Permohonan baharu bagi tiga geran utama iaitu Geran Kandungan Digital (DCG), Geran Malaysia Digital X-Port (MDXG) dan Geran Pemangkin Malaysia Digital (MDCG) dibuka mulai 2 Mei sehingga 1 Jun 2023. 

Inisiatif kerajaan ini diselaraskan oleh Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), yang merupakan agensi di bawah Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD). 

DCG memfokuskan kepada pembangunan industri kreatif digital. 

MDXG pula bertujuan menyokong pengembangan syarikat teknologi tempatan untuk mempelopori pasaran antarabangsa manakala MDCG menyasarkan pembangunan teknologi dan inovasi yang berdaya saing. 



Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil berkata pengagihan geran tersebut penting bagi merealisasikan idea pemain industri kreatif dan meningkatkan bakat bakat tempatan dalam penciptaan kandungan digital. 

Ini termasuk manfaat hasil daripada kerjasama pada peringkat antarabangsa dan sekali gus menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi digital negara. 

Ekonomi digital Malaysia telah mencapai 22.6 peratus bagi Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) pada tahun 2021 dan dijangka berkembang melepasi sasaran awal sebanyak 25.5 peratus menjelang 2025. 

Ketiga-tiga geran berkenaan merupakan salah satu resolusi masa depan bagi menyediakan ekosistem industri digital negara yang lebih kondusif dan mampan. 

Permohonan terpilih perlu menghadiri sesi pembentangan yang dijadualkan pada bulan Jun 2023. 

Keputusan permohonan dijangka akan diumumkan pada bulan Julai 2023 tertakluk kepada jumlah permohonan yang diterima. 

Pemohon yang berminat boleh melayari laman web www.mdec.my/grants untuk mendapatkan maklumat lanjut.



Maklumat tambahan: 

1. DCG 2023 menyediakan empat cabang geran lain iaitu: 

• Geran Projek Mini; 

• Geran Pembangunan; 

• Geran Produksi; dan 

• Geran Pemasaran dan Pengkomersialan 

Keempat – empat geran ini menawarkan geran bernilai RM150,000 hingga RM2 juta kepada syarikat, perusahaan, syarikat milikan tunggal atau perkongsian liabiliti terhad (LLP), yang melibatkan empat bidang kandungan digital iaitu animasi, permainan digital, komik digital dan teknologi kreatif. 

2. MDXG khusus memberi tumpuan kepada syarikat tempatan yang membuktikan kesediaan untuk mengeksport produk, aktiviti atau perkhidmatan teknologi yang bernilai tinggi, inovatif dan mampan untuk pasaran global dengan tempoh projek maksimum selama setahun. 

3. MDCG memberi bantuan kepada syarikat teknologi bagi merangsang penggunaan dan pembangunan penyelesaian lestari dan inovatif selari dengan sektor-sektor yang dipromosikan oleh Malaysia Digital (MD) berteraskan teknologi 4IR dengan tempoh projek maksimum setahun. - KitaReporters/Kenyataan Media


7
6
0
18
0

Copy Link: