Video| Angkara sampah plastik, pukat tunda! Jumlah penyu mati meningkat di perairan Terengganu!
Published byKECUAIAN manusia dengan melakukan pembuangan sampah terutama plastik dan penggunaan pukat tunda di perairan Terengganu dikenal pasti sebagai punca menyebabkan peningkatan kes kematian penyu di negeri itu.
Jabatan
Perikanan Negeri Terengganu sehingga kini menerima laporan sebanyak 17 kes kematian
penyu yang mana 16 ekor adalah penyu agar dan seekor penyu lipas sehingga 31
Januari 2022 hasil laporan penemuan penyu mati diterima oleh orang awam.
Pada 2021, sebanyak 51 kes kematian reptilia berkenaan telah direkodkan di seluruh Terengganu.
Lagi cerita-cerita menarik berkaitan penyu
Kakitangan Jabatan Perikanan Terengganu mengangkat bangkai penyu yang ditemui terdampar di pantai
Perkara itu dipandang serius oleh jabatan terbabit kerana kes kematian penyu kebanyakannya mati disebabkan kecuaian manusia seperti pembuangan sampah terutama plastik, serta penggunaan pukat tunda.
Pengarahnya, Ruzaidi Mamat berkata, susulan itu para nelayan tempatan digesa mematuhi peraturan perikanan di bawah Akta Perikanan 1985 apabila menjalankan aktiviti penangkapan ikan terutama melibatkan bot pukat tunda di samping menggunakan peralatan Peranti Penyisih Penyu (Turtle Excluder Device).
Katanya, ini bagi mengelakkan berlakunya kematian reptilia marin ini akibat tersangkut dan lemas pada pukat tunda tempatan yang beroperasi di lautan, dengan alat tersebut haiwan marin yang terperangkap terlepas jika sekiranya memasuki ke dalam pukat tunda ketika operasi menunda sedang dijalankan.
“Setiap tahun, pelbagai program pendidikan telah dilaksanakan bagi memberi penerangan dan kesedaran kepada orang awam terutama pengusaha sektor pelancongan dan nelayan supaya bersama-sama memikul tanggungjawab menjaga haiwan marin ini yang memainkan peranan penting dalam keseimbangan ekosistem di lautan,” katanya.
Ruzaidi Mamat
Ruzaidi memberitahu, JPNT pada 2 Februari 2022 telah menahan empat bot nelayan tempatan dalam Ops Penyu yang menyasarkan penggunaan pukat pari dan pukat tunda musim tengkujuh (PTMT) tanpa kebenaran.
Beliau berkata, Unit
Perlindungan Sumber telah mengadakan operasi tersebut di sekitar perairan Kuala
Terengganu hingga Marang.
“Bot pertama ditahan pada 7.30 pagi 1 Februari 2022 pada jarak
0.3 batu nautika dari Pantai Batu Buruk, Kuala Terengganu kerana menjalankan
aktiviti pukat tunda musim tengkujuh tanpa kebenaran.
“Seterusnya, bot kedua dan ketiga ditahan kerana kesalahan
melanggar syarat lesen dan tidak memasang peranti penyisih penyu (TED).
"Dalam operasi tersebut juga, kami menahan sebuah bot pukat jerut ikan zon C di perairan Pulau Tenggol, Dungun kerana menggunakan kru asing tanpa kebenaran Ketua Pengarah Perikanan Malaysia," katanya.
Seorang penduduk melihat bangkai penyu yang ditemui mati di Pantai Batu Buruk,Kuala Terengganu
Menerusi operasi itu, terdapat seekor penyu juvenil terperangkap di dalam peralatan pukat tunda yang digunakan pada salah satu daripada empat vesel yang ditahan.
“Semua vesel tersebut di bawa ke Pangkalan Pulau Kambing untuk
di siasat di bawah Seksyen 11 (3)(a) – mengendalikan peralatan tanpa suatu lesen
yang sah, 11 (3)(b) – memiliki peralatan tanpa suatu lesen yang sah dan Seksyen 8(b) iaitu melanggar syarat lesen," jelasnya.
Beliau berkata,orang awam diminta untuk melaporkan sebarang penemuan penyu yang masih hidup atau mati dengan menghubungi hotline FISHCOM menerusi talian 03-8870 4058 atau Pejabat Perikanan Daerah yang berhampiran bagi membolehkan tindakan susulan dapat diambil. - KitaReporters
Penyu agar yang ditemui mati di Pantai Terengganu