai bagi menyekat peningkatan mendadak diabetes, lonjakan yang menyaksikan Malaysia merekodkan jumlah tertinggi kadar diabetes di rantau Pasifik Barat dan antara yang tertinggi di dunia. 

Diadakan bersempena dengan sambutan Hari Diabetes Sedunia 2024 pada 14 November setiap tahun, Know Diabetes dengan mesej “Prevention is Power” (Pencegahan adalah Kuasa) yang bertujuan untuk meningkatkan kesedaran dan mendidik rakyat Malaysia mengenai impak diabetes. 

Kempen yang dipacu oleh salah sebuah penyedia kesihatan swasta bersepadu terkemuka ASEAN ini berfokus kepada pendidikan makanan dan pelarasan diet yang mudah dengan penekanan kepada pengambilan makanan bernutrisi bagi mengurangkan risiko diabetes. 


Pelancaran kempen KNOW Diabetes di Sweet Deception Booth, Sunway Medical Centre.


Tinjauan SHG terhadap 1,000 individu yang dijalankan menerusi cilisos.my mendedahkan meskipun lebih 80% responden tahu mengenai bahaya diabetes, kebimbangan sosial di mana pengambilan makanan yang berbeza daripada kumpulan sosial dan faktor psikososial lain seperti kekangan masa dan waktu kerja yang panjang merupakan faktor utama yang menghalang tabiat pemakanan sihat dalam kalangan responden. 

Selain itu, responden juga mengandai bahawa makanan sihat adalah berkos tinggi dan sukar diperolehi dengan lebih 47% beranggapan bahawa ia adalah makanan bagi golongan T20, manakala 59% menyatakan bahawa makanan sihat sukar diperolehi di restoran atau warung tempatan.

Tambahan, 52% responden juga percaya bahawa makanan yang disediakan di rumah adalah sihat.  

Faktor-faktor ekonomi dan andaian bahawa makanan sihat adalah mahal merupakan antara faktor yang direkodkan sebagai penghalang bagi 54% responden untuk memilih pemakanan yang lebih sihat, diikuti dengan kekangan masa bagi 50% responden disebabkan keadaan peribadi dan kerja, kedua-duanya menimbulkan cabaran bagi responden untuk memasak. 

Sebaliknya, tekanan rakan sebaya boleh menjadi kunci untuk menjadikan rakyat Malaysia lebih berwaspada dalam pengambilan makanan. 

Hampir 40% responden bersetuju bagi mengurangkan jumlah pengambilan gula jika pasangan mereka memutuskan untuk menjalankan diet tanpa gula. 

Lebih memberangsangkan, 56% mengatakan bahawa mereka akan mula bersenam dengan lebih serius jika boleh melakukannya bersama rakan pejabat di pusat kecergasan selepas waktu kerja. 


Orang ramai boleh menyertai permainan interaktif Jom Lunch Game yang membolehkan peserta hasilkan menu makanan, terima nasihat diet serta tip kesihatan peribadi.


Dato’ Lau Beng Long, Presiden SHG mengulas, diabetes dan komplikasi penyakit ini bukan sahaja telah menyerang ribuan rakyat Malaysia dan memberi kesan yang buruk kepada kesihatan, kualiti kehidupan dan perhubungan mereka, malah turut menjadi beban kepada kesihatan awam dan pertumbuhan sosioekonomi. 

“Kami percaya bahawa maklumat dan ilmu pengetahuan merupakan kunci kepada pencegahan bagi menghalang lebih ramai individu menjadi mangsa diabetes.

"Oleh sebab itu kempen Know Diabetes dan mesej ‘Prevention is Power’ kami memfokuskan pendidikan kepada orang awam mengenai faktor utama diabetes iaitu makanan yang diambil dan bagaimana ia boleh meningkatkan atau mengurangkan risiko menghidap diabetes,” ujar beliau. 

“Kami juga berharap data tinjauan kami akan dapat mengetengahkan usaha kami untuk membendung epidemik ini.

“SHG ingin mengekalkan komitmen kami untuk melindungi kesihatan dan kesejahteraan rakyat Malaysia dan mematuhi tema Pertubuhan Kesihatan Sedunia 2024 iaitu ‘Empowering Global Health’. 

"Kami berhasrat untuk mencapainya dengan mengukuhkan kedudukan kami sebagai sebuah kumpulan yang memberi balik kepada masyarakat melalui tawaran kemudahan kesihatan yang baik serta meningkatkan kesedaran dan mendidik orang ramai mengenai bahaya diabetes," katanya lagi.

Program menyeluruh Know Diabetes merangkumi aktiviti fizikal di kesemua hospital di bawah kumpulan Sunway, program bersama media serta kandungan sosial media. 

Program ini turut menyediakan kalkulator risiko diabetes di https://diabetes.sunwaymedical.com/ yang membolehkan seseorang individu mengetahui risiko mereka menghidap diabetes jenis 2 dalam masa lima tahun akan datang. 

Di samping mengadakan kempen media sosial bagi menggalakkan rakyat Malaysia untuk memasak hidangan yang sihat dan mesra belanjawan, SHG juga berkongsi tip praktikal yang menggalakkan pemakanan sihat dan menawarkan strategi tentang nutrisi pemakanan kanak-kanak yang betul bagi membentuk hasil jangka panjang yang mengurangkan risiko penyakit. 



Kempen yang berlangsung selama sebulan bermula 1 hingga 30 November ini sejajar dengan tema utama Pertubuhan Kesihatan Sedunia yang bukan sahaja mementingkan kesihatan individu tetapi turut meletakkan kepentingan bagi komuniti untuk bekerjasama dalam membanteras diabetes. 

Know Diabetes diadakan ketika statistik menunjukkan peningkatan yang membimbangkan mengenai penyakit ini sejak beberapa tahun yang lepas. 

Menurut Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi 2023 oleh Kementerian Kesihatan Malaysia, 15.6% atau satu dalam enam orang dewasa menghidap diabetes, dengan 84% belia muda dan dewasa dalam lingkungan umur 18 hingga 29 tidak sedar dengan fakta tersebut. 

Dijangkakan tujuh juta orang dewasa berumur 18 tahun dan ke atas akan menghidap pradiabetes atau diabetes menjelang tahun hadapan (2025). 

Tinjauan Kebangsaan sebelumnya mendedahkan kelaziman diabetes meningkat dari 11.2% pada 2011 kepada 13.4% pada 2015 dan 18.3% pada 2019, dengan peningkatan keseluruhan sebanyak 68.3%. - KitaReporters/Kenyataan Media

11
12
0
11
0

Copy Link: