Dr Azman melihat lembu sado yang akan diserahkan kepada penternak.- Kredit foto: FB Dr Azman


TIDAK ramai penternak yang mampu untuk menternak lembu sado kerana ia memerlukan kos yang tinggi selain sukar untuk mendapatkan baka yang baik.

Inisiatif yang dilakukan oleh kerajaan negeri memperkenalkan Projek Pembangunan Lembu Sado Berkelompok memberi potensi kepada penternak negeri itu malah ia dijangka mampu memberi pulangan kepada penternak.


Lagi kisah-kisah menarik berkaitan lembu:

https://kitareporters.com/search?search=lembu


Ternakan lembu sado akan memberi pendapatan lumayan kepada penternak di Terengganu


Projek Pembangunan Lembu Sado Berkelompok di negeri itu bermula pada tahun 2020, sebagai projek printis. 

Kerajaan Negeri melalui Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Terengganu pada tahun tersebut telah membangunkan dua buah kandang lembu sado berkelompok di Padang Ragut Padang Lindung, Jabi, Setiu dan di Padang Ragut Kampung Chabang, Kertih dengan peruntukan sebanyak RM92,000

Selain pembinaan kandang, seramai enam peserta di Jabi dan empat peserta di Kertih telah diberikan bantuan satu ekor induk kacukan sado masing-masing dengan peruntukan sebanyak RM100,000.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, kesinambungan projek ini akan diteruskan pada tahun 2021 dengan beberapa penambahbaikan. 

Katanya, sebanyak RM250,000 diperuntukkan untuk pembinaan kandang dan RM450,000 untuk perolehan induk pengganda di lima buah kawasan terpilih


Dr Azman Ibrahim


Antaranya, Padang Ragut Durian Mentangau, Dungun  dengan 5 peserta; Padang Ragut Durian Kassim, Hulu Terengganu (5 peserta); Padang Ragut Bukit Lebam, Marang (5 peserta); dan Padang Ragut Mengabang Bakong, Kuala Nerus (5 peserta)

“Menarik kalau diperhatikan, peserta program lembu sado semuanya orang muda,” katanya ketika melancarkan Majlis Projek Pembangunan Lembu Sado Berkelompok peringkat Terengganu, di Dewan Jabi, Setiu, pada 15 Mac 2021.

Dr Azman berkata, daging yang diperoleh hasil projek terbabit adalah setaraf dengan hotel terkemuka.

"Insya-Allah sekiranya semua pihak berganding bahu, termasuk peserta bijak mengambil peluang ini harga daging sekitar RM500 hingga RM600 sekilo dapat dicapai, sekali gus memberi pulangan lumayan buat mereka,” katanya.

Beliau berkata, untuk mencapai piawaian itu, penternak perlu mahir dengan kaedah pemotongan daging, selain perlu menerapkan amalan pengurusan penjagaan ternakan secara sistematik.


Dr Dr Azman (kiri) menyerahkan stiker simbolik penyerahan lembu sado kepada seorang peserta


Menurut Dr Azman, projek lembu sado berkelompok itu memberi impak sangat positif khususnya kepada 35 sehingga 70 orang penternak lembu sado sedia ada.

“Pada masa sama, mewujudkan padang ragut secara terancang yang boleh menyumbang rumput minyak kepada ternakan dengan anggaran 43.92 metrik tan setahun bagi setiap keluasan satu ekar,” katanya.

Beliau berkata, untuk tahun kedua, dengan anggaran hanya sebanyak 60 peratus kelahiran anak daripada jumlah induk pengganda mampu menghasilkan 21 ekor anak lembu sado, di mana setiap ekor yang berusia 12 bulan boleh mencecah harga  RM8,000 seekor. - KitaReporters

7
2
1
0
0

Copy Link: