Gangguan Spektrum Autisme (ASD), atau autisme, sering disalah erti dan disalah anggap sebagai gangguan pembelajaran. 

Sebaliknya, ia adalah kecacatan perkembangan saraf yang merangkumi keadaan yang ringan hingga teruk, dan pada tahun ini, Hari Kesedaran Autisme Sedunia (yang jatuh pada 2 April setiap tahun) menyoroti keadaan ini, dengan tema "Beralih daripada Bertahan Ke Berkembang: Kesedaran, Penerimaan, Penghargaan".

Tema ini agak mengharukan kerana kanak-kanak ASD sering berhadapan stigma dan mudah dipinggirkan. 

Memandangkan data tempatan menunjukkan peningkatan yang ketara dengan 589 kanak-kanak didiagnosis pada 2021 berbanding hanya 99 orang pada 2010, penting untuk rakyat Malaysia mengetahui lebih lanjut tentang keadaan ini.

"Autisme boleh didiagnosis seawal usia 18 bulan dan kebimbangan pertama ibu bapa selalunya adalah pendidikan anak mereka. 

"Walaupun ia mempengaruhi beberapa aspek pembelajaran, kita perlu ingat bahawa autisme adalah spektrum dan setiap individu adalah berbeza. 

"Paling utama, setiap kanak-kanak boleh diajar dan bukan setiap kanak-kanak ASD memerlukan pendidikan khas. 

"Ramai daripada mereka dapat meneruskan pembelajaran di sekolah biasa dengan sedikit sokongan. Malah, ada yang melanjutkan pelajaran ke peringkat tinggi dan mempunyai pekerjaan tetap,” kata Dr Chow Suet Yin, Pakar Kesihatan Keluarga dengan minat khusus dalam perkembangan kanak-kanak dan kesihatan kanak-kanak komuniti di klinik perubatan IMU.


Dr Chow Suet Yin


Tanda-tanda biasa ASD termasuklah kesukaran atau kelewatan perkembangan kemahiran komunikasi dan sosial. 

Misalnya, mereka mungkin menyalah tafsir isyarat sosial, menghadapi masalah membuat ayat yang lengkap atau sukar mengikut arahan. Mereka juga mungkin menunjukkan tingkah laku berulang dan menentang perubahan.

"Intervensi awal adalah penting, dan lazimnya saya akan menasihati ibu bapa untuk berjumpa doktor jika mereka menyedari anak mereka terlepas sebarang peristiwa penting dalam perkembangannya," kata Dr Chow. 

"Janji temu berkala kanak-kanak untuk imunisasi berjadual mereka adalah peluang yang baik untuk ibu bapa berbincang dengan doktor tentang perkara ini."

Autisme boleh disaring menggunakan Senarai Semak Autisme Dalam Kalangan Kanak-kanak yang Disemak Semula (M-CHAT) seawal usia 18 bulan dan hanya boleh didiagnosis secara peribadi oleh profesional penjagaan kesihatan yang berkelayakan dengan menggunakan penilaian perkembangan formal.

Ini mungkin diikuti dengan ujian tambahan untuk menolak kemungkinan punca-punca lain, seperti gangguan genetik tertentu atau keadaan neurologi, yang mengajuk autisme.

"Penting untuk mendapatkan diagnosis yang tepat supaya ibu bapa boleh mengambil langkah yang sesuai untuk anak mereka. 

"Jadi saya amat menekankan kepentingan mendapatkan diagnosis daripada profesional penjagaan kesihatan yang berkelayakan, menggunakan alat pemeriksaan dan penilaian yang berkaitan seperti M-CHAT," kata Dr. Chow.

Selepas itu, jika diagnosis mengesahkan autisme, ibu bapa boleh mengambil langkah seterusnya untuk mempelajari cara menguruskan keperluan anak mereka.



Pendekatan Pembelajaran Mengikut Kesesuaian

Pendidikan yang baik masih menjadi pilihan untuk kanak-kanak ASD yang layak mendapat kad OKU (Orang Kelainan Upaya) bagi membantu mendapatkan beberapa faedah penting seperti kemasukan ke kelas bersepadu khas di sekolah kerajaan, bantuan pendidikan dan peralatan belajar, pendaftaran dalam komuniti pusat pemulihan dan program penempatan pekerjaan. 

Memandangkan keperluan setiap kanak-kanak adalah berbeza, tempoh percubaan akan membantu pihak sekolah menentukan sama ada kanak-kanak itu boleh kekal di dalam kelas biasa atau dimasukkan ke dalam kelas bersepadu, jelas Dr Chow.

“Ibu bapa perlu lebih terlibat dengan pendidikan anak mereka dan bekerjasama rapat dengan guru serta ahli terapi. 

"Sebagai contoh, sesi tetap dengan ahli terapi boleh membantu kanak-kanak belajar cara berkomunikasi dengan lebih berkesan dan menyesuaikan diri dengan situasi yang berbeza. 

"Guru juga perlu sedar tentang apakah pencetus kanak-kanak dan membangunkan pelan pendidikan peribadi,” tambahnya.

Sementara itu, bagi kanak-kanak yang ASD teruk, sekolah khusus mungkin lebih sesuai untuk keperluan mereka.



Teknologi & Pembelajaran

Memandangkan setiap kanak-kanak dengan ASD adalah unik, barangkali adalah membantu untuk mempertimbang kaedah tambahan untuk menyokong pembelajaran mereka, seperti penggunaan alat dan aplikasi digital, yang banyak tersedia. 

Ini mungkin percuma untuk digunakan, seperti JABtalk dan Card Talk atau paywall (laman sesawang atau teknologi lain yang memerlukan pembayaran dari pengguna untuk mengakses konten atau perkhidmatan tambahan) seperti Proloquo2Go. 

Dr Chow mengesyorkan ibu bapa membincangkan penggunaan aplikasi-aplikasi tersebut dengan ahli terapi anak mereka untuk melihat sama ada aplikasi atau permainan yang berkenaan dapat membantu memenuhi matlamat pembelajaran dan perkembangan bagi tahap umur atau peringkat perkembangan mereka.

“Perkara lain yang perlu dipertimbang semasa menggunakan permainan atau aplikasi ialah jumlah masa skrin. 

"Ia boleh menjadi sangat menggoda untuk menghabiskan berjam-jam bermain, sama seperti kanak-kanak lain. 

"Jadi, saya menasihati supaya bersederhana dan orang dewasa perlu memantau, menetapkan sempadan yang jelas dalam mengurus jangkaan kanak-kanak dan mengurangkan tentangan. 

"Ini akan menjadi satu situasi yang memerlukan penyertaan aktif ibu bapa kanak-kanak itu,” nasihat Dr Chow. 

"Memandangkan teknologi sentiasa ada, kanak-kanak dengan ASD perlu belajar cara menggunakannya dan menggunakannya dengan baik." 

Beberapa alat pendidikan dalam talian juga boleh membantu ibu bapa juga, tambahnya, seperti Latihan Kemahiran Penjaga ePembelajaran WHO untuk Keluarga Kanak-kanak dengan Lewat atau Kurang Upaya Perkembangan, yang disediakan secara percuma.



Akhirnya, Dr Chow menekankan bahawa setiap kanak-kanak mampu belajar, termasuklah kanak-kanak ASD. 

Dengan peningkatan kadar ASD yang dicatatkan di Malaysia dan di seluruh dunia, adalah penting bagi ibu bapa, pendidik dan masyarakat secara amnya untuk mengakui keperluan mereka yang berbeza dan menghargai kekuatan mereka sebagai sebahagian daripada masyarakat yang inklusif dan pelbagai.

“Bagi kanak-kanak dengan ASD, pendidikan merangkumi lebih daripada pembelajaran akademik semata-mata. 

"Interaksi dan permainan berkumpulan adalah penting untuk mengasah kemahiran sosial mereka, diiringi aktiviti harian di rumah yang boleh menjadi peluang pembelajaran kepada mereka,” katanya.

Sementara itu, terapi akan membantu kanak-kanak - dan ibu bapa mereka – ketika mereka mara melalui pelbagai peringkat perkembangan, memberikan kemahiran hidup asas seperti penjagaan diri, membuat keputusan, komunikasi dan kemahiran lain supaya mereka boleh menjadi lebih berdikari dan menjalani kehidupan yang memuaskan apabila mereka meningkat usia. - KitaReporters/Kenyataan Media

14
15
0
14
0

Copy Link: