Tangkap layar keadaan mayat pesakit Covid-19 di HTAR yang videonya tular dalam media sosial


PENGURUSAN mayat pesakit Covid-19 di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang, Selangor akan turut dibantu oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Pengarah HTAR, Dr Zulkarnain Mohd Rawi berkata pihak ATM akan menghantar bantuan aset dan anggota bagi menyelesaikan segera isu mayat pesakit Covid-19 di hospital tersebut.

“Hasil bantuan ATM nanti, ia akan membantu percepatkan urusan untuk membawa mayat berkenaan bagi proses pengebumian mengikut agama masing-masing.

“Sebelum ini, inspektor kanan (IK) yang bertugas uruskan pengebumian jenazah berkenaan dan adanya bantuan ATM bagi mengurus mayat nanti, ia dapat menampung kekurangan IK di Pejabat Kesihatan Daerah Klang.

"Bantuan dan kerjasama ATM ini adalah hasil perbincangan antara Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Kesihatan, Datuk Mohd Shafiq Abdullah dengan pihak ATM,” katanya yang dipetik laporan Harian Metro, 14 Julai 2021.

Mengulas rakaman video tular memaparkan keadaan mayat pesakit Covid-19 yang diletakkan di lantai secara berlapis di HTAR selepas bilik mayat berada pada tahap kapasiti penuh, Dr Zulkarnain sahkan perkara itu.

Katanya, situasi demikian berlaku disebabkan pihaknya tidak mempunyai peti simpanan mayat yang mencukupi namun isu terbabit berjaya diselesaikan dan keadaan kini terkawal.

"Setakat ini, HTAR punyai tiga kontena dan jumlah itu mencukupi. Dua kontena hasil pemberian kerajaan daripada lapan kontena diagihkan di seluruh negeri ini, manakala satu lagi sumbangan diterima sebelum ini,” ujarnya. -KitaReporters


0
0
2
0
0

Copy Link: